Quantcast

BERITA

Semua Pasukan Liga Malaysia Perlu Mempunyai ‘Pemilik’ Mulai Tahun 2021

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu memastikan semua pasukan dalam saingan Liga Malaysia mempunyai sebuah organisasi kelab yang berlesen untuk menjalankan aktiviti secara berasingan daripada Persatuan Bolasepak Negeri (FA) menjelang musim 2021.

Mereka juga sudah mewujudkan jawatankuasa baharu di bawah Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional untuk memberi penerangan dan kefahaman kepada semua persatuan bola sepak negeri.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, ‘penceraian’ diantara kelab dan FA perlu dilaksanakan kerana Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mahu liga di bawah semua ahli gabungannya tidak terikat dengan persatuan bola sepak negeri.

Contohnya, Persatuan Bolasepak Manchester tidak terbabit dalam urusan pentadbiran kelab kerana ia dimiliki oleh orang perseorangan. Manchester United dimiliki oleh keluarga Glazer manakala Manchester City dimiliki oleh jutawan arab, Sheikh Mansour.

Model yang sama bakal digunakan dalam Liga Malaysia di mana persatuan bola sepak negeri hanya menumpukan kepada aspek pembangunan akar umbi, pertandingan peringkat negeri, menganjurkan seminar dan lain-lain.

Stuart juga menjelaskan langkah itu juga dapat membantu menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain kerana kebanyakan pasukan dalam Liga Malaysia masih bergantung pada dana kerajaan negeri.

“Inisiatif terbabit bukannya mahu mengecilkan pengaruh atau kuasa persatuan bola sepak negeri, cuma ia memberi peluang kepada mereka memberi tumpuan kepada perkara lain.

“Pada masa sama, masalah tunggakan gaji dapat diselesaikan apabila pemilik pasukan bola sepak itu bertanggungjawab sepenuhnya mencari dana dan menjana pendapatan menerusi kaedah tertentu.

“Kebanyakan liga terkemuka di dunia sudah mengamalkan kaedah terbabit sejak sekian lama, sekali gus dapat meminimumkan masalah kekurangan dana atau tunggakan gaji,” katanya kepada Arena Metro.

FOTO: MFL

Bagaimanapun, kaedah itu tidak akan dilaksanakan secara sepenuhnya kerana FAM akan meneliti kaedah yang sesuai untuk diamalkan dalam Liga Malaysia.

“Kita tidak mengambil 100 peratus kaedah terbabit cuma jika ada yang bersesuaian atau memberi kebaikan akan digunapakai apabila inisiatif itu mula dilaksanakan,” katanya.

Setakat ini, hanya Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bergerak secara berasingan kerana dimiliki oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Meskipun ada beberapa pasukan menukar status kepada kelab seperti Terengganu FC dan Melaka United, namun dana pasukan masih lagi dibiayai sepenuhnya oleh FA Negeri.

Malah, PKNS FC dan PKNP FC juga tidak bergerak secara bebas kerana ia masih terikat sebagai anak syarikat kerajaan negeri masing-masing.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!