Perang psikologi antara media Itali dengan Sepanyol sudah bermula.
Ketika ini, media kedua-dua negara sedang cuba mengkaji taktikal lawan masing-masing untuk menjangka keputusan Itali vs Sepanyol; perlawanan berprofil paling tinggi dalam peringkat 16 pasukan terakhir Piala Eropah 2016.
Football Espana mendedahkan komen Cesc Fabregas yang memberitahu, Sepanyol takkan mengubah apa-apa taktikal mereka meskipun sedar Itali bermain dengan formasi ultra-menyerang 3-3-4.
“Italy sentiasa sukar untuk ditewaskan. Apa yang pasti dari segi taktikal, kami takkan ubah cara kami menyerang dan bertahan.”
“Kami hanya akan bergantung kepada variasi pemain yang kami ada di bahagian serangan.”
Vincente del Bosque lebih gemarkan Morata yang gemar melakukan link-up play dengan pemain-pemain tengahnya.
Ini membolehkan Sepanyol menyerang dengan hantaran pendek dan menggunakan kebijaksanaan Morata mencari ruang membuat penyudah untuk menjaringkan gol.
Tetapi jika Sepanyol perlukan alternatif yang lebih direct dan fizikal, Aduritz adalah calonnya.
Ulangan final Piala Eropah 2012
Fabregas turut menjelaskan perlawanan awal pagi esok (waktu Malaysia) ini akan sangat berlainan dengan perlawanan final Piala Eropah 2012.
“Perlawanan itu mungkin persembahan terbaik saya untuk La Roja.”
“Selalunya anda akan rasa tekanan yang tinggi dalam final. Tetapi segalanya mudah bagi kami pada malam itu. Bagaimanapun, pada malam nanti, ia cerita lain.”
Eder kunci Itali kalahkan Sepanyol
Sementara itu di kem Itali, akhbar La Gazzetta dello Sport mendedahkan penyerang Internazionale, Eder bakal menjadi pemain paling penting untuk menggagalkan Sepanyol pada awal pagi esok.
Eder akan diarahkan untuk turun dan melakukan intense pressing kepada Sergio Busquets untuk menyukarkan build-up serangan Sepanyol yang sentiasa bermula dari bawah.
Tugas Eder ini sangat memenatkan kerana Eder juga perlu naik menyerang dan menyokong Graziano Pelle apabila Itali mempunyai penguasaan bola.
Conte: Itali bukan kambing korban
Sementara itu, ketua jurulatih Itali, Antonio Conte memberi amaran kepada Sepanyol bahawa pasukannya tidak akan menjadi ‘kambing korban’ untuk Sepanyol.
“Mereka (Sepanyol) perlu menjadi ‘lebih dari istimewa’ untuk kalahkan kami,” kata Conte.
“Formasi hanyalah nombor sahaja. Setiap pasukan sudah ada sistem unik yang secocok dengan karakteristik pemain-pemainnya.”
“Kalau kami kalahkan Sepanyol, ia adalah kerana kami mengkaji pasukan mereka. Kami tahu kekuatan dan kelemahan mereka. Bukannya kerana stereotaip tersebut.”
Itali akan menentang Sepanyol di Stade de France, Paris pada pukul 12 tengah malam ini (waktu Malaysia). Pemenang akan bertemu Jerman dalam peringkat suku akhir.
[adrotate banner=”9″]
Baca juga: Antonio Conte Tegur Analisis Taktikal Media Itali: Kami Main 3-3-4, Bukannya 3-5-2