Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Sepakan Percuma Terus (Direct) Dalam Bola Sepak, Jenis Dan Konsep

Sepakan percuma adalah satu sepakan dalam keadaan bola mati yang diberikan oleh pengadil. Ramai pembaca kami bertanya, cara untuk menghasilkan sepakan percuma yang terbaik.

Sebenarnya, ia adalah subjektif, anda perlu berlatih dan cari gaya dan teknik yang sesuai dengan diri sendiri. Pergi ke padang bola sepak dan buat sepakan percuma banyak-banyak.

Kemudian cari teknik dan rutin apa yang membolehkan anda menghasilkan produk akhir yang terbaik.

Berikut adalah 4 asas ketika melakukan sepakan percuma:

1. Tetapkan sasaran

Perkara yang paling penting ketika mengambil sepakan percuma adalah adalah menetapkan sasaran bola yang anda mahu tembak.

Pemain perlu ada analisis tentang penjaga gol yang akan mereka cuba tewaskan.

2. Jarak larian

Anda perlu menetapkan jarak yang sesuai supaya anda boleh mendapat jumlah langkah yang anda mahukan.

Jarak yang berbeza akan membuatkan anda perlu mengambil langkah yang berbeza supaya anda dapat melakukan sepakan percuma dengan kekuatan yang sesuai.

3. Konsentrasi

Ini adalah fasa penting supaya anda melakukan rutin yang anda telah berlatih dengan betul. Kawalan pernafasan, fokus secara emosi dan juga melakukan teknik yang betul.

Sedikit kesilapan akan mempengaruhi rutin anda.

4. Lepaskan sepakan

Ini adalah fasa akhir, dan anda perlu melepaskan sepakan berdasarkan titik sasaran yang mahu dituju, ataupun perancangan licik yang lain.

Jangan ada kata dua dalam melakukan sepakan percuma. Ada pemain menukar keputusan saat-saat akhir.

Misalnya, mengurangkan kekuatan, menukar arah sasaran, menukar aras sepakan serta menukar sepakan terus kepada hantaran umpan dan sebagainya.

Jenis sepakan percuma terus

Jenis-jenis sepakan percuma terus (direct free kick) sangat banyak. Namun kami senaraikan 4 jenis sepakan percuma yang biasa kita dengar.

1. Knuckleball

Ini adalah teknik yang sinonim dengan Juninho Pernambucano, Pirlo, Gareth Bale, Ronaldo dan ramai lagi.

Ia adalah sepakan percuma untuk menghasilkan gerakan bola yang menggila atau menukar arah pada fasa akhir.

Kedudukan standing foot anda harus dekat dengan bola sekitar 2-3 inci. Rembat bola dengan clean contact menggunakan tulang ibu kaki ataupun instep.

Rembat permukaan bawah titik tengah bola. Anda harus melakukan rembatan dengan kadar tenaga yang kuat secara mengejut.

Sepakan jenis ini memerlukan latihan yang sangat banyak. Anda boleh rujuk video Bas van Velzen. Seorang youtuber yang terkenal dengan teknik ini.

Beliau dianggap antara penendang knuckle ball terbaik dunia tetapi bukan pemain profesional.

2. Bend / Lencongan

Anda pasti pernah mendengar filem Bend It Like Beckham? Ia merujuk kepada teknik David Beckham melencongkan bola itu ketika ianya di udara.

Teknik ini memerlukan standing foot anda jauh daripada bola, sekitar 5 atau 6 inci daripada bola.

Mulakan dengan larian dari arah 45 darjah daripada bola. Anda harus menendang bola dengan ibu kaki dan memberikan impak bola melencong.

Elakkan menendang bola dalam keadaan anda berlari lurus dengan bola. Pastikan anda ada keseimbangan badan yang kuat untuk menghasilkan produk yang lebih baik.

Anda juga harus menendang permukaan bawah bola untuk menghasilkan lencongan yang cantik. Selain Beckham, teknik ini juga sinonim dengan pemain seperti Xabi Alonso.

3. Lencongan dengan kaki luar

Satu lagi teknik bending ini adalah dengan kaki luar (outside foot) seperti yang dilakukan oleh Roberto Carlos.

Ia dilakukan dengan teknik slice ke atas bola untuk menghasilkan lencongan keluar (out-swing) yang kuat dengan sweet spot.

Teknik kaki luar ini biasanya lebih kuat berbanding dengan kaki dalam (inside foot). Faiz Subri melakukan teknik slice ini untuk menghasilkan curve-ball yang memenangi PUSKAS 2016.

4. Leret

Salah satu lagi teknik popular yang licik. Ianya memerlukan konsentrasi dan analisis potensi benteng pihak lawan akan melompat.

Sepakan ini juga memerlukan anda bijak mengacah benteng lawan dengan gerak tubuk. Ada pemain akan menunggu pemain melompat dan terus meleretkan bola secepat mungkin.

Teknik ini juga kerap berhasil kerana bola terbias di kaki pemain lain.

Rumusan

Sepakan percuma adalah rutin yang harus diberikan perhatian di dalam latihan. Ini kerana ia adalah ancaman yang sangat bahaya jika sesebuah pasukan ada pakar.

Setiap pemain memiliki kemampuan dan keselesaan untuk menggunakan teknik yang berbeza ketika melakukan sepakan percuma langsung ini.

Kami mahu tahu, apakah teknik sepakan percuma anda?