Sepanyol Dianggap ‘Lembik’ Kerana Tiada Jeneral Seperti Sergio Ramos Di Atas Padang?

Sergio Ramos Sepanyol

Kempen kelayakan Piala Dunia skuad Sepanyol nampaknya berdepan jalan berliku selepas mencatat kekalahan 2-1 kepada Sweden dalam aksi yang berlangsung di Friends Arena, Solna.

Lebih perit lagi, ia merupakan kekalahan pertama skuad La Roja dalam aksi pusingan kelayakan Piala Dunia sejak 1993.

Ketua jurulatih, Luis Enrique menurunkan sebahagian besar skuad yang beraksi di kejohanan Euro 2020 tempoh hari.

Carlos Soler meletakkan Sepanyol di hadapan seawal minit kelima, seolah-olah ia merupakan permulaan sempurna buat pasukannya, tetapi tidak sampai seminit kemudian, dek kerana kesilapan mudah, Sweden membalas semula menerusi Alexander Isak.

Gol kemenangan Sweden terhasil dari hantaran lintang Dejan Kulusevski yang disudahkan oleh Victor Claesson pada minit ke-57 perlawanan.

Di mana silapnya?

Sewaktu kejohanan Euro tempoh hari, Luis Enrique dengan berani membuat perubahan besar dalam pemilihan pasukan berbanding skuad yang disenaraikan sewaktu Piala Dunia 2018 yang lalu.

Hanya enam orang sahaja pemain yang dikekalkan iaitu David de Gea, Cesar Azpilicueta, Jordi Alba, Sergio Busquets, Koke dan Thiago Alcantara.

Keputusan yang paling mengejutkan adalah tiada seorang pun daripada senarai 24 orang pemain itu merupakan pemain Real Madrid. Ini termasuklah Sergio Ramos yang tidak pernah terlepas mana-mana kejohanan antarabangsa sejak Euro 2004.

Ada yang berpendapat keputusan untuk tidak menyenaraikannya adalah tepat kerana prestasi Sepanyol dengan Sergio Ramos sebagai kapten tidaklah terlalu baik.

Skuad Luis Enrique beraksi dengan baik dalam kejohanan tersebut sebelum langkah mereka tersekat di peringkat separuh akhir selepas tewas kepada Itali dalam penentuan sepakan penalti.

Melihat kepada permainan yang ditampil oleh Sepanyol, rata-rata pemerhati percaya mereka sudah pun mempunyai pemain yang serba lengkap di setiap posisi. Tetapi terdapat satu elemen yang jelas kekurangan pada pasukan tersebut iaitu kepimpinan.

Permata yang hilang

Mereka mula membandingkan skuad Sepanyol yang mendominasi kejuaraan Eropah dan Piala Dunia pada 2008 hingga 2012. Ketika itu terdapat ‘jeneral’ di atas padang seperti Carles Puyol dan Iker Casillas.

Apa yang jelas, tiada pemain seperti itu pada skuad Sepanyol pada hari ini dan mereka menganggap Luis Enrique perlukan pemain seperti Sergio Ramos.

Pemain pertahanan berusia 35 tahun itu bergelut dengan masalah kecergasan di mana beliau hanya beraksi tujuh perlawanan sahaja pada tahun ini dan ia jelas memberi risiko kepada pasukan secara keseluruhannya.

Selepas melengkapkan perpindahan ke Paris Saint-Germain (PSG), beliau masih belum diturunkan lagi untuk sebarang perlawanan kerana pasukan perubatan mengesahkan beliau masih belum cergas sepenuhnya dari kecederaan betis.

Dua orang lagi pemain yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan adalah Gerrard Pique dan David Silva, tetapi kedua-dua pemain ini telah mengumumkan persaraan di peringkat antarbangsa.

Penutup

Kekalahan kepada Sweden ini seharusnya memberi kesedaran kepada Luis Enrique tentang apa yang diperlukan oleh pasukannya.

Dua pemain yang menjadi pilihannya untuk menyarung lilitan kapten, iaitu Jordi Alba dan Sergio Busquets bukanlah ‘jeneral’ yang diperlukan untuk memimpin pasukannya ketika ini.

Sergio Ramos mempunyai rekod yang cukup luar biasa bersama La Roja. Beliau juga merupakan pemegang rekod kaps tertinggi Sepanyol dengan 180 penampilan. Mungkin beliaulah pemain yang diperlukan ketika tempoh kritikal ini.

Keberanian Luis Enrique membuat perubahan besar kepada La Roja mendapat pujian dengan menampilkan pemain-pemain muda, tetapi mereka seolah-olah kehilangan elemen kepimpinan yang penting dalam mewujudkan mentaliti menang pada pasukan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN