Senarai Pemain Chelsea Yang Harus Risau Akan Pelantikan Thomas Tuchel

Sebaik sahaja ‘menghalau’ Frank Lampard,  Chelsea dengan pantas mengumumkan jurulatih warga Jerman, Thomas Tuchel untuk memulihkan keadaan pasukan itu.

Tuchel cukup terkenal dengan kebijaksanaannya dalam taktikal dan telah membuktikannya keupayaannya ketika membimbing Mainz, Borussia Dortmund dan Paris Saint-Germain (PSG).

Kelibat Tuchel yang bakal mengemudi Chelsea pasti membuatkan ramai penyokong tegar The Blues teruja. Namun bagi pemain-pemain ini, ia mungkin ibarat neraka bagi mereka.

Tammy Abraham

Pelantikan Tuchel sudah pasti menjadi perkhabaran positif buat Timo Werner dan Kai Havertz. Namun sebaliknya ia boleh membawa musibah buat pemain seperti Tammy Abraham.

Tuchel dilantik dengan misi untuk mengoptimumkan bakat dua pemain termahal yang dibawa masuk pada jendela perpindahan musim panas lalu. Ini bermakna kedua-dua pemain akan mengisi posisi kegemaran masing-masing dengan Werner dijangka akan mengisi posisi sebagai penyerang tengah.

Werner sebelum ini bermain di beberapa posisi di bahagian serangan pasukan kendalian Lampard. Walaupun boleh beraksi di sebelah kiri, Werner bagaimanapun paling efektif ketika berada semakin dekat dengan gol.

Maka apabila Tuchel mengutamakan Werner di posisi tengah serangan, ia akan menjadi halangan buat Abraham – dan sudah tentu juga Olivier Giroud – yang akan turut terkesan.

Kurt Zouma

Tuchel adalah dari Jerman. Antonio Rudiger juga dari Jerman. Tetapi Zouma bukan dari Jerman. Sehingga setakat ini ia belum memberi masalah buat Zouma.

Lampard menyalahkan Rudiger atas beberapa kesilapan mudah yang dilakukan oleh Rudiger apda awal musim, dan Zouma menggunakan peluang itu dengans sebaik mungkin untuk menjadi pilihan gandingan kepada Thiago Silva oleh Lampard.

Zouma beraksi dalam 17 perlawanan Liga Perdana Inggeris dan hanya tidak diturunkan dalam dua perlawanan pertama. Namun selepas prestasi serba tidak menentu The Bluez, Zouma kembali ke bangku pemain simpanan, dan Rudiger kembali mendapat kepercayaan Lampard sebelum pemecatannya.

Dan posisi pertahanan tengah tersebut mungkin akan terus menjadi milik Rudiger di bawah kendalian Tucjel. Di Jerman, Rudiger masih lagi dianggap sebagai antara pemain pertahanan tengah ampuh, dan beliau merupakan anggota skuad kebangsaan Jerman.

Callum Hudson-Odoi

Tidak dinafikan Hudson-Odoi sukar untuk mendapatkan tempat di dalam kesebelasan utama Chelsea di bawah kendalian Lampard pada musim ini. Dan perkara itu dijangka tidak akan berubah, mengambil kira faktor Thomas Tuchel sudah pun biasa dengan kelibat Christian Pulisic.

Pertukaran pengurus telah tiba pada masa yang kurang tepat buat pemain sayap England ini. Hudson-Odoi baharu sahaja menampilkan beberapa aksi memberangsangkan sebaga pemain gantian, walaupun terlepas beberapa peluang dalam perlawanan menentang Leicester pada minggu lalu.

Dari segi persaingan Hudson-Odoi turut mampu menyumbang seperti apa yang dilakukan Pulisic. Pemain sayap Amerika Syarikat itu gagal menghasilkan gol atau assist dari sembilan perlawanan lalu. Hudson-Odoi pula menjaringkan lima gol dari tujuh penampilan terakhirnya termasuk penampilan sebagai pemain gantian ketika tewas kepada Arsenal pada Boxing Day.

Di sebalik rekod itu, Tuchel berkemungkinan tetap tidak akan mengendahkan Hudson-Odoi dan memberikan tumpuan lebih kepada Pulisic – pemain yang dibangunkan oleh pengurus dari Jerman itu sendiri ketika kedua-duanya masih bersama di Borussia Dortmund.

Untuk pilihan pemain sayap, Pulissc dan Hakim Ziyech dilihat adalah pemain pilihan pertama Tuchel di bahagian sayap.

Mason Mount

Tiada perkara lain yang paling menakutkan buat pemain seperti Mount selain daripada perkara yang sukar dijangka.

Selain daripada pengalaman semusim bersama Vitese Arnheim, pemain tengah ini tidak pernah merasai saingan bola sepak kompetitif jika tidak kerana bimbingan oleh Fran Lampard.

Sejak dari itu, Mount sentiasa menjadi pemain kesayangan Lampard di posisi tengah, dan menjadi aset Chelsea tatkala kelab itu digantung dari sebarang aktiviti perpindahan pemain sebelum itu.

Baru berusia 22 tahun, Mount hanya tidak beraksi dalam dua perlawanan Chelsea pada musim lalu. Musim ini Mount telah beraksi dalam 27 perlawanan di semua pertandingan.

Tanpa Lampard, Mount sendiri tidak mengetahui apakah nasib yang perlu dihadapinya selepas ini.

Cesar Azpilicueta

Sukar untuk tidak melihat pemecatan Frank Lampard sebagai berita buruk buat kapten The Blues ini.

Sebelum ini lagi ramai penyokong Chelsea sendiri sudah bertanggapan tempoh Azpilicueta di Stamford Bridge sudah pun berada di pengakhiran. Namun Lampard tetap melihat kualiti kepimpinan pemain itu sebagai kualiti yang perlu dimiliki pasukan, lebih-lebih lagi dalam membimbing ramai pemain muda yang dibawa masuk pada musim lalu.

https://twitter.com/ChelseaFCBlogs_/status/1353771987261415425

Namun Tuchel; disifatkan oleh Dani Alves sebagai ‘seorang Jerman dengan jiwa Brazil’, lebih gemar dengan pemain bek sayap yang lebih agressif dalam serangan lebih dari apa yang Azpilicueta mampu tawarkan kepada pasukan.

Reece James mungkin masih lagi pemain muda. Tetapi pemain berusia 21 tahun itu mampu menjadi ancaman serangan yang lebih baik kepada pemain lawan. Musim ini sahaja, James telah melengkapkan 17 hantaran lintang, dan hanya kurang lima hantaran lintang berbanding Ben Chilweill.

Sukar untuk melihat Tuchel mengekalkan Azpilicueta melangkaui musim ini.

Penutup

Apa pendapat anda terutamanya penyokong Chelsea? Anda mempunyai senarai pemain lain yang patut risau dengan perubahan yang akan dilakukan oleh Thomas Tuchel?

Atau mampukah lima pemain di atas bangkit untuk menjadi versi pemain lebih baik di bawah kendalian Tuchel? Bincangkan di platform yang kami sediakan.

 

 

Baca artikel menarik lain mengenai Chelsea di:

5 Pencapaian Terbaik Frank Lampard Sebagai Pengurus Chelsea

Gary Neville Jangka Thomas Tuchel Tak Akan Lama Di Chelsea

5 Perkara Daripada Pemecatan Frank Lampard Oleh Chelsea

One Comment

Leave a Reply