Senarai Bintang Dunia Pernah Diasuh Koeman Jadi Sebab Utama Barcelona Harus Bersabar

Apakah keistimewaan Ronald Koeman sehingga diberikan kepercayaan  oleh Barcelona untuk mengembalikan kegemilangan kelab Catalan itu?

Perlantikan Koeman sedikit sebanyak telah dikritik oleh sebahagian penyokong dan peminat Barcelona, dan ramai yang melihat tempoh Koeman bersama Everton sebagai rujukan untuk menilai kebolehan pengendali dari Belanda itu di peringkat kelab.

Pada hari ini kedudukan Barcelona di saingan La Liga sememangnya terumbang ambing. Namun tidak adil untuk melabel Koeman gagal pada musim pertamanya. Apatah lagi saingan liga bahau berjalan separuh jalan sahaja.

Tidak ramai yang menyedari di bawah kendalian Koeman, terdapat ramai pemain berkelas dunia yang pernah mendapat asuhan dan sentuhan dari bekas libero Barcelona ini sebelum bergelar pemain berkelas dunia.

Berdasarkan bukti-bukti ini bukankah pengurusan dan penyokong Barcelona sepatutnya lebih bersabar dengan proses yang diusahakan oleh Koeman?

Bermula dengan Zlatan Ibrahimovic di Ajax

Koeman pernah mengendalikan Ajax selama empat musim pada awal kariernya sebagai pengurus dan jurulatih, dan antara pemain terawal yang dibeli oelh Koeman ialah seorang penyerang tinggi lampai dari Malmo yang dianggap memiliki potensi luar biasa.

Penyerang yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan adalah Zlatan Ibrahimovic, dan sejak hari pertama bergelar pemain di Ajax, Zlatan Ibrahimovic pantas bergelar mesin gol untuk kelab Amsterdam itu.

Empat tahun kemudian, Ibrahimovic kemudiannya dijual ke Juventus pada nilai €16 juta. Pada era itu, nilai tersebut dianggap amat tinggi. Dan sepanjang berada di Ajax, Koeman turut bertanggungjawab mengenengahkan bakat muda dari akademi Ajax. Antaranya ialah Wesley Sneijder dan juga Rafael can der Vaart.

Juan Mata dan Ever Banega di Valencia

Tempoh masa Koeman bersama Valencia sebenarnya agak rumit. Walaupun berjaya membawa kelab tersebut menjulang gelaran Coa del Rey, terdapat banyak masalah timbul ketika Koeman di Mestalla.

Di sebalik perkara serba tidak kena di Valencia, Koeman berjaya memberikan Juan Mata yang pada ketika itu berusia 19 tahun keyakinan untuk beraksi di dalam skuad utama.

Pada Januari 2008, Koeman juga bertanggungjawab membawa masuk Ever Banega ke Mestalla untuk beraksi bersama skuad utama juga pada usia 19 tahun.

Mane dan Van Dijk bukti analisis Koeman

Liverpool dikatakan memiliki sistem analisis pemain terhebat di dunia. Sering kali dikaitkan dengan filem ‘Moneyball’, pasukan teknikal diketuai oleh Michael Edward dikatakan mampu mencari pemain berbakat yang sesuai pada harga yang berpadananan.

Lupakan kehebatan Liverpool dalam memancing dua pemain terhebat mereka, Sadio Mane dan Virgil van Dijk. Sebelum Liverpool menyedari kehebatan kedua-dua pemain ini, Ronald Koeman sudah terlebih dahulu mengetahui potensi Mane dan Van Dijk.

Selepas hilang ramai pemain bintang di St.Mary’s yang memilih ke Anfield (Peter Crouch, Rickie Lambert, Adam Lallana, Dejan Lovren, dan Nathaniel Clyne), Koeman terpaksa melakukan pencarian untuk memperbaiki skuad Southampton yang tempang.

Pembelian Sadio Mane pada harga €24 juta dari RB Salzburg dianggap kunci kepada kebijaksanaan Koeman di pasaran pemain, dan langkah ini diikuti oleh pembelian Van Dijk dengan nilai €16 juta dari Celtic.

Kedua-dua pemain sekali lagi menjadi pemain yang berhijrah ke Anfield dengan nilai €125 juta dan menjadi tunjang kepada kekuatan Liverpool merangkul kejuaraan Champions League dan Premier League.

Tampak seperti kerja mengumpul data analisis yang sering kali disanjung di Anfield sebenarnya buat kerja mudah hasil penat lelah Koeman.

Koeman gagal di Everton?

Ramai bertanggapan Koeman gagal ketika bersama Everton. Pada musim pertamanya (bukan musim penuh) selepas pemecarat Roberto Martinez, Koeman berjaya membantu kelab Merseyside ini menamatkan musim di kedudukan ke-7 dan mendapatkan tempat di Europa League.

Segala-galanya berubah selepas itu. Pemilik kelab melabur £140 juta untuk pemain baharu, namun tetap gagal membawa masuk dua pemain penting yang dipinta oleh Koeman – iaitu pengganti Romelu Lukaku dan seorang No.10.

Hasilnya Everton memiliki tiga pemai No.10 iaitu Rooney, Klaassen dan Sigurdsson bermain bersilih ganti digandingkan sebagai No.9 dan No.10. Sekurang-kurangnya Koeman tidak takut untuk memberikan peluang kepada penyerang England B-20 tahun, Dominic Calvert-Lewin tatkala rakan sepasukan bersama kelab jiran, Dominic Solanke terumbang ambing nasibnya bersama Liverpool.

Namun demikian Calvert-Lewin masih muda dan memerlukan masa untuk matang. Pada masa yang sama Koeman bergelut untuk mencari pasukan terbaik dan formasi paling sesuai berdasarkan pasukan yang tidak seimbang dimilikinya.

Bola sepak sentiasa menjadi bisnes yang berpaksikan keputusan. Hanya selepas 9 perlawanan pada musim 2017/18, Koeman kemudiannya dipecat. Namun Calvert-Lewin kekal menjadi legasi Koeman yang menyinar di Everton pada hari ini.

Skuad muda Belanda

Selepas gagal layak ke kejohanan Euro 2016, dan juga Piala Dunia 2018, Belanda yang dianggap sebagai salah sebuah skuad kebangsaan paling menarik dalam sejarah bola sepak dunia dikhuatiri akan terus hilang.

Dalam situasi ini, seorang jurulatih yang mempunyai falsafah dan mengenali DNA bola sepak Belanda amat diperlukan untuk membangunkan kembali bola sepak di negara itu.

Perlantikan Koeman dianggap sebagai pilihan yang tepat. Koeman memperbaharui skuad Belanda dengan muka baharu – antaranya dua bintang muda Ajax, Frenkie de Jong dan Matthijs de Ligt.

Kedua-dua pemain menjadi pemain tetap dalam kesebelasan utama Belanda dan kini kembali digeruni setelah muncul naib juara UEFA Nations League edisi pertama. Sekurang-kurangnya Koeman telah berjaya mengumpulkan kelompok pemain baharu untuk Belanda.

Rumusan: Tujuan sama di Barcelona

Tujuan perlantikan Koeman di Barcelona amat mudah. Iaitu untuk membentuk skuad Barca yang baharu berpaksikan pemain muda yang segar dan berbakat.

Frenkie de Jong kembali bergabung bersama Koeman di Barcelona. Manakala pemain seperti Ansu Fati dan Pedri pasti akan terus diberikan tempat dan ruang untuk menyerlah.

Ousmane Dembele juga tidak ketinggalan dan Koeman setakat ini teruja dengan apa yang ditampilkan oleh pemain itu. Sergino Dest turut didatangkan dari Ajax setakat ini menjelaskan bagaimana Koeman mahukan lebih ramai tenaga muda di dalam pasukan.

Membangkitkan kembali La Masia juga merupakan satu cabaran buat Koeman. Sudah tentu, untuk membina sebuah pasukan yang baru, ia memerlukan proses.

Sejauh mana Barca mampu sabar sehingga proses itu lengkap juga adalah satu lagi perkara yang perlu kita lihat. Mampukah semua pihak bersabar? Satu perkara yang pasti, Messi adalah sejarah Barcelona di mata Koeman.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN