Selangor Wajib Menang

Inilah masanya. Selangor FC sedang berada di ambang detik paling penting dalam era kepimpinan DYTM Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor. Nilai taruhan pada malam perlawanan akhir Piala FA 2024 Sabtu ini amatlah tinggi. Apatah lagi bila perlawanan akhir ini akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, cuma 20 minit dari Stadium MBPJ.

Jangkaan belasan juta penyokong Selangor dan majoriti penyokong bola sepak tempatan cukup jelas sekali: Selangor wajib menang.

Perlawanan akhir malam Sabtu ini bukan sebarang perlawanan akhir. Ini adalah peluang untuk pengurusan Selangor membuktikan pelaburan besar mereka sejak lima tahun lepas membuahkan hasil. Sejak 2019 (musim pertama DYTM Tengku Amir Shah sebagai penaung kelab), Red Giants telah membawa masuk lima ketua jurulatih, menandatangani 32 pemain tempatan — separuh daripadanya bertaraf pemain kebangsaan — dan 30 pemain import.

Pelaburan untuk meningkatkan kualiti pasukan ini bukannya sedikit, tetapi trofi domestik pertama, untuk DYTM Tengku Amir Shah, masih elusif. Perlawanan akhir Piala FA 2024 mewakili peluang terbaik untuk menunjukkan kepada 7.4 juta rakyat Selangor bahawa semua pelaburan ini akhirnya membuahkan hasil.

Bak kata meme orang putih, “Antonio Germain died for this.” Begitu juga dengan Michael Nguyen, Taylor Regan, Tim Heubach, Yazan Al-Arab, Caion, dan beberapa lagi pemain import Selangor. Penyokong Selangor terkenal dengan standard jangkaan yang sangat tinggi. Mereka menjangkakan kecemerlangan pada setiap masa.

Bayangkan, selepas menang dalam perlawanan liga pun, pemain Selangor boleh dikritik jika kemenangannya tidak meyakinkan. Malam Sabtu ini, pemain Selangor bukan sahaja perlu menang — mereka perlu menang dengan meyakinkan.

Mengukir legasi baharu Selangor

Nilai taruhan Selangor dalam perlawanan akhir ini juga melangkaui wang ringgit dan kebanggaan. Perlawanan ini penting untuk legasi pemain-pemain senior, pihak pengurusan dan lebih-lebih lagi DYTM Tengku Amir Shah.

Jika Selangor gagal menjadi juara, penyokong pasti akan melakukan inkuiri kepada ketahanan mental pemain, taktikal ketua jurulatih, perancangan pihak pengurusan dan kepimpinan DYTM Tengku Amir Shah. Janji baginda dalam laman sesawang rasmi kelab adalah, “…untuk membawa kelab ke peringkat lebih tinggi, mengembalikan kegemilangan kelab…”. Jika rekod Selangor masuk ke perlawanan akhir (sejak 2019) menjadi ukuran, janji itu perlu dikotakan pada malam Sabtu nanti.

Lagipun, sudah hampir sedekad sejak kali terakhir Selangor menjulang trofi domestik — pada musim 2015, tiga tahun sebelum DYTM Tengku Amir Shah mengambilalih kelab. Malam Sabtu ini bukan sahaja peluang untuk menunaikan janji, ia juga peluang untuk baginda menghela nafas lega sementara. Tekanan semakin menggunung, kegagalan menjulang trofi hanya akan mengundang keresahan penyokong Selangor.

Sejarah mungkin berulang?

Beban psikologi Selangor menjadi semakin berat apabila kecenderungan mereka untuk longlai dalam perlawanan besar dibangkitkan. Dalam empat cubaan Red Giants di Piala FA sejak 2019, ini kali pertama mereka berjaya melangkah ke perlawanan akhir.

Dalam aksi separuh akhir Piala FA tahun lepas, Selangor tumbang 0-4 kepada seteru mereka malam Sabtu nanti. Memori Arif Aiman menjaringkan hatrik barangkali masih segar dalam ingatan penyokong Selangor. Memandangkan sumbangan gol Arif pada musim ini tidak setinggi musim lepas, ini adalah peluang Selangor untuk bergelar juara.

Pemain-pemain Selangor perlu tahu ketinggian nilai taruhan yang mereka bakal hilang jika kalah. Selangor perlu menang untuk betul-betul membuka ‘lembaran baharu’. Dalam bola sepak, kejayaan diukur dengan trofi. Noktah. Anda boleh bercanang tentang ‘perubahan’, ‘revolusi’, ‘lembaran baharu’ dan sebagainya, tetapi tanpa trofi — tiada siapa peduli. Itulah hakikat yang perlu ditelan dalam industri bola sepak.

Pada malam perlawanan akhir Piala FA 2024 nanti, Selangor perlu menerima hakikat ini: Selangor wajib menang. Apa jua keputusan selain menang, adalah resepi kegagalan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN