Senarai Alasan “Ganjil” Pernah Diberikan Klopp Setiap Kali Liverpool Tercicir Mata

Selepas 23 perlawanan diharungi, Liverpool kini telah merekodkan lima kekalahan dan berada di kedudukan kelima Liga Perdana Inggeris. Kekalahan memedihkan kepada Manchester City dengan jaringan 4-1 juga bermakna skuad kendalian Jurgen Klopp kini ketinggalan 10 mata di belakang lawan mereka itu yang selesa menduduki persada liga.

Klopp sememangnya dikenali sebagai seorang pengurus yang lantang ketika bersuara. Kemenangan adalah kebiasaan buat jurulatih dari Jerman ini sejak menyertai Liverpool lebih lima tahun yang lalu. Ia berkait dengan ‘mentaliti kemenangan’ dimiliki oleh beliau.

Maka tidak hairanlah mengapa setiap kali Liverpool ditimpa kekalahan, maka pelbagai jenis alasan boleh kita dengar keluar dari mulut bekas pengendali Borussia Dortmund ini. Menyalahkan pengadil atau VAR mungkin dianggap perkara biasa dan sering kali menjadi perkara pertama untuk dipersalahkan oleh mana-mana jurulatih selepas berhadapan kekalahan.

Berikut pula adalah alasan dan sebab luar biasa yang pernah diberikan Klopp. Sebahagian daripadanya tidak pernah terfikir pun oleh akal fikiran.

1. Klopp salahkan angin

Pada Mac 2019, Taufan Freya melanda Britain dan membawa angin dengan kelajuan 80mph. Dan pada hujung minggu yang sama, skuad kendalian Jurgen Klopp berhadapan Everton dan perlawanan berakhir dengan seri tanpa jaringan.

Perlawanan berlangsung dalam keadaan membosankan, dan pemain bintang seperti Mohamed Salah dan Sadio Mane juga gagal menampilkan prestasi kebiasaan yang selama ini begitu rakus memusnakan lawan.

“Saya tahu tidak ramai suka apa yang saya akan katakan, tetapi angin di sini datang dari setiap sudut dan ia langsung tidak membantu mana-mana perlawanan bola sepak,” ujar Klopp sejurus selepas perlawanan.

2. Padang di Anfield

Pada satu hari perlawanan yang diadakan pada tengah hari di musim bunga, Liverpool merekodkan keputusan seri 0-0 menentang Southampton di Anfield.

Perlawanan  tersebut berlangsung di akhir musim dan The Reds juga melalui musim yang mengecewakan setelah hanya menduduki tangga keempat – 17 mata di belakang juara Chelsea.

Selepas perlawanan, Klopp menyalahkan padang sepenuhnya sebagai punca keputusan seri.

“Permukaan padang amat kering hari ini. Pihak kelab telah menyiram rumput namun selepas 15 minit ia kering kembali disebabkan angin. Apabila bermain secara possession, anda memerlukan padang berada di tahap terbaik.”

3. Klopp salahkan angin dari pelbagai arah

Pada musim yang sama, Liverpool turut disingkirkan dari pertandingan Piala EFL oleh Southampton apabila tewas 1-0 di tempat sendiri.

Seperti kebiasaan dalam temuramah selepas perlawanan, Klopp perlu tamil memberi penjelasan akan kegagalan mereka mara ke perlawanan akhir. Sekali lagi elemen alam menjadi punca.

“Babak pertama, ia amat sukar. Arah tiupan angin ganjil sekali. Ia sukar sekali untuk bermain bola sepak.

“Anda boleh melihat satu atau dua kali bola seperti terhenti seketika, dan tidak ada yang menyedarinya. Perkara sebegitu amat sukar bagi pasukan yang bermain bola sepak sebenar.”

4. Salji juga pernah jadi punca

Bermain bola sepak di atas permukaan padang yang diliputi salji adalah perkara biasa di eropah. Keadaan cuaca yang ekstrem adakalanya menjadi ujian besar buat pemain dan jurulatih dalam merangka strategi.

Pada Januari 2019, Liverpool tercicir mata penting dalam perlawanan menentang Leicester City di Anfield. Seperti dijangka Klopp menyalahkan keadaan cuaca yang bersalji.

“Anda boleh melihat bola yang disepak tidak bergolek dengan betul. Semua itu menyebabkan perlawanan 70-80% dimainkan dengan rasa tidak selesa,” ujar Klopp selepas perlawanan. Tidak ada apa yang luar biasa mengenai komen itu bagi mereka yang tidak mengetahui perkara sebenar di Anfield.

Apa yang Klopp tidak dedahkan ialah penjaga padang di Anfield hanya membuang salji setengah padang sahaja (bahagian yang akan diserang oleh Liverpool) pada ketika rehat selesai babak pertama. Bukankah dalam situasi tersebut sepatutnya Leicester yang lebih sukar bermain bola sepak?

5. Kecederaan pemain Manchester United juga bersalah

FAKTA: Sepanjang bergelar pengendali Liverpool sejak lima tahun lalu, Klopp tidak pernah merekodkan sebarang kemenangan di Old Trafford.

Perlawanan yang berlangsung pada 24 Februari 2019 adalah salah satu daripadanya dan ia berakhir dengan keputusan seri 1-1. Anehnya Klopp menyalahkan beberapa kecederaan yang dialami oleh lawan mereka itu sepanjang perlawanan sebagai punca keputusan seri tersebut.

“Semua orang tahu kami datang dengan yakin dan merupakan pasukan yang lebih baik. Tetapi apabila deretan pemain United tercedera dan terbaring di atas padang, ia terus mengubah perlawanan,” ujar Klopp.

6. Salahkan wartawan dan syarikat penyiar

Selepas Liverpool diikat oleh Brighton dengan jaringan 1-1 pada November lalu, Klopp tidak teragak-agak membidas wartawan dan syarikat penyiar. Apa tidaknya. Sudahlah tercicir mata, Liverpool yang sememangnya dilanda krisis kecederaan turut hilang khidmat James Milner.

Dalam temuramah selepas perlawanan, Klopp secara sarkastik mengucapkan tahniah kepada BT Sport kerana kecederaan yang dihadapi oleh James Milner.

Wartawan BT Sports, Des Kelly yang terkejut dengan reaksi Klopp juga tetapi dengan tenang menekankan masalah tersebut sepatutnya diutarakan kepada Premier League dan bukannya kepada syarikat penyiar.

Berikut adalah petikan dari temubual tersebut:

Kelly: “James Milner, hamstring bukan?”

Klopp: “Yeah, tahniah.”

Kelly: “Dia ditujukan secara peribadi kepada saya?”

Klopp: “Tidak, tetapi awak bekerja dengan mereka? Hamstring. Ia mengejutkan? Dan terdapat juga kecederaan kerana ini waktu yang sukar.”

Klopp: “Mungkin anda boleh tanyakan kepada Chris Wilder mengenai perkara ini. [BT] memilih untuk sepak mula 12:30. Awaklah punca!”

Kelly: “Mungkin awak tembak orang yang salah. kami sekadar penyiar, kami bekerja menurut peraturan Premier League, dan Premier League yang membuat peraturan, kelab-kelab adalah Premier League, jadi bukankah patut anda bercakap kepada kelab-kelab Premier League?”

Klopp: “Saya tidak tahu berapa kali saya perlu katakan perkara ini, awak pilih kami untuk bermain pukuk 12:30 tengah hari.”

Kelly: “Kelab-kelab Premier League yang memilih slot itu.”

Klopp: “Sekarang adalah masa yang sukar”

Kelly: “Sudah tentu ia sukar dan syarikat penyiar hanya memberikan sokongan kepada perlawanan yang berlangsung.”

Klopp: “Saya bukan menyalahkan syatikat penyiar [mula berdalih]. Saya hanya mengatakan saja. Perlawanan12:30 tengah hari selepas perlawanan pada Rabu amat bahaya untuk pemain-pemain di Premier League.”

7. Klopp salahkan taktikal Ole

Derbi Liverpool vs Man United sudah lama menjadi sejuk dek kemerosotan prestasi Manchester United sejak persaraan Sir Alex Ferguson. Namun pertemuan kedua-dua pasukan pada musim ini agak berlainan kerana Man United berada di kemuncak liga dan Liverpool di kedudukan kedua ketika kedua-dua pasukan bertemu pada Januari tahun ini.

Perlawanan yang berlangsung di Anfield itu berakhir dengan seri tanpa jaringan. Selepas perlawanan, Klopp meluahkan rasa kecewa dengan pendekatan yang diambil oleh jurulatih Red Devils, Ole Gunnar Solksjaer untuk perlawanan tersebut.

“Kami bermain bola sepak, sekurang-kurangnya cuba untuk bermain, sehingga memaksa mereka bertahan di blok rendah,” ujar Klopp kepada BBC Sport.

“Perkara paling teruk yang anda boleh hadapi di dunia, dalam bola sepak, ialah untuk berhadapan dengan pasukan yang memiliki pemain berkelas dunia dan mereka bertahan dengan apa yang mereka ada, dan mengharapkan counter-attack.”

Lima hari kemudian, kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi di Old Trafford dalam pertandingan Piala FA. Kali ini Ole Gunnar Solksjaer mendengar nasihat Klopp dan mengubah pendekatan. Hasilnya, Man United menang 3-2.

Penutup

Apa yang dilakukan oleh Klopp dengan alasan yang ganjil ini sebenarnya adalah perkara biasa di dalam bola sepak. Beliau adalah seorang jurulatih berpengalaman.

Sudah tentu perkara terutama yang beliau perlu elakkan ialah untuk menyalahkan pemain di hadapan media, dan memastikan keyakinan barisan pemain di dalam pasukan kekal utuh.

Musim ini adalah musim yang sukar untuk Klopp dan Liverpool. Alasan-alasan ganjil seperti di atas seperti sudah tidak membantu. Apakah yang beliau perlu lakukan untuk memastikan Liverpool kembali sebagai pencabar?

 

Baca artikel menarik lain seperti di bawah:

5 Perkara Mengenai Ozan Kabak ‘Kereta Kebal’ Baharu Liverpool

9 Pemain Liverpool Yang Belum Pernah Dinodai Oleh Kekalahan Di Anfield

6 Buah Kelab Yang Tidak Pernah Tersingkir Dari Premier League Sejak 1992

Leave a Reply