Sentuhan Magis ‘Abang Kimchi’ Yang Bawa Malaysia Ke Piala Asia 2023

Kim Pan-gon

Tanggal 14 Julai 2022, menyaksikan malam keramat dan bersejarah bagi skuad Harimau Malaya yang dibimbing oleh seorang jurulatih baharu import berbangsa Korea – Kim Pan-gon (KPG).

Semuanya ibarat ‘fairy tale’ atau cerita dongeng. Manakan tidak, setelah 42 tahun menunggu, Malaysia kini layak menyertai pasukan gergasi Asia lain dalam kempen Piala Asia 2023.

Jumlah 52,964 membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil dan jutaan penyokong Malaysia yang menyaksikan di kaca televisyen malam tadi menjadi saksi kenangan manis dalam sejarah yang telah tercipta. Ia umpama ‘Hikayat Satu malam’.

Kisahnya bermula apabila seorang insan yang bernama Kim Pan-gon jurulatih asing berbangsa Korea dilantik pada Januari 2022 dalam suasana yang tidak menentu melanda bola sepak negara.

Lantikannya berlaku apabila Tan Cheng Ho meletakkan jawatan mengejut berikutan kegagalan skuad Harimau Malaya untuk layak ke separuh akhir Piala AFF 2020.

Sidang media yang berlangsung ketika itu mendapat liputan meluas dan menjadi topik hangat perbualan para penggiat sukan bola sepak tanah air.

KPG diumum oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengetuai barisan kejurulatihan skuad kebangsaan menggantikan Cheng Ho.

Berita perlantikan ini mencetus perdebatan dan reaksi pelbagai dari banyak pihak terutama peminat bola sepak negara. Jurulatih berbangsa Korea ini hanya dilantik dengan kontrak dua tahun dengan membawa pasukan teknikal serta pembantunya sendiri.

Apa yang menjadi tanda tanya, KPG tidak diletakkan sasaran khusus dan hanya dinilai melalui peningkatan skuad Harimau Malaya di peringkat Asia Tenggara dan Asia.

Magis Abang Kimchi

Seperti satu keajaiban tercetus, strategi yang dicorak dan digarap KPG seakan diadun bersama ramuan rahsia kejayaan.

Mana tidaknya, tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh KPG berhasil dan menampakkan peningkatan yang sangat ketara dalam masa tiga bulan.

Siri perlawanan persahabatan antarabangsa tier 1 yang dianjurkan bagi persiapan kelayakan Piala Asia 2023 menampakkan semula kualiti Harimau Malaya kendaliannya.

Menerapkan falsafah bola sepak menyerang, KPG merubah mentaliliti para pemainnya. Hasilnya, Harimau Malaya mampu
menjinakkan Filipina, Brunei dan Hong Kong walaupun tewas kepada Singapura dalam aksi yang sangat terpuji dan menghiburkan.

Ia sesuatu yang memeranjatkan dan menimbulkan semula keterujaan seluruh peminat bola sepak tanah air. Apa yang harus dipuji, peningkatan yang ditunjukkan sangat ketara dan berterusan oleh pemain-pemain Malaysia.

Semangat juang yang tinggi, kerajinan, aspek kecergasan pemain, semangat berpasukan amat terserlah
pada identiti para pemain skuad Malaysia.

Buktinya, kempen kelayakan Piala Asia 2023 mencatat sejarah gemilang dalam lipatan bola sepak Malaysia. Skuad Harimau Malaya menempa nama layak ke Piala Asia dengan merit setelah kali terakhir beraksi pada edisi 1980.

Nama Kim Pan-gon menjadi buah mulut jutaan rakyat Malaysia malah tidak terkecuali pasukan lawan yang bertanding. Tidak keterlaluan jika KPG digelar WIRA yang mencipta magis dan impak sensasi luar biasa dalam enam bulan sahaja tugasannya.

Kejayaan ini amat membanggakan seluruh rakyat Malaysia yang selama ini sabar menanti untuk melihat perubahan dalam arena bolasepak Malaysia.

Buat pahlawan Harimau Malaya, KPG dan seluruh pihak staf kejurulatihan, anda semua telah melakukan kerja baik. Cuma satu perlu diingat janganlah kalian alpa dan terbuai kejayaan semalam. Teruskan usaha dan kerja keras kalian.

Perjalanan untuk ke puncak masih jauh. Kejayaan sejarah ini hanya satu garis permulaan. Akhir kata saya selitkan Kata bidalan “Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain”. “Moga mimpi mustahil layak ke Piala Dunia menjadi kenyataan suatu hari nanti”.

Terima kasih Harimau Malaya untuk mimpi indah kami.

Nota editor: Artikel ini merupakan kiriman Aiman Jamaluddin yang merupakan penyokong Harimau Malaya dari Pasir Gudang, Johor. Jika anda mahu menyumbang artikel, hantar penulis minimum 300 patah perkataan dalam format MS Word ke [email protected] .

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN