Dua kekalahan berturut-turut skuad B-23 negara dalam saingan Piala AFF B-23 di Phnom Penh, Kemboja sebelum ini sehingga menyaksikan Malaysia terkandas di peringkat kumpulan sahaja perlu diberi penilaian serta dibuat siasatan segera bagi mencari punca sebenar berlaku.
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selaku Menteri Belia dan Sukan semua pihak yang bertanggungjawab terutama sekali Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mencari jalan penyelesaian mengapa pasukan yang sebelum ini kurang menjadi ancaman dalam arena bola sepak peringkat Asia Tenggara, boleh memberi tamparan besar buat Malaysia dalam kejohanan kali ini.
“Saya berasa semua pihak terlibat dengan bola sepak perlu mencari jalan dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak di negara ini,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan mesra bulanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Institut Sukan Negara (ISN) hari ini menerusi Harian Metro.
Pada aksi malam tadi, skuad kendalian Brad Maloney mencatat kekalahan kedua di tangan Laos menyaksikan mereka tersingkir di peringkat Kumpulan B kejohanan tersebut setelah aksi terakhir menentang pasukan sama, Malaysia tewas dengan keputusan 0-2.
Kejohanan tersebut juga menyaksikan format baharu terpaksa dibuat setelah Indonesia dan Myanmar menarik diri dari menyertai akibat diserang pandemik Covid-19. Oleh itu, Malaysia perlu menentang Laos dua kali untuk menentukan siapa layak beraksi di peringkat separuh akhir.
Dalam masa sama, Ahmad Faizal turut menjelaskan mengenai semua pihak yang terlibat, termasuk barisan pemain dan penyokong perlu melihat perkara tersebut secara holistik agar masa depan bola sepak dapat dipulihkan.
“Semata-mata dengan menukar jurulatih, pengurusan atau presiden FAM, tidak memberi apa-apa makna jika keseluruhan ekosistem dalam sukan itu tidak diperbetulkan.
“Jadi untuk perbetulkan, kita mula dari diri sendiri, sebagai penyokong juga lihat perkara itu dengan cara yang boleh membantu, bukan menentang atau merosakkan,” katanya.
Selain skuad muda B-23 yang memberi tamparan hebat buat bola sepak negara, para penyokong sebelum itu turut dikejutkan dengan aksi longlai skuad senior pada tahun lalu dalam saingan Piala AFF 2020 di Singapura apabila skuad itu turut merekodkan keputusan yang hambar dengan terkandas awal di peringkat kumpulan.