Prestasi cemerlang ketika mencatat kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Kuala Lumpur sabtu lepas mahu diteruskan oleh skuad Gergasi Merah apabila berdepan pendahulu liga super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Larkin malam ini.
Meskipun tanpa kelibat tonggak utamanya, Evan Dimas Darmono dan Ilham Udin Armaiyn yang menyertai sesi latihan skuad kebangsaan Indonesia, pengendali skuad itu, Nazliazmi Mohamad Nasir menegaskan mereka tetap berwaspada terhadap ancaman pasukan JDT.
“Berdasarkan perlawanan menentang Negeri Sembilan ini, saya perlu memperkukuhkan lagi barisan pertahanan supaya pasukan lawan tidak mudah menembusi benteng Selangor.
“Skuad Gergasi Merah masih beruntung kerana Willian Pacheco tetap mempunyai kemahiran tinggi untuk mengemudi barisan pertahanan supaya dapat berfungsi dengan baik selepas menerima asakan skuad Hoben Jang Hoben pada babak kedua.
“Kami perlukan taktikal serta pendekatan lebih berkesan apabila bermain di Larkin nanti, ia bukan kerana kami takut tapi sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya seperti dipetik dalam akhbar kosmo.
Nazliazmi tetap percaya setiap perubahan atau rombakan pemain merupakan cara terbaik untuk meningkatkan prestasi semasa pasukan.
“Sebagai seorang pemain yang profesional, mereka perlu menerimanya dengan hati terbuka untuk menyumbangkan sesuatu buat pasukan.
“Pada perlawanan ketika bertemu Negeri Sembilan, beberapa pemain telah dirombak selepas melihat prestasi mereka ketika berdepan Kuala Lumpur minggu lalu yang tidak mencapai tahap kita inginkan.
“Namun, menjelang perlawanan akan datang, semua pemain perlu bersedia kerana sebarang perubahan berkemungkinan akan dilakukan supaya dapat membantu pasukan mengutip tiga mata berharga di tempat lawan,” ujarnya.
Selangor berjaya naik dua anak tangga di kedudukan kelapan Liga Super dengan sembilan mata setelah menumpaskan Negeri Sembilan di halaman sendiri.