Selepas tampil secara terang-terangan untuk menafikan penglibatan beliau dalam tangkap layar perbualan di WhatsApp yang tular, akaun Twitter milik Jordan Mintah kini telah ‘lesap’ dari pandangan.
Hasil dari tinjauan kami di laman Twitter, akaun milik pemain Terengganu itu dilaporkan telah tiada selepas beliau menafikan khabar angin yang dirinya terlibat dengan perbualan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Selangor – Dr Johan Kamal Hamidon.
“Berita palsu,” kata Mintah kepada laman Twitter @11Terengganu .
Selepas berkata demikian, akaun Twitter Mintah kini telah tiada dan tidak dapat dikesan.
Perkara ini pastinya menimbulkan spekulasi mengenai apakah yang menjadi babak seterusnya dalam drama perbualan tular antara beliau dengan Johan itu.
Selain Twitter, laman Instagram Mintah juga tidak dapat dikesan selepas tinjauan dibuat.
Tidak pasti sama ada tindakan yang dilakukan Mintah ini adalah kerana kemahuannya untuk menutup sementara laman media sosialnya atau terjadi perbuatan khianat kepadanya.
Mungkin penjelasan dari tuan punya badan sendiri boleh memberikan pencerahan kepada apa yang berlaku.
Apa yang terjadi sebenarnya?
Sebelum ini telah tersebar beberapa tangkap layar di WhatsApp yang kononnya Johan dan Mintah berbual sesama sendiri mengenai potensi perpindahan ke Selangor.
Dalam tangkap layar tersebut, Johan ‘mengatakan’ yang beliau mahu mendapatkan persetujuan dahulu daripada Mintah mengenai kemahuannya menyertai Selangor sebelum tawaran rasmi dibuat kepada Terengganu.
Malah, dalam tangkap layar tersebut Johan turut ‘mengajak’ Mintah untuk berbincang dengan lebih mendalam menerusi Google Meet.
Dr Johan Nafi Lamar Jordan Mintah Untuk Selangor Guna Pintu Belakang
Perkara itu telah dinafikan oleh kedua-dua pihak dengan Johan akan melaporkan kepada pihak polis mengenai hal ini.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya perbualan menerusi WhatsApp bersama Jordan Mintah yang sedang tular.
“Ianya adalah palsu dan saya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat,” ujar Johan.
Pada tahun lalu, Mintah pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor dalam misi mencari lebih banyak minit permainan bersama pasukan utama.
Namun beliau memilih untuk kekal bersama-sama Terengganu untuk terus mencabar tempatnyap ada musim ini.