Chelsea kembali melakukan rundingan bagi mendapatkan khidmat pemain tengah Everton, Ross Barkley dan dilaporkan semakin hampir untuk melengkapkan perpindahan pemain antarabangsa England itu.
Ketika jendela perpindahan musim panas yang lalu, Chelsea semakin hampir untuk membawa Barkley ke Stamford Bridge, namun usaha tersebut menemui jalan buntu pada saat-saat akhir.
Pemain berusia 24 tahun itu kini sudah kembali menjalani latihan bersama pasukan selepas pulih daripada kecederaan hamstring.
Kontrak beliau akan tamat pada hujung musim ini dan Barkley juga tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa beliau akan menandatangani kontrak baru.
Keadaan itu membuatkan Everton terpaksa menjual beliau, sekurang-kurangnya kelab Merseyside itu mendapat bajet dari perpindahannya berbanding tidak mendapat apa-apa daripada Barkley jika meninggalkan pasukan secara percuma pada musim hadapan.
Satu perkara yang pasti akan merugikan Everton, ditambah dengan kualiti yang dimiliki Ross Barkley.
Walaupun belum pernah beraksi pada musim ini, Ross Barkley dilihat bakal menjadi pemain pertama yang akan direkrut oleh Antonio Conte. Chelsea dikhabarkan akan berbelanja besar pada jendela perpindahan kali ini.
Menurut The Telegraph, Chelsea semakin hampir untuk melengkapkan perpindahan yang bernilai £15 juta. Separuh daripada harga yang diletakkan kelab dari Barat London itu pada musim panas yang lalu.
Antonio Conte mendedahkan bahawa skuad bimbingannya berhasrat untuk menambah kekuatan untuk memberikan banyak pilihan pemain bagi menamatkan saingan di kedudukan yang terbaik.
”Sudah pasti, kelab ini akan cuba yang terbaik pada jendela perpindahan untuk meningkatkan kualiti pasukan,” ujar Conte.
”Saya adalah pengurus, saya perlu bekerja dengan para pemain dan tugasan saya adalah di atas padang. Jendela perpindahan ini adalah untuk kelab dan mereka perlu memikirkannya jika mereka mahu mempertingkatkan kualiti skuad saya ini.”
Conte turut menegaskan bahawa tiada pemain yang akan dijual dan dipinjamkan sehingga mereka mendapatkan pengganti.