Senjata Misteri Klopp, Bukti Keperincian Dan Pelaburan Bijak Oleh Liverpool

Musim 2017/18, Liverpool menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ke-4. Tewas tujuh daripada 38 perlawanan dilalui sepanjang musim, skuad kendalian Jurgen Klopp turut menjaringkan 84 gol dan dibolosi 38 gol untuk jumlah mata terkumpul 75 mata. Pada musim yang sama, The Kops juga mara ke perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL) sebelum dikecewakan oleh Real Madrid di Kiev.

Musim 2018/19 pula, Liverpool tewas hanya sekali dari 38 perlawanan, menjaringkan 89 gol dan dibolosi hanya 22 kali untuk mengumpul kutipan mata rekod untuk kelab 97 mata. Hanya satu mata membezakan Liverpool dengan Manchester City pada musim ini, berbanding 25 mata pada musim sebelumnya. Turut mara ke perlawanan akhir UCL, kali ini Liverpool bergelar juara selepas menafikan Tottenham Hotspur 2-0 di Madrid pada awal pagi Ahad lalu.

Jika diperhatikan perbandingan diatas, maka boleh kita rumuskan Liverpool telah melalui peningkatan prestasi yang jauh lebih baik pada musim 2018/19 berbanding 2017/18 – peningkatan yang hanya dilakukan dalam tempoh setahun.

Daripada purata bolos satu gol untuk setiap perlawanan pada musim sebelumnya, Klopp memastikan rekod pertahanan yang lebih baik pada musim ini dengan hanya dibolosi 0.57 gol untuk setiap 90 minit perlawanan. Mereka turut menjaringkan jumlah gol yang lebih banyak di dalam liga berbanding musim sebelumnya.

Kehadiran beberapa pemain baharu seperti Virgil van Dijk, Alisson Becker, Naby Keita, Fabinho, dan juga Xherdan Shaqiri dikatakan sebagai penyumbang utama kepada peningkatan prestasi ini. Jika aktiviti perpindahan dikatakan sebagai sebab Liverpool boleh beraksi dengan lebih baik, maka kelab-kelab lain juga berbelanja. Malah ada yang berbelanja dengan lebih besar dari Liverpool sebelum ini.

Keperincian di setiap aspek

Tidak dapat dinafikan Liverpool telah berurusniaga dengan cemerlang di beberapa jendela perpindahan yang lalu. Namun ia adalah hasil kerja di padang latihan yang memberi refleksi kepada penyampaian prestasi aksi di atas padang.

Aspek ‘set-pieces’ misalnya telah ditambah baik. Secara keseluruhan, Liverpool telah menghasilkan 20 gol – tertinggi pernah dilakukan – dari gerakan ini, peningkatan sembilan gol berbanding pada musim 2017/18.

(Photo by Lars Baron/Bongarts/Getty Images)

Satu lagi perkara yang menjadi signifikan dalam peningkatan prestasi Liverpool pada musim ini adalah aspek lontaran ke dalam oleh pemain-pemain – selepas bola keluar dari permainan. Anda tidak tersilap baca perenggan ini. Tetapi bagaimana lontaran ke dalam boleh membantu pasukan seperti Liverpool?

Bola sepak moden sering kali mewajibkan setiap perkara digariskan secara terperinci – baik dari segi taktikal mahu pun kemahiran teknikal pemain – dan ini termasuklah lontaran ke dalam.

Pada musim panas lalu, Liverpool mengumumkan pelantikan Thomas Gronnemark sebagai jurulatih lontaran ke dalam. Langkah ini dilihat agak skeptik oleh ramai, termasuklah oleh segelintir penyokong Liverpool sendiri pada ketika itu.

“Ia amat ketara apabila bercakap mengenai lontaran ke dalam, ramai akan memikirkan ia adalah bertujuan untuk menanduk masuk ke arah gawang. Ia tidak begitu.

“Terdapat 18 jenis penyelesaian untuk lontaran ke dalam dan kami [Liverpool] mahu memastikan pengusaaan bola diteruskan selepas setiap lontaran dilakukan.

Tidak ada gunanya anda memenangi lontaran, dan kemudian hilang penguasaan ketika situasi 50-50. Ia adalah satu perkembangan penting.” jelas Klopp mengenai perlantikan Gronnemark.

Perkara kecil yang diperlekeh

“Maafkan saya, adakah anda berkata anda adalah seorang jurulatih lontaran ke dalam?

“Ambil bola ini dengan kedua-dua belah tangan, letakkan di belakang kepala dan lontarkan dengan memastikan kedua-dua kaki berpijak atas tanah,” ujar bekas penyerang Scotland, Andy Gray ketika mendengar pelantikan Gronnemark oleh Liverpool secara sinis.

Komen-komen sedemikian sememangnya sudah lali didengar oleh Gronnemark. Malah beliau sendiri menyifatkan ia adalah pekerjaan yang pelik.

Hasil kerja Gronnemark

Bukti hasil kerja Grønnemark sudah menampakkan hasil – bersama kelab terdahulu. Southampton dan Manchester United adalah dua kelab Inggeris yang pernah tewas kepada Midtjylland pada 2015 dan 2016 dalam pertandingan UEFA Europa League.

“FC Midtjylland telah menunjukkan bagaimana lontaran ke dalam boleh dijadikan senjata utama di dalam bola sepak jika menggunakan teknik yang betul.

“Jika ianya terlalu tinggi, maka ianya akan mudah dipertahankan oleh lawan. Jika anda melakukan lontaran yang tepat, sedikit mendatar, dan diadun dengan sedikit gerakan taktikal, maka ia akan menjadi lebih mudah untuk menjaringkan gol,” tambah beliau lagi.

Misi Grønnemark bukan setakat mengajar pemain mengancam pertahanan lawan dengan lontaran.

Secara keseluruhan, akan ada 30 sehingga 50 lontaran ke dalam, di satu perlawanan, dan rekod menunjukkan 50% daripada lontaran menyebabkan sesebuah pasukan hilang penguasaan bola apabila ditekan oleh lawan.


Tugas lain Grønnemark ialah memastikan teknik lontaran dimaksimakan dari segi jarak, dan juga membentuk pilihan arah lontaran demi memastikan penguasaan bola terus diperolehi oleh pasukan.

Input di Melwood

Perkara sama turut dilakukan oleh Grønnemark di Melwood. Trent Alexander-Arnold, Joe Gomez dan juga Andrew Robertson adalah antara pemain yang memanfaatkan ilmu dari jurulatih yang berasal dari Denmark ini.

“Saya melihat Joe Gomez telah melakukan beberapa lontaran ke dalam berkualiti tinggi yang sebelum ini tidak pernah dilakukan oleh beliau,” ujar bekas penyerang Arsenal, Ian Wright dalam satu perkongsian bersama Radio 5, Monday Night Club sekitar September lalu.

“Jelas sekali Gomez mempelajari sesuatu dari jurulatih [Grønnemark], dan ini pasti memberikan kelebihan kepada Liverpool.”

Andy Robertson pula pernah mendedahkan bagaimana jarak lontaran beliau meningkat sehingga sejauh 6 meter selepas menjalani latihan bersama Grønnemark, tetapi perkara yang lebih penting ialah bagaimana Liverpool mencari peluang dengan lontaran pendek, atau pun pantas.

Klopp juga mendedahkan bagaimana peranan Roberto Firmino yang terlibat untuk memburu lontaran ke dalam oleh rakan sepasukan, atau sekurang-kurangnya mencuri tumpuan pemain lawan bertujuan membuka ruang.

Idea Grønnemark

Grønnemark mempunyai idea dan pandangan tersendiri tentang bagaimana lontaran boleh digunakan untuk membantu sesebuah pasukan.

“Jika anda mahu seorang pemain bola sepak profesional tampil sebagai pemain terbaik dunia dalam melakukan lontaran, maka saya katakan anda terlalu optimistik. Kebiasaannya lontaran mereka sangat buruk.

“Lontaran yang dilakukan secara fokus dan betul boleh menyelamatkan sebuah kelab kecil, dan dianggap sebagai satu teknik untuk terus kekal bersaing.

“Tetapi untuk pasukan yang berada di kelompok atasan, ia akan membantu anda dengan corak permainan tertentu. Lontaran ke dalam sepatutnya menjadi kelebihan, tanpa mengira posisi anda di dalam saingan liga,” jelas beliau.

Secara asasnya, Gronnemark menekankan tiga jenis lontaran: lontaran jauh, lontaran yang dilakukan secara pantas untuk tujuan counter-attack dan juga lontaran yang dianggap ‘bijak’ kerana ia membantu pasukan mengekalkan penguasaan ketika lawan melakukan ‘pressing’.

Rumusan

Bagi Jurgen Klopp, aspek lontaran adalah salah satu butiran kecil yang harus diambil berat dalam mewujudkan sebuah pasukan yang serba boleh. Adakalanya butiran yang dianggap kecil, mampu memberi perbezaan besar kepada pasukan. Itulah yang dibuktikan oleh Liverpool pada musim ini.

Begitu juga dengan apa yang dibawa oleh Gronnemark untuk Liverpool. Ia bukan sekadar lontaran seperti yang dinyatakan oleh Andy Gray. Lebih dari itu, ia adalah mengenai cara untuk mengelak ancaman, meneruskan penguasaan bola dalam perlawanan, dan juga salah satu pilihan lain untuk menjaringkan gol. Ia jelas mampu membawa perbezaan kepada corak dan variasi permainan sesebuah pasukan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN