Indonesia bawah 20 (B-20) bermula dengan langkah kiri dalam satu saingan yang disertai mereka di Sepanyol, apabila pasukan itu ditewaskan oleh Perancis pada perlawanan pertama.
Menurut calon pemain warisan baharu mereka iaitu Justin Hubner, beliau mengakui jurang permainan yang dimiliki oleh Perancis jauh terlalu berbeza berbanding Indonesia.
Berkembang untuk menjadi lebih kuat! 🔥
Apa saran untuk adik-adik setelah laga kontra Prancis U-20, sobat Garuda? 👀#KitaGaruda pic.twitter.com/9fjXZQbKo0
— PSSI (@PSSI) November 18, 2022
Pemain muda tersebut juga mengakui skuad kendalian Shin Tae-yong itu gagal untuk memberi saingan lebih baik sepanjang perlawanan berlangsung.
Tambah Hubner, sepatutnya para pemain perlu beraksi dengan lebih mudah serta tidak membuat sebarang kesilapan menyukarkan pasukan ketika berdepan lawan yang hebat seperti Perancis.
“Pada pendapat saya, Perancis terlalu hebat untuk kami hadapi pada perlawanan ini. Ketika situasi kami mengawal bola, sepatutnya kami wajar bermain dengan lebih mudah.
“Kami perlu membuat serangan balas dan pada masa sama, mengawal bola dengan lebih baik daripada memberi ruang buat pasukan lawan,” jelas Hubner menerusi CNN Indonesia.
Walaupun begitu, pemain kelahiran Belanda tersebut juga memuji rakan sepasukan lain apabila beberapa peluang turut berjaya dicipta dalam usaha untuk mendapatkan gol.
Namun kualiti penyudah pula menjadi penghalang buat Indonesia untuk mencipta gol, walaupun beberapa gerakan berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan Perancis.
“Kadangkala kami juga mempunyai peluang keemasan untuk mendapatkan gol, tetapi umpanan akhir yang dibuat pula tidak begitu cantik” luah pemain muda tersebut.
Pada perlawanan yang berlangsung sebelum itu, Indonesia mencatat kekalahan 0-6 kepada Perancis dengan tiga gol diledak pasukan lawan dalam setiap separuh masa permainan.
Tim U-20 Indonesia harus mengakui keunggulan Tim U-20 Prancis.
Terus berproses, Garuda Nusantara! 🦅#KitaGaruda #TimnasDay pic.twitter.com/9zvl4UzKmr
— PSSI (@PSSI) November 17, 2022
Selepas selesai menghadapi cabaran Perancis, saingan akan diteruskan dengan Indonesia bakal membuat perhitungan seterusnya pula bersama Slovakia bagi perlawanan kedua selain dijangka aksi bersama beberapa pasukan tempatan di Sepanyol.
Ianya merupakan sebahagian daripada modul persiapan yang kini giat dijalankan oleh mereka sebelum menghadapi saingan Piala Asia dan Piala Dunia pada tahun hadapan.
Indonesia B-20 kini telah pun diperkuatkan dengan dua lagi pemain warisan mereka yang berasal dari Belanda iaitu Justin Hubner dan Ivan Jenner selain beberapa lagi nama bakal dibawa masuk.