‘Senyuman Puas’ Nafuzi Zain Apabila Melihat 3 Kelibat Pemain Import Baharu ‘Report Duty’

Nafuzi Zain tiga pemain import terbaik Liga M Terengganu 2022

Jurulatih mana yang tidak gembira dan tidak terkecuali dengan Nafuzi Zain apabila beliau berjaya mengumpul antara tiga pemain import terbaik di Liga Malaysia untuk bersama Terengganu FC bagi saingan musim depan.

Dua penyerang Kpah Sherman dan Kipre Tchetche serta maestro, Manuel Ott secara rasmi telah turun berlatih selain kelibat dua lagi import iaitu bek tengah, Pape Diakite dan Luke Woodland dilihat turut sama turun berlatih bersama pasukan. Tumpuan tentunya terarah kepada Kpah Sherman, Kipre Tchetche dan Manuel Ott.

Ini kerana, pada saingan Liga Malaysia musim lalu, ketiga-tiga pemain mempamerkan aksi terbaik bersama pasukan masing-masing – Kpah Sherman dan Kipre Tchetche bersama Kedah Darul Aman FC, sementara Manuel Ott bersama Melaka United. Mereka merupakan tunjang kekuatan pasukan mereka pada musim lalu.

Barangkali rezeki serta perancangan rapi pengurusan Terengganu sebelum ini, mereka berjaya memancing ketiga-tiga pemain tersebut sekaligus dalam usaha menguatkan pasukan bagi musim baharu Liga Malaysia.

Musim lalu, Terengganu sangat bermasalah di jentera serangan apabila David da Silva yang diharapkan untuk menjadi penggempur berbahaya gagal secara total untuk memberikan impak bagi membantu pasukan.

Kedah melakar 44 gol musim lalu – ketiga terbanyak dalam saingan Liga Super selepas Johor Darul Ta’zim (50 gol) dan Selangor FC (45 gol). 23 daripada 44 jaringan itu dihasilkan oleh kedua-duanya iaitu kira-kira separuh daripada keseluruhan gol pasukan. Jika Kpah Sherman tidak terlibat dengan skuad kebangsaan, tentu ia lebih.

Kpah Sherman terlepas majoriti daripada ‘kehilangannya’ disebabkan pulang ke Liberia bagi bersama skuad kebangsaan. Dan di saat itu, skuad Hijau Kuning bergelut. Dalam 17 penampilan, beliau meledak 13 jaringan.

Kpah Sherman, Kipre Tchetche Akan Lonjak Ketajaman Jentera Serangan Terengganu

Ini menjadikannya calon utama untuk menjadi penggempur Terengganu musim depan. Memasuki musim ke-6 dalam saingan liga di Malaysia, beliau sudah sangat arif dengan persaingan dalam kancah Liga Malaysia.

Untuk Kipre Tchetche, dalam 21 penampilannya, beliau mencetak 10 gol. Hanya apabila Kpah Sherman tiada, beliau diletakkan sebagai penggempur utama, selainnya beliau akan bertukar posisi antara sayap menyerang kanan, kiri serta pemain tengah menyerang. Jumlah gol mereka jelas menghadirkan gerun terhadap lawan.

Memetik kenyataan Nafuzi Zain kepada Malaysian Football League (MFL) tentang kedua-dua penyerang baharu itu, “Saya ingin tegaskan kita akan ada musim yang panjang, jadi apa sahaja boleh berlaku dan saya teruja apabila kita akan sentiasa ada pemain yang bersedia untuk diturunkan dan pilihan yang lebih luas kali ini.”

“Kita akan tengok daripada segi keperluan, cara bermain daripada mereka dan semestinya masing-masing akan ada peluang mereka sendiri untuk beraksi berdasarkan prestasi semasa nanti,” tegasnya lanjut mengenainya.

Ini kerana, jika dilihat, termasuk Jordan Mintah dan Argzim Redzovic, Terengganu memiliki lapan pemain import dan mereka boleh memilih untuk menurunkan sesiapa pun dikalangan lapan pemain itu dalam skuad utama tertakluk kepada peraturan pertandingan Liga Super iaitu lima pemain import dalam satu-satu perlawanan.

Untuk Manuel Ott, impaknya dalam merencana serangan Melaka United tidak boleh disangkal lagi dan paling dirasai adalah ketika membawa skuad Hang Tuah mara sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia 2021.

Beliau mampu merencana gerakan ke kubu lawan selain boleh meledak gol dan buktinya beliau meledak empat gol – satu gol di belakang Sony Norde, penjaring terbanyak Melaka United di Piala Malaysia. Beliau juga adalah pemain yang konsisten beraksi dalam semua perlawanan dengan merekodkan minit permainan tertinggi.

Bagaimana Nafuzi Zain akan menggunakan kudrat pemain import musim ini? Menarik untuk kita saksikan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN