Perak kini dilaporkan sedang cuba untuk menandatangani penyerang import baharu untuk memperkukuhkan jentera hadapan mereka bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.
Terbaharu, pasukan ini telah pun dikaitkan bakal menandatangani penyerang import dari Colombia iaitu Wilmar Jordan yang sebelum itu beraksi di saingan utama India bersama Punjab FC.
Ianya dikongsikan sendiri melalui wartawan sukan, T. Avineshwaran di media sosial X beliau dengan memberi bayangan pemain itu semakin hampir pasti menyertai Perak.
“Ianya kelihatan hampir dekat, Perak boleh meningkatkan kekuatan serangan mereka dengan menandatangani penyerang dari Colombia, Wilmar Jordan. Beliau kini beraksi untuk Punjab FC di ISL,” jelas Avineshwaran.
Musim ini menyaksikan Wilmar telah pun diberi peluang beraksi sebanyak 11 perlawanan bersama pasukan tersebut serta sudah pun merekodkan 4 jaringan keseluruhan buat Punjab FC selaku penyerang utama.
Pada tahun lalu, Wilmar juga merupakan penjaring terbanyak buat NorthEast United dalam saingan Indian Super Cup, selepas beliau merekodkan tujuh gol buat pasukan itu sepanjang kejohanan berlangsung.
Malah, beliau juga pernah mencipta sensasi selaku peledak berbisa di Bulgaria pada musim 2013/2014 menerusi rekod selaku penjaring terbanyak dengan 20 gol dihasilkannya.
Secara keseluruhan, penyerang berusia 33 tahun itu sudah pun beraksi sebanyak 260 perlawanan sepanjang kariernya dan sudah pun meledak 97 gol serta 22 bantuan jaringan secara keseluruhan.
Rekod positif dibawa oleh Wilmar itu menyaksikan beliau sebagai calon paling sesuai untuk mengisi posisi serangan utama Perak pada musim akan datang.
Malah, Wilmar juga memiliki kebolehan cukup tinggi untuk beraksi di posisi sayap kiri serta kanan selain sudah membuktikan dirinya berbisa selaku penyerang utama pasukan.
Saingan lalu menyaksikan Perak mempunyai sedikit masalah di posisi serangan mereka yang dianggap tumpul walaupun ada rombakan dibuat dengan pertukaran pemain pada pertengahan musim.
Ketika ini, The Bos Gaurus sah menandatangani seorang pemain import baharu yang beraksi di posisi tengah bertahan iaitu Adilet Kanybekov dan dijangka bakal membentuk gandingan bersama Luciano Guaycochea.
Selain Adilet, laporan terdahulu juga menyatakan Perak sedia untuk menandatangani tiga lagi pemain import baharu untuk memperkukuhkan pasukan tersebut pada saingan akan datang.