Perubahan posisi selaku penyerang utama yang dibuat oleh pengendali PDRM, Wan Rohaimi Wan Ismail, menjadi antara faktor penyumbang di sebalik peningkatan prestasi penyerang Bruno Suzuki yang telah meledak tujuh gol dalam lapan perlawanan terakhir.
Bruno yang merupakan penyerang kacukan Jepun-Brazil menjelaskan dia begitu selesa diletakkan posisi berkenaan berbanding sebagai penyerang sokongan.
Jelas Bruno, dia berasa sangat teruja dengan kepercayaan yang diberikan Wan Rohaimi sekali gus dapat membantu pasukan naik ke tangga kelima Liga Premier dan berpeluang cerah mendapatkan slot ke Piala Malaysia.
“Saya akui sangat tenggelam pada pusingan pertama Liga Premier pada beberapa perlawanan awal sebelum terpaksa berehat panjang akibat kecederaan tetapi segala-galanya sangat berbeza pada masa sekarang.
“Kehadiran jurulatih, Wan Rohaimi benar-benar telah mengubah situasi saya di sini kerana dia tahu akan kemampuan saya dengan meletakkan posisi selaku penyerang utama.
“Itu menjadi faktor kenapa saya berjaya temui semula sentuhan jaringan yang dicari-cari selama ini dan rasa gembira kerana dapat balas kepercayaan yang diletakkan oleh jurulatih.
“Kini saya hanya mahu mencari 3 lagi jaringan bagi dari baki 3 perlawanan yang tinggal kerana sememangnya dari awal musim, saya letakkan sasaran 10 gol bersama PDRM di Liga Premier,” katanya.
PDRM FC juga tidak pernah tewas dalam tujuh perlawanan terakhir dan rekod ini adalah sesuatu yang menakjubkan buat Wan Rohaimi selepas pasukan itu hanya meraih dua kemenangan pada pusingan pertama Liga Premier.
Bruno yang merupakan bekas penyerang Negeri Sembilan dan Terengganu FC II mengakui suasana di dalam pasukan cukup positif sejak di bawah kendalian Wan Rohaimi.
Tambahnya, jika situasi itu berterusan, dia berasakan tidak mustahil pasukannya mampu menamatkan saingan di Liga Premier dalam kalangan tiga terbaik malah mampu berikan cabaran sengit di Piala Malaysia.
Justeru, dia mengharapkan PDRM mampu sekali lagi hadirkan kejutan ke atas Sarawak United, lawan yang mereka pernah tewaskan semasa pertemuan di Stadium Hang Jebat pada 16 April lalu.
“Melihatkan suasana sekarang, saya rasa amat gembira dengan perkembangan yang berlaku kerana setiap pemain mula percaya yang mereka boleh lakukan sesuatu dengan pasukan.
“Kami pernah tewaskan dua pasukan di atas kami, Terengganu FC II dan Sarawak United, jadi PDRM sebenarnya boleh menang dengan sesiapa sahaja di Liga Premier jika setiap pemain ada keyakinan.
“Jika kami dapat bermain di Piala Malaysia, saya yakin PDRM boleh melakar sesuatu dan harap pertemuan dengan Sarawak United pada Jumaat, kami akan terus konsisten dalam melakar kemenangan,” katanya.
PDRM akan melayani kunjungan Sarawak United FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Jumaat selain Kelantan bertemu Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu. – MFL