Setakat 10 Oktober 2017, sebanyak 24 pasukan telah mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia 2018 di Russia. 17 daripada 24 negara ini juga pernah layak semasa edisi Piala Dunia 2014.
Serbia pula akan kembali beraksi dalam Piala Dunia selepas terlepas edisi 2014. Poland dan Arab Saudi pula kedua-duanya kembali sejak kali terakhir beraksi dalam edisi 2006. Mesir pula kembali selepas kali terakhir beraksi pada edisi 1990 – iaitu 28 tahun lepas.
Iceland dan Panama pula layak buat kali pertama.
Edisi 2018 kali ini juga menyaksikan beberapa negara terkenal yang terlepas kelayakan. Antaranya ialah juara Copa America 2015 dan naib juara Piala Konfederasi 2017, Chile. Belanda yang pernah menduduki tempat ke-3 Piala Dunia 2014 juga terlepas edisi tahun depan.
Manakala Amerika Syarikat gagal layak buat pertama kali sejak 32 tahun.
Adidas pilihan majoriti 23 pasukan
Seperti biasa, rekaan jersi pasukan-pasukan yang layak ke Piala Dunia 2018 akan menjadi tumpuan peminat-peminat bola sepak.
Daripada 23 negara yang sudah layak, Adidas dan Nike masih merupakan pengeluar jersi paling popular. Antara jenama lain yang turut mempunyai pasukan di Piala Dunia 2018 adalah New Balance, Errea, Puma dan Umbro.
Berikut merupakan senarai rekaan jersi pasukan-pasukan Piala Dunia 2018 (akan dikemaskini dari semasa ke semasa):
1. Belgium (Adidas)
Diinspirasikan oleh rekaan jersi retro Belgium pada tahun 1984 (lihat gambar bawah), rekaan jersi home terbaru Belgium keluaran Adidas ini bagaimanapun tidak memasukkan jalur putih seperti rekaan 1984.
Berbeza dengan rekaan jersi home Belgium yang dikeluarkan pada 6 Oktober lepas, rekaan jersi away Belgium pula akan dikeluarkan oleh Adidas pada Mac 2018 kelak.
Menurut Footy Headlines, jersi away Belgium akan berwarna kuning, berdasarkan template jersi Condivo 18 keluaran Adidas.
2. England (Nike)
Berbeza dengan rekaan jersi 2016 mereka yang terlalu ringkas, rekaan jersi home England untuk Piala Dunia 2018 masih menggunakan warna putih sebagai warna asas.
Cuma berbezanya, kali ini rekaan jersi mereka akan menampilkan grafik salib St. George di depan dan menggunakan template jersi Nike Vapor.
Rekaan jersi away England pula akan menggunakan warna asas merah dan putih.
Kedua-dua rekaan jersi home dan away England ini akan dikeluarkan secara rasmi oleh Nike pada Mac 2018 nanti.
3. Perancis (Nike)
Sejak Nike mengambil alih pengeluaran jersi Perancis, mereka sentiasa menggunakan warna asas biru pekat sebagai warna jersi home mereka. Cuma warna biru pekat ini akan diselang-selikan dengan warna biru cerah.
Rekaan jersi away Perancis pula akan menggunakan warna asas putih beserta grafik garisan biru dan merah yang disusun secara rambang.
Kedua-dua rekaan jersi home dan away Perancis ini akan dikeluarkan secara rasmi oleh Nike pada Mac 2018 nanti.
4. Jerman (Adidas)
Rekaan jersi home Jerman untuk Piala Dunia 2018 mengambil inspirasi daripada rekaan jersi retro Jerman pada tahun 1990 (lihat gambar bawah).
Malah Adidas turut mengambil langkah tambahan untuk menghasilkan rekaan yang betul-betul mirip rekaan jersi Jerman pada tahun 1990 – termasuk menggunakan potongan bahu jersi yang mirip potongan bahu jersi retro itu.
Jersi away Jerman pula akan menggunakan warna asas hijau (equatic green) seperti yang pernah digunakan dalam rekaan jersi away Jerman pada tahun 1994 (lihat gambar bawah). Ia akan dikeluarkan secara rasmi pada Mac 2018 nanti.
5. Iceland (Errea)
Iceland akan menggunakan jersi Errea. Rekaan jersi mereka akan dikeluarkan pada Mac 2018 nanti.
6. Poland (Nike)
Poland akan menggunakan jersi Nike. Rekaan jersi mereka akan dikeluarkan pada Mac 2018 nanti.
7. Portugal (Nike)
Jersi home Portugal untuk Piala Dunia 2018 dijangka akan menggunakan warna asas tradisional dan mengikut rekaan template jersi Nike Vapor 2018.
Selepas menggunakan warna asas hijau sebagai warna jersi away mereka pada tahun lepas, kali ini Portugal kembali menggunakan warna asas putih dalam jersi away mereka. Ia turut dilengkapkan dengan grafik salib berwarna hijau.
8. Russia (Adidas)
Seperti rekaan-rekaan jersi Adidas yang lain, rekaan jersi home Russia turut mengambil inspirasi daripada rekaan jersi retro USSR pada tahun 1988 (gambar bawah).
Manakala jersi away Russia akan menggunakan warna asa putih dan biru. Rekaan jersi akan diumumkan secara rasmi pada Mac 2018.
9. Serbia (Umbro)
Jersi Serbia akan direka oleh Umbro dan akan dikeluarkan pada Mac 2018.
10. Sepanyol (Adidas)
Diinspirasikan daripada rekaan jersi retro Sepanyol semasa kempen Piala Dunia 1994 (gambar bawah), jersi Sepanyol untuk Piala Dunia 2018 akan datang menampilkan logo Adidas di tengah dan grafik berlian berwarna kuning, biru dan merah di tepi jersi.
Manakala rekaan jersi away Sepanyol akan menggunakan warna asas ‘halo blue’ (biru cair yang menghampiri putih).
11. Brazil (Nike)
Jersi home Brazil pada Piala Dunia 2018 nanti dikhabarkan akan menggunakan warna asas kuning berlainan – yang dipanggil ‘Midwest Gold’. Ia turut akan mengikut template jersi Nike Vapor 2018.
Jersi away Brazil pula akan menggunakan warna asas biru dan kuning. Kedua-dua jersi home dan away baru Brazil akan dilancarkan secara rasmi pada Mac 2018 akan datang.
12. Argentina (Adidas)
Adidas sekali lagi mengambil inspirasi old school dalam pembikinan rekaan jersi home Argentina apabila merujuk kepada rekaan jersi home Argentina ketika mereka menjuarai Copa America pada tahun 1993 (gambar bawah).
Jika sebelum ini Adidas memilih warna biru gelap sebagai warna asas jersi away Argentina, kali ini mereka memilih warna hitam sepenuhnya pula.
13. Uruguay (Puma)
Jersi Uruguay untuk kempen Piala Dunia 2018 nanti akan dibangunkan oleh Puma.
14. Colombia (Adidas)
Seperti jersi-jersi Adidas lain, jersi home Colombia turut mengambil inspirasi daripada rekaan jersi retro mereka pada tahun 1990 (gambar bawah).
Menariknya jersi home Colombia turut menggunakan potongan bahu yang sama seperti jersi home Jerman. Potongan bahu yang melewati bahagian bahu pemakai ini adalah untuk memberi visual yang mirip dengan potongan bahu jersi era 90-an.
Manakala bagi jersi away pula, buat kali pertamanya Colombia akan menggunakan warna biru dan oren. Ia turut dijangka akan mengambil inspirasi daripada jersi-jersi retro Colombia pada era 70-an dan 80-an.
15. Mexico (Adidas)
Rekaan jersi home Mexico untuk kempen Piala Dunia 2018 adalah paling awal dikeluarkan oleh Adidas iaitu pada 2 November lepas.
Diinspirasikan daripada jersi retro Mexico buatan Umbro pada tahun 1994 (gambar bawah) yang mempunyai grafik unik di bahagian depan (lihat gambar bawah), jersi home Mexico yang baru ini menampilkan grafik yang lebih kemas.
Manakala jersi away Mexico menggunakan warna putih sebagai warna asas. Ia turut dilengkapi dengan jalur melintang berwarna hijau gelap dan maroon. Rekaan ini mengambil inspirasi daripada rekaan jersi retro Mexico pada era 1950-an.
16. Costa Rica (New Balance)
Jersi Costa Rica untuk Piala Dunia 2018 akan direka oleh New Balance. Ia akan dilancarkan seawal-awalnya pada Mac 2018 akan datang.
17. Panama (New Balance)
Seperti Costa Rica, Panama yang baru pertama kali menyertai Piala Dunia turut akan mendapat jersi yang direka oleh New Balance. Ia akan dilancarkan seawal-awalnya pada Mac 2018 akan datang.
18. Iran (Adidas)
Masih tiada sebarang maklumat tentang rekaan jersi Iran yang diperolehi ketika artikel ini ditulis.
19. Jepun (Adidas)
Bagi kami, jersi home Jepun untuk Piala Dunia 2018 adalah jersi paling memikat hati selain jersi home Jerman.
Mengambil inspirasi daripada baju perisai samurai, rekaan jersi ini bukan sahaja satu hasil inovasi dari Adidas. Malah turut menampilkan perincian yang cukup teliti terutamanya di bahagian leher.
Bagaimanapun masih tiada sebarang maklumat mengenai rekaan jersi away Jepun yang bakal dikeluarkan secara rasmi pada Mac 2018 nanti.
20. Korea Selatan (Nike)
Seperti jersi Nike lain, rekaan jersi home Korea Selatan hanya dapat diketahui secara rasmi pada Mac 2018 nanti.
21. Arab Saudi (Nike)
Jersi Arab Saudi untuk Piala Dunia 2018 akan dikeluarkan secara rasmi oleh Nike pada Mac 2018 nanti. Masih tiada sebarang maklumat mengenai bagaimanakah rupa rekaannya.
22. Senegal (Romai)
Jersi Senegal dibangunkan oleh Romai, pengeluar barangan sukan dari UAE. Setakat ini masih tiada sebarang info mengenai rekaan jersi Senegal pada Piala Dunia 2018 akan datang.
23. Nigeria (Nike)
Jersi ANigeria untuk Piala Dunia 2018 akan dikeluarkan secara rasmi oleh Nike pada Mac 2018 nanti. Masih tiada sebarang maklumat mengenai bagaimanakah rupa rekaannya.
24. Mesir (Adidas)
Berbeza dengan jersi Adidas untuk negara lain, rekaan jersi home Mesir tidak diinspirasikan oleh aman-mana rekaan jersi retro Mesir. Sebaliknya Adidas mengambil pendekatan ‘less is more’ dengan menampilkan motif petak (checkered-motif) pada fabrik dan warna merah sebagai warna asas.
Rekaan jersi away Mesir pula akan diketahui pada Mac 2018 nanti.