Senarai Jersi Dipakai Setiap Negara Di EURO 2020

20 pasukan sudah pun mengesahkan tempat ke Kejohanan Euro 2020 manakala empat lagi kekosongan bakal diisi pemenang peringkat playoff yang akan berlangsung pada 26 dan 31 Mac tahun hadapan.

Antara perkara menarik dapat diperkatakan pada edisi kali ini adalah tugasan getir yang bakal menanti juara bertahan, Portugal setelah diundi dalam satu kumpulan bersama-sama juara Piala Dunia 2018, Perancis dan Jerman.

Kejohanan yang diadakan di 12 bandar seluruh Eropah bermula 13 Jun 2020 turut memberikan makna yang cukup besar buat Finland apabila akan membuat penampilan sulung dalam sejarah negara tersebut.

Selain itu, kelibat dua bekas juara yang sekadar menjadi penonton pada persaingan di edisi 2016 di Perancis iaitu Belanda dan Denmark juga dapat kembali disaksikan pada kali ini.

Nike dan Adidas jadi pilihan utama

Seperti kebiasaan sebelum berlangsungnya satu-satu kejohanan bola sepak, rekaan jersi pasukan bertanding pasti menjadi antara topik yang akan mencuri tumpuan.

Daripada senarai 20 pasukan yang sudah mengesahkan tempat ke pentas tertinggi bola sepak Eropah tersebut, Nike menjadi pengeluar jersi popular dengan lapan tajaan pasukan manakala Adidas mewakili enam pasukan. Puma pula dengan empat pasukan manakala Hummel dan Joma masing-masing satu.

Berikut merupakan senarai rekaan jersi pasukan-pasukan Euro 2020 (akan dikemaskini dari semasa ke semasa) mengikut turutan kumpulan:

Kumpulan A

1) Itali (Puma)

Embed from Getty Images

Itali yang mendapat sentuhan Puma dilihat masih belum memperkenalkan jersi home tetapi sebaliknya sudah mengeluarkan jersi away dengan warna putih selaku warna dominan.

Jersi ini sudah mula digunakan oleh skuad The Azzuri pada aksi kelayakan Euro 2020 ketika bertemu Bosnia and Herzehovina [15 November] dan Armenia berselang tiga hari kemudian.

Jersi home dengan warna tradisi, biru dilaporkan akan diperkenalkan kepada umum pada bulan Mac 2020.

2) Switzerland (Puma)

Embed from Getty Images

Turut menggunakan Puma, Switzerland juga akan memperkenalkan jersi home bagi menghadapi Euro 2020 pada Mac 2020 nanti.

Bagi rekaan jersi away, template yang serupa seperti Itali pada jersi Switzerland ini dengan warna putih serta rekaan unik dan mencuri tumpuan di bahagian hadapan.

Empat jalur berbeza warna pada jersi tersebut menjadi simbolik kepada empat bahasa rasmi di Switzerland iaitu German, French, Italian dan Rhaeto-Romanic.

3) Turki (Nike)

Masih tiada sebarang maklumat rasmi mengenai jersi Turki untuk saingan Euro 2020 yang akan direka oleh Nike. Namun, khabar angin mengatakan bahawa ia bakal diinspirasikan oleh template klasik Total 90.

4) Wales (Adidas)

Embed from Getty Images

Jersi home keluaran Adidas ini menampilkan logo baharu Wales FA yang pertama kali digunakan.

Tiga jalur yang menjadi lambang keagungan Adidas diletakkan di bahagian bahu serta menggunakan template Condivo 20.

Sementara itu, kombinasi warna kuning, merah, hijau dan putih di lengan menyerlahkan lagi ciri-ciri klasik pada jersi semi finalis edisi lalu ini.

Kumpulan B

1) Belgium (Adidas)

Embed from Getty Images

Berbeza dengan jersi Wales yang kelihatan klasik, Adidas dilihat menampilkan kelainan pada jersi pasukan nombor satu dunia ini.

Jersi Belgium memperlihatkan grafik menarik seakan-akan berbentuk ‘B’ dengan kombinasi warna hitam dan merah yang jelas mencuri tumpuan.

Di samping, merah masih menjadi warna dominan, bahagian kolar dan lengan diperkemaskan dengan warna hitam dan kuning serta logo Belgium FA yang baharu. Pada pandangan peribadi penulis, jersi ini antara yang paling memikat hati.

Jersi home pasukan Belgium yang keluaran Adidas telah diperkenalkan kepada umum pada 11 November yang lalu manakala jersi away pula akan dilancarkan Mac 2020.

2) Denmark (Hummel)

Jersi Denmark dibangunkan oleh pengeluar barangan tempatan [Aarhus, Denmark], Hummel. Setakat ini masih tiada sebarang info mengenai rekaan jersi skuad dikenali Danish Dynamite itu pada Euro 2020 akan datang.

3) Finland (Nike)

Jersi Finland direka oleh Nike tetapi masih tiada sebarang maklumat mengenai bagaimanakah rupa rekaannya bagi menghadapi saingan kumpulan C Euro 2020.

4) Rusia (Adidas) 

Embed from Getty Images

Seperti diketahui, kedudukan Rusia dalam saingan Euro 2020 sedikit terancam selepas Agensi Anti Dadah Dunia (WADA) menggantung semua atlet dari negara berkenaan bertanding di semua kejohanan antarabangsa.

Namun, kita lupakan tentang perkara tersebut kerana jersi Rusia sudah dikeluarkan oleh Adidas dengan penggunaan template Condivo 20.

Kolar putih dan lengan berwarna biru dan putih memberikan gambaran jelas ciri-ciri bendera Rusia yang membawa elemen patriotik.

Motto bagi jersi Rusia ini ialah ‘art meets sports’.

Kumpulan C

1) Austria (Puma)

Embed from Getty Images

Seperti Itali dan Switzerland yang menggunakan Puma, jersi home Austria juga masih belum lagi dikeluarkan tetapi pengeluar barangan sukan terkenal dari Herzogenaurach itu menerapkan dominasi warna hitam pada jersi away mereka.

Elemen seni Art Nouveau yang menguasai Austria pada kurun ke-19 dan ke-20 ditampilkan pada jersi ini dengan warna emas pada logo Puma.

2) Belanda (Nike)

Kredit foto: Footy Headlines

Menurut sumber Footy Headlines, foto jersi home Belanda berwarna jingga yang direka oleh Nike itu telah tersebar dengan motif singa pada bahagian hadapan jersi tersebut.

Nike dilaporkan akan melancarkan jersi tersebut pada Mac atau April 2020.

3) Ukraine (Joma)

Jersi Ukraine untuk Euro 2020 akan direka oleh Joma. Namun masih tiada sebarang maklumat terkini berkenaan pelancaran atau ciri-ciri pada jersi tersebut.

Kumpulan D

1) Croatia (Nike)

Rekaan jersi Croatia berkemungkinan hanya dapat diketahui secara rasmi pada Mac 2020 nanti tetapi pasukan ini pastinya tidak akan ‘berenggang’ dengan corak petak seolah-olah papan catur.

2) England (Nike)

Seperti yang dilakukan pada tahun 2016 dan 2018, Nike akan melancarkan kedua-dua jersi home dan away buat pasukan England secara serentak dan dijangka bakal berlangsung pada Mac 2020.

3) Republik Czech (Puma)

Embed from Getty Images

Republik Czech yang terus setia bersama Puma telah menyaksikan kelainan amat ketara pada jersi away mereka.

Sekiranya sebelum ini warna putih seakan-akan sudah sebati sebagai warna utama jersi away Republik Czech, tetapi tidak bagi menghadapi Euro 2020 ini.

Jersi away bagi naib juara edisi 1996 itu menampilkan warna ‘lime green’ dengan tulisan ‘CZECH REPUBLIC’ di bahagian belakang kolar jersi tersebut.

Kumpulan E

1) Poland (Nike)

Masih tiada sebarang maklumat tentang rekaan jersi Poland yang diperolehi ketika artikel ini ditulis.

2) Sepanyol (Adidas)

Embed from Getty Images

Jersi home pasukan Sepanyol keluaran Adidas telah dilancarkan pada 11 November lalu dengan mengekalkan warna merah seperti kebiasaan tetapi reka bentuk bagi Euro 2020 tampak unik berbanding sebelum ini.

Jersi ini diserikan dengan reka bentuk ‘pixelated’ yang diilhamkan daripada bendera Sepanyol. Ia menghasilkan reka bentuk warna merah yang berlainan tona sehingga ke bahagian lengan jersi.

Tiga jalur ‘3 Stripes’ Adidas terdapat di bahagian atas bahu manakala kolar pula mengambil inspirasi sekitar 90-an bagi melengkapkan reka bentuk tersebut.

3) Sweden (Adidas)

Embed from Getty Images

Jersi home bagi pasukan Sweden ini menggunakan template Condivo 20 dan sudah mula digunakan pada aksi Kelayakan Euro 2020 ketika bertemu Romania dan Faroe Islands, November lalu.

Reka bentuk ringkas dengan warna kuning yang dominan serta kombinasi ‘dark blue’ pada tiga jalur di bahagian bahu. Bahagian hujung lengan pula menyaksikan kombinasi warna ‘dark dan royal blue’

Jersi away pula akan diperkenalkan pada Mac 2020.

Kumpulan F

1) Perancis (Nike)

Seperti pasukan lain yang menggunakan jenama Nike, masih lagi tiada informasi rasmi terkini berhubung reka bentuk jersi yang akan digunakan Perancis bagi menghadapi Euro 2020.

2) Jerman (Adidas)

Embed from Getty Images

Jersi pasukan juara tiga kali Kejohanan Euro ini telah dilancarkan pada 11 November lalu yang menyaksikan ia digunakan pada aksi menentang Belarus dan Ireland Utara, tempoh hari.

Dengan jalur melintang pada bahagian hadapan, keluaran terbaharu daripada Adidas ini memperlihatkan sentuhan yang lebih moden.

Warna hitam, merah dan emas di bahagian hujung lengan menjadikan jersi ini lebih menarik. Seperti pasukan lain yang menggunakan Adidas, jersi away Jerman akan dilancarkan pada Mac 2020.

3) Portugal (Nike)

Masih tiada sebarang maklumat mengenai bagaimanakah rupa rekaan Jersi Portugal untuk Euro 2020.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN