Semua Kelab Ada Visi, Tapi Hanya Satu Buktikan Ia Bukan Halusinasi

Menjelang sepak mula musim Liga Super 2024 pada 10 Mei nanti, kesemua 13 kelab pastinya mempunyai visi masing-masing. Satu fakta mengenai visi – ianya percuma. Semua kelab boleh memasang visi untuk menjuarai liga. Untuk bermain di peringkat Asia. Untuk meraih trofi. Tetapi bak kata DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, visi tanpa perlaksanaan hanya satu halusinasi.

Sepuluh tahun lepas, JDT telah dihadapkan dengan realiti sama. Visi DYAM Tunku Mahkota Ismail ketika menstrukturkan semula Persatuan Bola Sepak Negeri Johor dan menubuhkan JDT FC adalah untuk menjadikannya kuasa bola sepak Malaysia dan Asia. Ia satu visi yang besar. Terlalu besar sehingga ditertawakan orang lain. Terlalu besar sehingga diragui oleh orang Johor sendiri.

Pada musim penuh pertama sebagai pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail menyaksikan kelabnya sekadar mencatat tiga kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan selepas perlawanan kelapan Liga Super 2014. Sindiran yang pada awalnya hanya kedengaran bibit-bibit, mula menjadi kutukan. Keraguan yang pada awalnya disorok-sorok, mula dizahirkan di Internet.

“Pada pendapat aku, biar tak ada pemain bintang. Asalkan rajin dan bersungguh-sungguh berlatih dan ikut sepenuhnya taktikal jurulatih. Kesian JDT II, kalau digilap pasti lebih baik dari JDT. Dan yang penting sekarang ini, no more tiki taka,” tulis seorang penyokong JDT ketika mengulas prestasi semasa pasukannya.

Selepas berdekad-dekad disajikan dengan falsafah bola sepak 90-an yang direct, penyokong bola sepak Johor nampak sukar untuk menerima visi DYAM Tunku Mahkota Ismail yang mahukan pasukannya bermain mengikut falsafah bola sepak moden. “JDT punya kelemahan adalah suka hantar bola ke belakang balik. Masing-masing takut untuk buat hantaran luar biasa,” tulis seorang penyokong JDT lain.

Ada juga penyokong yang mahu JDT mengabaikan falsafah permainan baharu terus, “Cari gol dahulu. Lantaklah main berterabur. (Aku) nak gol sahaja. Come on JDT. Sumbat dua tiga gol dulu, lepas itu nak main possession pun main lah.”

Visi DYAM Tunku Mahkota Ismail untuk melihat JDT bermain dengan hantaran pendek, bertempo tinggi, menguasai bola dan menutup ruang lawan apabila hilang bola disertai dengan siri-siri perlaksanaannya. Fasa pertama, merekrut pemain import yang sudah biasa bermain sebegitu. Fasa kedua, melantik ketua jurulatih yang mempunyai falsafah bola sepak sama. Fasa ketiga, meningkatkan kualiti fasiliti dan kepakaran staf sokongan kelab supaya pemain mempunyai kapasiti fizikal untuk bermain sebegitu. Fasa keempat dan terakhir, membina akademi sepenuh masa supaya generasi pemain muda bermain sama seperti seniornya.

Pada masa-masa sukar sebegini, soalan paling kritikal yang perlu dijawab DYAM Tunku Mahkota Ismail sudah pastinya – adakah JDT perlu membakulsampahkan visi yang telah ditetapkan?

Atau adakah JDT perlu kekal bertahan dengan visi sama?

Bayangkan tekanan yang dihadapi baginda ketika membaca sindiran, kutukan dan kritikan terhadap visinya. “Berapa kali beli pemain bertaraf antarabangsa dah. Tapi tetap biasa-biasa sahaja. Contohilah pasukan Pahang. Pemain-pemain Pahang tak ada taraf antarabangsa pun. Tapi masih boleh menjadi pencabar kepada pasukan lain,” tulis seorang pengkritik.

“Buang duit sahaja bayar pemain mahal-mahal. Duit itu buat pembangunan bola sepak Johor lagi baik. No shortcut to success,” tulis seorang lagi pengkritik. Sejujurnya ada benarnya sebahagian kritikan tersebut. Cuma apa yang tidak diketahuinya pelaburan kepada pembangunan akar umbi elit bola sepak Johor sememangnya telah berada dalam senarai visi DYAM Tunku Mahkota Ismail. Buktinya, setahun kemudian pada 12 Disember 2015, Akademi JDT akhirnya dibuka. Mundar laju sepuluh tahun ke hadapan, kini Akademi JDT merupakan satu-satunya akademi bola sepak di Malaysia yang dianugerahkan status dua bintang (daripada tiga bintang maksimum) oleh AFC Elite Youth Scheme.

Bagaimanapun dalam banyak-banyak kritikan, kritikan mereka paling banyak ditujukan kepada polisi pembelian pemain JDT. “Kesian pemain-pemain yang tak dapat main. Cuba tengok Kelantan. Pemain datang dan pergi tetapi Kelantan masih menyengat. JDT patut mencontohi Kelantan. Mereka berusaha membentuk pemain yang sedia ada. JDT terlalu ramai pemain bintang yang hanya duduk di bangku simpanan,” tulis salah seorang daripada mereka.

Seorang lagi pengkritik menyindir, “JDT asyik nak beli pemain baharu sahaja. Nak menang pun tak tentu, apatah lagi juara. Aku rasa beli sahajalah seluruh pemain Chelsea termasuk (Jose) Mourinho sekali. Baiklah bagi anak jati Johor main. Baru-baru memang susah nak menang, Insyaallah lama-lama baru konsisten menang.”

Ironinya sepuluh tahun selepas kritikan-kritikan ini ditulis, Kelantan dan Pahang tidak lagi ‘menyengat’. JDT bukan sahaja sudah bergelar juara, malah mendominasi sedekad bola sepak Malaysia, menyumbang banyak mata dalam AFC MA Ranking dan meletak nama Johor dan Malaysia di peta dunia secara konsisten. Slot kemasukan ke Akademi JDT bukan sahaja menjadi rebutan ibu bapa pemain berbakat Johor – malah seluruh Malaysia.

Inilah bezanya visi dengan perlaksanaan.

Jika bercerita tentang visi, semua kelab sememangnya ada visi. Tetapi adakah visi mereka disertai dengan perlaksanaan? Lebih mendalam lagi, adakah perlaksanaan mereka mempunyai sifat S.M.A.R.T (specific, measurable, achievable, realistic & time-bound)?

Dalam kes DYAM Tunku Mahkota Ismail, visinya untuk JDT besar. Maka sebab itulah skala pelaksanaannya juga besar. Segala-galanya perlu menyentuh siling kualiti dunia kerana visi baginda yang mahu melihat reputasi JDT melewati sempadan Johor dan Malaysia.

Dalam kes pasukan-pasukan Liga Super lain, soalan sama wajar diajukan kepada pentadbir mereka. Apakah visi mereka? Adakah visi mereka disertai dengan perlaksanaan yang S.M.A.R.T?

Petikan kata-kata DYAM Tunku Mahkota Ismail di Instagram Story baginda pada 23 Mac lepas menyentuh perkara sama. Baginda menulis, “Dalam industri bola sepak, kehebatan anda tak ada maknanya jika anda tak tahu cara kerja (dalam industri bola sepak). Dalam industri ini, kejayaan anda diukur dengan kemenangan, pencapaian dan kebolehan mencipta sejarah. Kejayaan ini perlu berjalan seiring dengan keuntungan kewangan kelab. Orang hanya akan ingat pemenang.”

Perlaksanaan DYAM Tunku Mahkota Ismail berjaya kerana baginda dikelilingi oleh individu-individu berkelayakan yang berkongsi visi baginda dan bekerja mengikut budaya kerja baginda. Persoalannya sekarang, adakah perkara sama dibuat oleh kelab-kelab lain?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN