Pertemuan di antara Sepanyol menentang Argentina dalam aksi persahabatan antarabangsa bakal menarik tumpuan peminat bola sepak dunia.
Namun begitu, dua pencabar terkuat Piala Dunia di Russia ini masih belum menyelesaikan barisan penyerang mereka bagi menghadapi temasya berprestij itu.
Bagi pengendali skuad Argentina, Jorge Sampaoli, persoalan utama ialah siapa calon terbaik membantu Lionel Messi, dengan juara dua kali itu sekali lagi menunjukkan rasa malu walaupun memiliki ramai penyerang terbaik, dan tidak menunjukkan tanda bagaimana mahu menggunakan mereka.
Trio sokongan Gonzalo Higuain, Sergio Aguero dan Angel di Maria boleh kembali bersatu di Russia tetapi mereka sebelum ini pernah mengecewakan ketika semuanya masih muda dan tiba dengan prestasi lebih baik.
Sementara itu, Paulo Dybala, seorang daripada penyerang muda paling menarik, berdepan pertarungan untuk disenaraikan selepas tidak berada dalam senarai terbaharu Sampaoli dan jaringan 26 gol Mauro Icardi buat Inter Milan musim ini tampak masih belum cukup bagi meletakkannya dalam skuad.
Argentina pasti mahu terus mencari penyerang terbaik di Wanda Metropolitano tanpa komponen utama mereka, Messi yang masih bergelut dengan kecederaan. Dia berlatih semalam tetapi tampak tidak akan diturunkan.
“Sepanyol sudah ada pasukan dan tahu bagaimana mahu bermain di Piala Dunia,” kata Sampaoli. “Kami perlu mencari kepastian itu.”
Namun bagi Sepanyol dan Julen Lopetegui, masih belum ada kepastian kerana banyak pilihan menerusi Diego Costa, Rodrigo Moreno, Alvaro Morata dan Iago Aspas yang semuanya boleh mengetuai serangan.
Costa adalah pilihan utama selepas bermain pada enam kelayakan Piala Dunia buat Sepanyol namun masalah dengan Chelsea menyebabkan dia berehat lima bulan di Brazil dan Lopetegui perlu memikirkannya semula.
“Jurulatih sentiasa bercakap jelas dengan saya,” kata Costa Jumaat lalu.
“Dia beritahu saya: ‘Jika anda tidak bermain, anda tidak boleh datang’. Tapi dia juga beritahu saya apabila saya kembali bermain, jika saya melakukannya dengan betul, pintu sentiasa terbuka.” – AFP