Semua sudah sedia maklum bahawa Leeds United bakal menukarkan logo untuk musim hadapan. Namun cadangan logo itu telah menerima maklum balas yang negatif.
Malah, masyarakat bola sepak dunia sempat lagi memerli kelab tersebut dengan pelbagai jenaka. Ada yang mengatakan ianya mirip botol Gaviscon atau pelbagai lagi modal lawak.
Akhirnya, setelah menerima tekanan, pengurusan Leeds United mengalah.
Berterima kasih
Menurut laman rasmi kelab, mereka berterima kasih kerana penyokong setia yang sangat prihatin. Termasuklah prihatin mengenai logo rasmi kelab.
Masakan tidak, petisyen Internet membantah logo tersebut itu sudah melebih 77 ribu! Malah, agaknya jika dikumpulkan kesemua 77 ribu itu, stadium mereka sendiri tidak muat!
Stadium di mana Leeds United beraksi, Elland Road berkapasiti tidak sampai 38 ribu penyokong.
Peluang dibuka
Sebelum itu, dimanakah penyokong setia Leeds United di Malaysia? Mungkin ada peluang menempa nama sebagai pereka logo kelab kesayangan anda.
Kelab itu telah memberikan peluang kepada penyokong mereka untuk mereka bentuk logo terbaru. Walaupun mereka sendiri sudah melihat rekaan logo alternatif yang terpampang di Internet.
Difahamkan, beberapa rekaan logo terbaru itu akan dipilih oleh panel yang terdiri daripada penyokong. Kemudiannya, pemegang tiket semusim akan diberikan peluang untuk memilih logo kegemaran mereka.
Pihak kelab bakal mengumumkan rekaan yang terpilih pada penghujung Februari nanti. Apa kami harap akan ada elemen tradisi Leeds United.
Paling kurang, bunga ros putih yang menjadi lambang kepada wilayah Yorkshire.
Selingan
Sebenarnya ramai juga yang masih mengingati kelab ini. Selain daripada pemain-pemain yang terkenal dan mahal, kelab ini pernah diabadikan dalam iklan di kaca TV Malaysia.
Iklan yang dilakonkan oleh Aidid Marcello dan Keith Foo. Ya, jenama minyak rambut.
Masihkah anda ingat?