AEON BiG (M) Sdn Bhd telah mengumumkan perjanjian dengan Malaysian Football League (MFL) sebagai penaja eksklusif Hipermarket untuk musim 2023.
Kerjasama ini menyatukan sebuah hipermarket terkemuka di Malaysia dan sukan yang paling popular di negara ini, bersama MFL yang mengendalikan Liga Malaysia seperti Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Penglibatan AEON BiG di dalam bidang sukan ini bertujuan untuk mempromosikan sukan tempatan dan membina hubungan yang lebih kukuh di dalam komuniti.
Melalui falsafah untuk menawarkan “pilihan besar dengan nilai yang hebat” kepada pelanggan, penajaan ini adalah salah satu bukti usaha berterusan AEON BiG untuk menyokong aktiviti sukan di Malaysia sambil menyediakan tawaran baru dalam hipermarketnya melalui kerjasama dengan rakan kongsi seperti MFL.
Majlis pelancaran telah diadakan di AEON BiG Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Sheikh Farouk Sheikh Mohamed, Pengarah Urusan AEON BiG dan Stuart Ramalingam, CEO MFL.
“AEON BiG amat bersyukur kerana mendapat peluang untuk menjalin kerjasama dengan MFL, sebuah organisasi terkemuka yang mengendalikan sukan yang paling popular di negara ini.
Melalui penajaan ini, kami ingin berada lebih dekat dengan pelanggan kami melalui sukan bola sepak, kerana tiada apa yang dapat menyatukan rakyat lebih baik daripada sukan.
Kami juga akan membawa tawaran eksklusif, promosi dan pengalaman baru untuk pelanggan kami melalui kerjasama baru ini,” kata Sheikh Farouk.
“AEON BiG bercita-cita untuk menjadi lebih daripada sebuah hipermarket dan kami percaya bahawa penglibatan aktif kami dalam sukan dapat memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan gaya hidup ekosistem kami sambil membasmi gejala sosial seperti diskriminasi, isolasi, dan lain-lain. Kami berdedikasi untuk mendekatkan diri kami dengan masyarakat dan memperkuatkan hubungan dengan ekosistem kami yang berbilang kaum dan agama melalui pelbagai inisiatif, termasuk sukan,” tambahnya.
Pada tahun lalu, AEON BiG bersama pengilang air mineral teroksigen Malaysia pertama, Bubbles02 Sdn Bhd menandatangani perjanjian untuk menaja Liga Baseball Nasional 2023 (National Baseball League 2023) yang pertama, yang akan dianjurkan oleh Persatuan Bola Baseball Malaysia (BFM).
Liga tersebut dijangka akan bermula tahun ini. AEON BiG juga telah bekerjasama dengan kelab bola sepak komuniti tempatan, Setiawangsa Rangers Football Club yang yang kini sedang bersaing dalam beberapa pertandingan bola sepak amatur dan junior.
MFL amat berbesar hati untuk kerjasama AEON BiG sebagai Penaja Eksklusif Hipermarket untuk Liga Malaysia 2023.
Liga ini berdedikasi untuk mempromosikan dan membangunkan Liga Malaysia, dan perkongsian ini akan membolehkan mereka menjangkau penonton yang lebih luas dan menyediakan lebih banyak peluang yang menarik kepada pemain, penyokong dan komuniti.
Bagi Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, kehadiran AEON BiG memberi signal cukup baik buat Liga Malaysia yang mengorak langkah musim ini dengan beberapa pembaharuan demi memastikan kualiti dapat ditingkatkan dari segi pertandingan dan komersial.
“MFL dan juga Rakan Kongsi Liga mengambil keputusan besar untuk melakukan penstrukturan semula Liga Malaysia dan antara fokus utama adalah untuk meningkatkan lagi profil Liga Malaysia.
“Bola sepak adalah sukan nombor satu di negara ini dan juga satu industri sukan yang besar jadi kami memerlukan sokongan dan penglibatan syarikat-syarikat korporat untuk melonjakkan lagi industri ini justeru saya amat mengalu-alukan sokongan AEON BiG terhadap Liga Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam melahirkan rasa bangga apabila syarikat pasar raya besar terkemuka Malaysia seperti AEON BiG yang berkongsi misi yang sama untuk memperluaskan lagi rangkaian promosi dua hala antara AEON BiG dan juga liga bola sepak tempatan.
“Kita sedia maklum AEON BiG adalah satu jenama besar yang cukup dekat di kalangan komuniti negara ini. Sepertimana kita lihat dedikasi dan keazaman yang ditunjukan pemain-pemain di atas padang, begitu jugalah yang kita akan lihat semangat daripada AEON BiG untuk menyuntik lagi nilai komersial yang lebih tinggi dalam Liga Malaysia.
“Jadi, saya berharap dengan aktiviti-aktiviti yang akan diadakan oleh AEON BiG bersama MFL dapat merapatkan lagi hubungan antara penyokong-penyokong sepanjang musim ini,” katanya.