Tidak sampai seminggu sejak dilantik pada awal Januari lalu, Simon Elissetche telah ‘dipecat’ oleh Kuala Lumpur United (KL United) dan digantikan dengan Bojan Hodak.
Tidak dapat dipastikan punca utama kepada pemecatan itu, tetapi Semuanya BOLA sebelum ini ada mendedahkan ianya berpunca daripada KL United yang mahu segera menjalani latihan pra-musim selepas mereka memohon kebenaran melantik Simon Elissetche daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 31 Disember lalu.
Begitupun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL United, Stanley Bernard menjelaskan kepada Bernama yang mereka tidak dapat meneruskan pelantikan Simon Elissetche disebabkan lesen kejurulatihannya tidak diiktiraf Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Benarkah lesennya tidak diiktiraf? Akhirnya, pengendali kelahiran Chile itu bersuara dan mahukan keadilan terhadap apa yang berlaku. Simon Elissetche akan mengheret KL United ke mahkamah dan juga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut peguamnya, Zhafri Aminurashid, anak guamnya bertegas tidak mahu kes ini diselesaikan di luar mahkamah. Memetik kenyataannya kepada Berita Harian, “Simon begitu kecewa dengan perkara ini dan tidak mahu selesaikannya di luar mahkamah.”
“Ini adalah kes penamatan kontrak sebelah pihak di mana KL United tidak mahu meneruskan kontrak bersama Simon dengan alasan tidak munasabah,” ujar Zhafri.
“Jadi, kita akan mengambil dua tindakan iaitu tindakan sivil atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan mengenai kelayakan Simon yang memberi kesan kepada kariernya di mana ada pasukan yang mahukan khidmatnya tertanya-tanya kerana takut lesen tidak sah.
EKSKLUSIF: Liga Belum Start Tapi Kes FIFA Dah Nak Datang https://t.co/vkc4lWccV7 pic.twitter.com/04rM5OZ8FE
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) January 12, 2021
“Tuntutan kedua adalah kepada FIFA di mana kes ini jelas menunjukkan berlakunya pelanggaran kontrak kerana kontrak sudah ditandatangani namun atas sebab yang hanya diketahui mereka, mereka tidak meneruskan kontrak bersama Simon,” tambahnya.
Bercakap mengenai tuntuan, Zhafri berkata, “Kita akan meminta ganti rugi dengan anggaran RM500,000 untuk kes FIFA selain pampasan RM3 juta untuk tuntutan sivil.”
Sementara itu, Simon Elissetche yang jelas kecewa berkata, “Kekecewaan itu bertambah apabila mereka menyiarkan berita yang mengatakan bahawa alasan mereka tidak mengambil saya adalah kerana lesen saya tidak memenuhi syarat AFC.”
“Saya ingin membersihkan nama saya dan menunjukkan kemampuan dan profesionalisme saya sebagai jurulatih kepada semua orang. Saya berharap kejadian ini tidak lagi akan terjadi kepada jurulatih lain di Malaysia,” jelasnya mengenai tindakannya.
KREDIT FEATURED IMAGE: BERITA HARIAN
Baca lagi artikel lain mengenai Simon Elissetche dan KL United:
3 Perubahan Pertama Yang Stanley Bernard Rancang Bersama KL United
Bojan Hodak Mahu Pacu Prestasi Lebih Cemerlang Buat Kuala Lumpur