Selepas 13 Tahun, Perak Akhirnya Tewaskan Kedah Di Darul Aman

Juara Piala FA 2017, Kedah menerima tamparan hebat apabila tunduk buat kali pertama dalam saingan Liga Super 2017 di laman sendiri apabila tumbang 3-2 ke atas Perak dalam aksi yang mendebarkan.

Separuh masa pertama

Perlawanan yang berlangsung dalam keadaan padang yang basah akibat hujan menyaksikan Kedah menguasai saingan awal permainan dengan corak hantaran pendek seperti kebiasaan dipamerkan mereka.

Namun ketiadaan 5 tonggak utama jelas membantutkan usaha yang dilakukan pasukan tuan rumah apabila gerakan yang dicipta seringkali terhenti di kawasan penalti Perak.

Manakala Perak yang diperkuatkan dengan 2 pemain import baru dari Brazil, Gilmar Jose Da Silva Filho dan Leandro Dos Santos Oliveira dilihat lebih berbahaya pada babak pertama.

Nazrin Nawi hampir membolosi gawang Kedah pada minit ke-11 perlawanan apabila memperoleh peluang keemasan setelah penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim berada di luar kawasan gol beliau namun sepakan lambung dari Nazrin tersasar.

Perak terus mengasak anak buah Nidzam Adha Yusof pada minit ke-28 menerusi hantaran lintang dari Nasir Basharudin ditanduk Gilmar namun Ifwat kental bertahan bagi menafikan percubaan tersebut.

Usaha bertali-arus Perak akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-30.

Jaringan sendiri pertahanan Kedah, Syazwan Tajuddin terhasil akibat gagal mengeluarkan bola dengan cermat hantaran lintang Nasir yang terus menerjah gawang Kedah bagi jaringan pendahuluan buat pasukan The Bos Gaurus (TBG).

Jaringan tersebut ternyata menjadi tonik tambahan buat pasukan pelawat apabila berpeluang untuk terus menceroboh gawang Kedah namun kegopohan Nasir yang merembat liar peluang yang dimiliki hasil lorongan cantik Nazirul Naim Che Hashim.

Keputusan 1-0 memihak buat Perak walaupun Kedah lebih menguasai perlawanan pada babak pertama.

Sumber: Perak TBG

Separuh masa kedua

Perak tidak menunggu lama bagi menambah jaringan 2 minit perlawanan bersambung.

Nasir Basharudin yang menerima hantaran kemas dari Yashir Pinto Islame berjaya melepasi kawalan Fitri Omar sekaligus memerangkap Ifwat bagi jaringan kedua Perak.

Ketinggalan 2 jaringan membuatkan Kedah berusaha kembali untuk memperkemaskan aksi mereka.

Usaha tersebut berjaya menceriakan penyokong tuan rumah yang membanjiri Stadium Darul Aman apabila hantaran lintang Syafiq Ahmad berjaya ditanduk Sandro Da Silva pada minit ke-58 bagi merapatkan jurang.

Kemasukan Shahrul Saad yang menggantikan Hafiz Kamal memberikan impak yang pantas apabila hantaran jauh dari Shahrul berjaya disambar Gilmar yang meloloskan diri dari perangkap ofsaid untuk sekali lagi mengecewakan Ifwat buat kali ketiga di minit ke-72.

Jaringan ini merupakan gol sulung Gilmar pada debut pertamanya bersama Perak.

Ketika Perak dilihat selesa mendahului dengan 2 gol, Liridon Krasniqi tanpa disangka berjaya menewaskan Hafizul Hakim Khairul Nizam ketika permainan berbaki 6 minit menerusi tandukan untuk kembali merapatkan jurang dalam perlawanan yang sengit ini.

Jaringan tersebut terus meningkatkan tempo permainan apabila Kedah berterusan mengasak ke kubu Perak untuk menggagalkan impian pasukan pelawat untuk meraih 3 mata berharga.

Namun pertahanan skuad TBG kekal bertahan untuk menumpaskan Kedah yang kali terakhir ditewaskan Perak di Stadium Darul Aman pada tahun 2004.

Dengan keputusan ini Kedah kekal ditangga ke-3 liga (24 mata) dan Perak ditempat ke-4 dengan 21 mata.

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN