Ketika di bangku persekolahan, setiap daripada kita pasti pernah mempunyai cita-cita. Pekerjaan seperti doktor, peguam, guru atau pegawai polis adalah antara jawapan yang lazim diberi ketika ditanya oleh guru.
Bagaimana pula pilihan untuk menjadi seorang wartawan? Realitinya kerjaya sebagai wartawan bukanlah pilihan popular di kalangan rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, ia adalah salah satu cabang kerjaya yang mampu menguji keupayaan seseorang individu untuk mengejar potensi diri.
Sejarah kewartawanan
Bidang kewartawanan sudah bermula di Malaysia sejak 203 tahun yang lalu.
Penerbitan pertama di dalam bentuk akhbar dan penulisan, ialah ‘The Prince of Wales Island Gazzete’, yang menggunakan medium Bahasa Inggeris di Pulau Pinang sekitar tahun 1806.
Antara penerbitan bertulis terawal yang wujud pada era itu dan popular di negara kita ialah Singapore Chronicle pada 1824, Singapore Free Press (1835), The Straits Times (1845), The Malay Mail (1896), The Straits Echo (1903) dan The Malay Tribute (1918).
Jawi Peranakan ialah akhbar bahasa Melayu pertama diterbitkan pada 1876 dalam tulisan Jawi.
Utusan Melayu pula ialah akhbar pertama berciri nasional yang mulai diterbitkan pada 1939.
Pada hari ini kita mempunyai pelbagai penerbitan, antaranya Harian Metro, Berita Harian, Sinar Harian dan The Star.
Semuanya BOLA sebagai salah sebuah media digital
Dunia hari ini menyaksikan lebih ramai orang gemar untuk mendapatkan maklumat melalui platform digital.
Ini berikutan letusan teknologi yang digunapakai seperti pada hari ini, membenarkan maklumat dan penyampaian untuk dilakukan dengan segera semudah di hujung jari.
Semuaya BOLA adalah salah sebuah media elektronik yang mendapat sambutan di Malaysia, khususnya di kalangan peminat sukan bola sepak.
Bermula pada tahun 2015, Semuanya BOLA menyediakan berita terkini sukan bola sepak di dalam dan luar negara.
Selain daripada itu, Semuanya BOLA turut menyediakan pengisian menarik dalam bentuk artikel seperti analisis taktikal, temuramah, dan juga artikel kajian sebagai pengisian eksklusif untuk dikongsi secara percuma kepada para pembaca.
Nazreen Izahar, ialah salah seorang penulis terawal yang menyertai Semuanya BOLA, dan menggunakan platform tersebut untuk mengasah ilmu dan bakat kewartawanan milik beliau.
Biografi Nazreen Izahar
Bagi anda yang sudah biasa mengikuti artikel-artikel kami di Semuanya BOLA, nama Nazreen Izahar pasti sudah sinonim dengan anda.
Nama penuh beliau ialah Muhammad Nazreen Mohd Izahar, berusia 23 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur.
Seperti anda dan saya, Nazreen ialah seorang anak muda biasa yang mempunyai cita-cita. Impian beliau ialah untuk menjadi seorang wartawan sukan.
Memasak ialah hobi beliau di masa lapang. Burger adalah menu ‘trademark’, yang digemari di kalangan rakan-rakan penulis di Semuanya BOLA.
Sebagai penulis sukan bola sepak, sudah pasti bola sepak adalah sukan yang paling beliau gemari.
Tetapi anehnya, tatkala kebanyakkan ramai di antara kita meminati kelab-kelab utama eropah seperti Manchester United, Liverpool, Real Madrid, Bayern Munich atau Juventus, anak muda ini lebih gemar mengikuti Liga Scotland.
Aberdeen adalah kelab bola sepak yang beliau ikuti di luar negara, manakala Selangor adalah pasukan tempatan yang disokong oleh beliau di Liga Malaysia.
Biasiswa Kewartawanan Soo Ewe Jin
Biasiswa kewartawanan Soo Ewe Jin (SEJ) ialah salah satu biasiswa yang diusahakan oleh Star Education Fund di bawah seliaan akbar berbahasa Inggeris terkemuka negara, The Star dengan kerjasama Yayasan Universiti Sains Malaysia (USM).
Biasiswa SEJ dikhususkan untuk pelajar yang berbakat besar di dalam bidang kewartawanan untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan) di USM.
Setiap tahun, The Star akan memilih seorang pelajar yang berkelayakan untuk menerima biasiswa tersebut.
Nazreen Izahar adalah penerima kedua biasiswa SEJ, sejak ia dimulakan pada tahun lalu.
Mungkin ada di kalangan kita yang tertanya-tanya, siapakah gerangannya Soo Ewe Jin?
Ewe Jin ialah bekas Editor Eksekutif The Star. Beliau sangat dikenali dengan kolum khas yang diterbitkan secara mingguan dikenali sebagai Sunday Starters.
Sunday Starters telah berjaya menyentuh ramai jiwa dan kehidupan melalui mesej untuk menyebarkan sifat kebaikan, belas kasihan, dan pelbagai usaha-usaha murni lain yang dekat di hati masyarakat melibatkan pelbagai aktiviti seperti kerja amal.
Sepanjang bergelar seorang wartawan, Ewe Jin pernah bertugas bersama The National Echo, The Malay Mail, The Institute Of Strategic & International Studies (ISIS) Malaysia, The World Wide Fund for Nature Malaysia (WWF Malaysia) dan The Edge.
Pada 1999, Ewe Jin telah disahkan menghidap penyakit kanser hidung, dan penyakit beliau kembali berulang pada 2006.
Setelah lama berjuang dengan penyakit tersebut, Ewe Jin meninggal dunia pada 17 November 2016.
Pada 8 April 2017, biasiswa Soo Ewe Jin (SEJ) diperkenalkan, setelah keluarga Ewe Jin memilih untuk menyumbangkan semua kutipan pemberian ketika kematian Ewe Jin ke tabung biasiswa tersebut.
Sejak daripada itu, beberapa syarikat koporat turut tampil untuk menyumbang ke dalam biasiswa SEJ. Antaranya ialah Matrix Concepts Holdings Bhd, sebuah syarikat hartanah yang tampil dengan pemberian bernilai RM50,000 untuk menjadi syarikat koporat pertama yang terlibat di dalam projek ini.
Apa kata mereka?
Tidak syak lagi, minat dan kesungguhan Nazreen Izahar di dalam bidang kewartawanan ketika bersama Semuanya BOLA telah banyak membantu beliau untuk memperolehi biasiswa SEJ ini.
“Saya gemar menulis mengenai sukan, terutamanya bola sepak. Di masa hadapan, saya juga mahu menulis mengenai politik dan muzik,” ujar Nazreen ketika ditemui wartawan The Star.
Bercakap kepada penulis selepas menerima biasiswa tersebut, Nazreen juga berkata:
“Jujurnya saya gementar lebih dari gembira, kerana risau tidak boleh memenuhi harapan pihak yang memberi biasiswa itu. Bagaimanapun saya gembira dan syukur dengan biasiswa ini.
“Ia akan banyak membantu meringankan kos pengajian saya di USM,” ujar Nazreen yang kedua-dua ibu bapanya sudah bersara.
Anak kedua dari dua adik beradik ini juga berkata:
“Saya bersyukur kepada Allah sebab Dia temukan saya dengan Shahrir Bahar (CEO Semuanya BOLA) dan Ahmad Muzammil (Co-Owner dan Ketua Editor Semuanya BOLA).
“Allah menemukan saya dengan orang yang tepat, sebelum kedua-duanya mendidik diri saya dari bawah sehingga mampu melakukan pelbagai perkara berkaitan dengan bidang kewartawanan.
“Pada pendapat saya, Semuanya BOLA banyak telah memberikan platform kepada saya untuk melakukan perkara yang selama ni saya tidak punyai seperti menulis.
“Selain daripada menulis, Semuanya BOLA juga memberi peluang untuk saya melakukan tugasan untuk melakukan ulasan (Liga Bola Sepak Rakyat & Selangor Champions League),” tambah Nazreen.
Selain daripada pernah melakukan tugasan ulasan, Nazreen turut berpengalaman mengacara satu rancangan online terbitan Semuanya BOLA, iaitu BolaTelly satu masa dahulu.
Dean kepada Fakulti Pengajian Komunikasi USM, Dr. Shuhaida Md Noor pula berkata:
“Bakat Muhamad Nazreen jelas menyerlah berbanding rakan sepengajian yang lain, dan beliau benar-benar memahami erti kewartawanan.”
Balu kepada Ewe Jin turut senada dengan apa yang dikatakan oleh Dr. Shuhaida, dan berkata minat yang ditonjolkan oleh Nazreen menyebabkan beliau terpilih berbanding enam calon yang lain.
Bagi Ahmad Muzammil, beliau berbangga dengan pencapaian Nazreen. Lebih dari itu, Muzammil turut berasa gembira kerana Semuanya BOLA telah berjaya mengubah kehidupan seseorang melalui peluang yang diberikan.
Shahrir turut senada dengan Muzammil, dan menyifatkan semangat yang dimiliki oleh Nazreen sebagai pencetus semangat kepada Semuanya BOLA untuk terus berkembang di dalam rangkaian perniagaan milik syarikat itu.
Rumusan
Banyak perkara yang kita boleh pelajari dari Nazreen Izahar. Apa sahaja yang kita impikan, ia harus dilakukan dengan usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa.
Apa yang Nazreen Izahar lalui juga membuktikan bahawasanya bidang kewartawanan, khususnya penulisan di dalam bidang bola sepak mempunyai masa depan di negara ini.
Secara tidak langsung, ia adalah satu pengiktirafan atas segala usaha kami untuk mendidik pembaca dengan pelbagai pengisian ilmiah sejak empat tahun beroperasi.
Sebagai rakan penulis, kami turut berbangga atas pencapaian Nazreen Izahar.
Tahniah Nazreen Izahar. Jalan terus sehingga ke puncak kejayaan!