Sentuhan Garrido Dianggap Penting Buat Masa Depan Harimau Malaya

Kelibat pengendali utama skuad kebangsaan bawah 23 (B-23) iaitu Juan Torres Garrido sebenarnya boleh dianggap sangat penting untuk memastikan masa depan bola sepak Malaysia terus bersinar di pentas antarabangsa.

Ketika ini, ramai pendapat daripada penyokong timbul jika Garrido mampu untuk mengekalkan momentum positif seperti dilakukan pasukan senior kebangsaan kini bawah kendalian Kim Pan-gon.

Apa tidaknya, sejak beberapa tahun ini skuad pembangunan Harimau Malaya boleh dianggap sedikit lesu daripada segi pencapaian atau corak permainan ditampilkan.

Malah, kehadiran E. Elavarasan sebelum itu selaku pengendali utama skuad B-23 negara juga tidak mampu untuk menaikkan lagi momentum positif daripada segi corak permainan di pentas antarabangsa.

Walaupun begitu, Elavarasan tetap dianggap sebagai salah satu jurulatih yang berjaya buat skuad B-23 negara apabila beliau berjaya memastikan Malaysia meraih salah satu slot ke saingan Piala Asia B-23 di Qatar.

Ketika ini, Garrido yang menggantikan khidmat Elavarasan selepas pengendali itu kembali bersama pasukan senior negara menjadi tumpuan besar jika beliau mampu untuk menaikkan kembali reputasi skuad B-23 negara.

Hadir dengan reputasi cukup baik di pentas Eropah menerusi sentuhan beliau dalam pembangunan bola sepak, pastinya para peminat mahukan sesuatu lebih baik daripada beliau buat skuad B-23 negara.

Selain mengendalikan skuad B-23 negara, Garrido juga bertanggungjawab untuk menjadi jurulatih utama buat pasukan B-20 kebangsaan di pentas antarabangsa.

Datuk Seri Shahril Mokhtar selaku pengurus skuad B-23 kebangsaan tampil mempertahankan jurulatih dari Sepanyol itu dengan mengakui Garrido mampu untuk mengekalkan kesinambungan daripada segi corak permainan pasukan pembangunan kepada skuad senior.

Menurut Shahril, beliau menyifatkan kemampuan Garrido untuk mengendalikan dua pasukan pembangunan negara sebagai sesuatu positif buat kesinambungan bola sepak kebangsaan.

“Saya nampak seperti itulah kerana Garrido juga bekerja rapat dengan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya yang diterajui Kim Pan-gon.

“Dia pun tahu corak permainan yang dimahukan, jadi saya lihat tiada masalah di situ,” kata Shahril menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.

Walaupun mengendalikan dua pasukan pembangunan Malaysia, Shahril menganggap ianya bukan satu masalah buat Garrido kerana jarak masa kejohanan membabitkan pasukan B-23 negara di pentas Piala Asia B-23 dan skuad B-20 Harimau Malaya tidak berturutan.

“Tiada masalah kerana kalau kita lihat, tugasan besar skuad B-23 adalah pada tahun ini (Piala Asia B-23) dan selepas itu barulah kejohanan B-20. Ia bukanlah pertandingan secara berturutan ataupun berlangsung serentak.

“Jadi beliau boleh fokus pada skuad B-23 terlebih dahulu dan selepas itu boleh teruskan kerjanya untuk skuad B-20 pula,” kata Shahril akhir sekali.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN