Sungguh jarang berlaku apabila sembilan pemain diperintahkan keluar padang dalam satu-satu perlawanan.
Kejadian ini berlaku dalam sebuah kejohanan tempatan di Brazil yang melibatkan pasukan Vitoria dan Bahia.
Pertembungan ini boleh dilabelkan sebagai perlawanan derbi kerana kedua-dua pasukan berpangkalan di Salvador.
Kehangatan perlawanan ini sudah mula terasa sejak awal apabila enam kad kuning telah dilayangkan dan pemain tuan rumah, Denilson telah membuka tirai jaringan pada minit ke-34.
Memasuki babak kedua, Bahia dianugerahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan oleh Vinicus pada minit ke-50.
Provokasi yang dilakukan Vinicius setelah meraikan jaringan tersebut di hadapan penyokong tuan rumah membuatkan para pemain Vitoria terutamanya penjaga gol mereka kurang senang dengan tindakan itu.
Keadaan tersebut menjadi kecoh dengan pemain kedua-dua pasukan mula bertindak di luar semangat kesukanan yang memaksa pengadil melayangkan enam kad merah, masing-masing tiga buat setiap pasukan.
Penjaring gol, Vinicius tidak terkecuali dari menerima hukuman tersebut setelah beliau dan dua rakan sepasukannya di bangku simpanan, Nascimiento dan Edson dibuang padang.
Denilson, Kanu dan Rhayner pula menerima nasib yang sama buat pasukan tuan rumah.
Selepas kekecohan tersebut, perlawanan kembali bersambung dan ternyata perasaan tidak berpuas hati masih lagi membuak-buak dalam diri para pemain.
Keadaan itu dibuktikan apabila seorang lagi pemain Bahia, Fonseca terpaksa meninggalkan padang pada minit ke-61.
Perlawanan akhirnya terpaksa dibatalkan kerana Vitoria hanya tinggal enam sahaja pemain yang berada dalam padang setelah dua pemainnya, Uilian dan Bruno Bispo bertindak agresif. Bahia dilaporkan diberikan kemenangan 3-0.
Tindakan tatatertib sudah pasti akan dihadapi kedua-dua pasukan dek kerana sikap para pemain mereka yang sukar dikawal.
Diharapkan agar peristiwa seperti ini tidak akan berlaku lagi kerana ianya memberikan tanggapan yang buruk terhadap bola sepak itu sendiri.
Nota editor: Terdapat juga sumber lain menyatakan 10 orang pemain diperintahkan keluar yang melibatkan penjaga gol simpanan pasukan Bahia.
Foto: BBC