Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea yang kelihatan semakin sukar untuk mempertahankan kejuaraan dimenangi itu semakin bernafsu dalam menambah muka baru di Stamford Bridge.
Selepas berjaya membawa masuk pemain tengah Everton, Ross Barkley dengan yuran perpindahan bernilai hanya £15 juta, Antonio Conte kini dalam usaha untuk kembali bekerjasama dengan bekas pemainnya ketika mengendalikan Juventus iaitu Arturo Vidal.
Menurut akhbar Itali, ITASportPress, Chelsea sedang mengintai peluang untuk membawa pemain tengah Bayern Munich itu dan dilaporkan menawarkan kontrak yang lumayan buat Vidal hampir mencecah £15 juta setahun.
Laporan turut mengatakan Chelsea meletakkan harga £33 juta bagi membida pemian tersebut. Namun, gergasi Bundesliga itu meningkatkan nilai tersebut dan £53 juta yang mereka mahukan dari Chelsea.
Pemain antarabangsa Chile yang telah mengumumkan persaraan selepas gagal membawa negaranya ke Piala Dunia 2018 di Russia itu pernah beraksi di bawah kendalian Antonio Conte di Juventus sekitar tahun 2011 hingga 2014 sebelum mengambil keputusan untuk berhijrah ke Bayern Munich.
Vidal yang mempunyai baki kontrak selama 18 bulan lagi mampu untuk terus memperkukuhkan jentera tengah Chelsea sekiranya pemain yang mempunyai corak permainan keras ini ke Stamford Bridge.
Ketika ini Chelsea mempunyai pilihan beberapa pemain tengah berkualiti tinggi seperti N’Golo Kante dan Cesc Fabregas sambil dibantu dua pemain yang direkrut pada jendela perpindahan musim panas yang lalui iaitu Tiemoue Bakayoko dan Danny Drinkwater.
Conte bagaimanapun masih mahu mempelbagaikan pilihan beliau di bahagian tersebut untuk disesuaikan dengan taktikal yang bakal digunakannya dengan membawa masuk Ross Barkley ke dalam pasukan.
Pengendali dari Itali itu sebelum ini pernah menyatakan bahawa: “Saya dan Vidal sempat bekerjasama beberapa tahun ketika kami di Juventus. Jika saya pergi untuk berperang, semestinya saya akan memilih Arturo Vidal untuk pergi bersama”