Selepas India & Jordan, Giliran Malaysia Pula Dijinakkan UAE

Ali Mabkhout Aidil Zafuan Farizal Malaysia UAE 2021

Malaysia mudah tewas 0-4 kepada UAE dalam aksi Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 untuk meraih kemenangan ketiga mereka, sebentar tadi.

Perlawanan yang jelas dikawal oleh UAE dengan skuad Harimau Malaya gagal menghadirkan ancaman buat tuan rumah sepanjang perlawanan. Dua gol oleh Ali Mabkhout dan Fabio de Lima telah membolehkan mereka meraih kemenangan.

Malaysia turun dengan dua pemain baharu di jentera serangan dan benteng iaitu Guilherme de Paula dan Dion Cools. Pengendali, Tan Cheng Choe tidak membuat perubahan besar kepada skuad yang tewas 0-2 kepada Bahrain tempohari.

Untuk UAE, tiada perubahan dilakukan oleh Bert van Marwijk dalam skuad yang berkenduri gol menewaskan Jordan 5-1 dalam aksi pemanas badan tempohari. Pemain tumpuan tentunya Ali Mabkhout yang menjadi penyerang utama.

Sepanjang babak pertama, dapat dilihat skuad kebangsaan bergelut terutamanya di jentera tengah yang langsung ‘hilang’ dan tiada tekanan dan hantaran baik mampu dijelmakan oleh Nor Azam Azih, Syamer Kutty Abba dan Liridon Krasniqi.

Ketiga-tiga pemain ini dilihat bertukar-tukar posisi di antara mereka, namun tiada cengkaman langsung oleh jentera tengah Harimau Malaya yang membolehkan UAE mengawal permainan dan menyukarkan pergerakan skuad kebangsaan.

Ini menyaksikan UAE mengawal sepenuhnya babak pertama dengan kedua-dua pemain sayap, Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid juga gagal memberikan sentuhan baik dalam membantu de Paula sebagai penyerang tunggal di depan.

UAE terlebih dahulu mengancam benteng skuad negara di minit ke-7 apabila Khalil Ibrahim berhasil melepaskan diri daripada kawalan kapten, Aidil Zafuan. Begitupun, rembatannya telah berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol, Farizal Marlias.

Apa yang ditakuti akhirnya berlaku apabila penyerang sensasi, Ali Mabkhout berjaya meletak UAE di depan pada minit ke-19. Hantaran jarak jauh daripada kawasan middle third oleh Abdullah Ramadhan yang menemuinya dan melepasi kawalan Aidil Zafuan.

Farizal Marlias yang melihat Aidil Zafuan sudah terlepas kawalan bola telah keluar untuk menutup ruang, namun Ali Mabkhout hanya melambung bola melepasinya.

De Paula memiliki dua peluang untuk memberikan skuad negara jaringan penyamaan, namun beliau yang diturunkan untuk kaps pertamanya itu gagal memanfaatkan peluangnya. Aksinya sepanjang perlawanan juga menyaksikan beliau ‘hilang’.

Babak kedua tampak Malaysia bermain sedikit baik, namun jentera tengah masih gagal ‘hidup’ dan memaksa Cheng Hoe membawa keluar Nor Azam Azih dan membawa masuk Syafiq Ahmad untuk diletakkan sebagai penyerang di belakang de Paula.

UAE juga dilihat bergelut apabila mereka kerap kali diperangkap offside oleh barisan benteng skuad negara. Ini memaksa van Marwijk mengeluarkan Khalil Ibrahim dan memasukkan seorang lagi pemain naturalisasi mereka, Caio Canedo Correa.

Hasilnya, penyerang itu berjaya mengasak benteng Harimau Malaya pada minit ke-63, namun hantaran ke belakangnya gagal dimanfaatkan oleh Fabio de Lima apabila rembatan derasnya cemerlang ditepis oleh Farizal Marlias di gawang.

Minit ke-70, Malaysia berjaya mencipta peluang terbaik, tetapi rembatan luar kotak Syafiq Ahmad hanya sipi daripada tiang gol yang dikawal oleh Ali Khasif.

Fabio de Lima akhirnya menebus kegagalannya apabila berjaya menewaskan Farizal Marlias selepas menerima hantaran Bandar Mohammed untuk gol kedua UAE pada minit ke-82. Sebelum itu, Farizal Marlias menafikan peluang Ali Mabkhout.

UAE berjaya meledak dua gol dalam masa tambahan di penghujung perlawanan. Ali Mabkhout dan Fabio de Lima dilihat berjaya memanfaatkan kelekaan benteng skuad negara di penghujung perlawanan untuk terus merobek gawang negara.

Kemenangan itu membolehkan UAE melonjak ke kedudukan kedua kumpulan dan keputusan seri Thailand berdepan Indonesia menyaksikan skuad negara jatuh ke kedudukan ke-4 Kumpulan G dengan berkongsi 9 mata bersama UAE dan Thailand.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN