Selangor menjadi antara pasukan yang cukup malang sebenarnya pada awal musim 2024/2025 selepas pasukan itu kini sah kehilangan pemain import mereka pula kerana isu kecederaan.
Menerusi laporan dikeluarkan oleh wartawan Astro Arena iaitu Zulhelmi Zainal Azam terdahulu, pasukan itu sah kehilangan khidmat penyerang import dari Jordan, Reziq Banihani selama enam minggu kerana kecederaan dialami.
“Penyerang Selangor Reziq Banihani out 6 minggu due to injured ankle,” jelas Zulhelmi menerusi media sosial X beliau semalam.
Perkhabaran itu pastinya mengundang resah buat para peminat The Red Giants kerana Reziq boleh dianggap sebagai antara pemain import paling berkualiti didaftarkan mereka pada awal musim ini.
Kecederaan tersebut dilaporkan berlaku selepas beliau mengharungi saingan RCTI Premium Sports di Indonesia dan ketika itu para peminat sudah pun risau akan status pemain tersebut.
Kini, segalanya sudah pun terjawab dan skuad kendalian Nidzam Jamil tidak dapat menggunakan penyerang kelahiran Jordan itu selama enam minggu.
Nama Reziq secara tiba-tiba tular dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia sebelum ini selepas impak positif diberikannya bersama Selangor dalam setiap perlawanan telah dihadapi.
Tampil beraksi dalam dua perlawanan di Liga Super, Reziq kini sudah pun meledak satu gol ketika Selangor menewaskan Negeri Sembilan menerusi keputusan 4-0 ketika dirinya dibawa masuk selaku pemain gantian.
Kehilangan Reziq sudah tentu akan dirasai Nidzam kini kerana pemain tersebut berjaya memainkan peranan cukup bagus selaku ‘supersub’ buat pasukan berkenaan sebelum ini.
Posisi serangan Selangor boleh dianggap serba tempang ketika ini dengan sebelum itu mereka sah kehilangan tonggak utama Malaysia, Faisal Halim yang menjadi mangsa keganasan jenayah menerusi simbahan asid.
Tatkala pasukan tersebut tidak dapat menggunakan khidmat Faisal untuk suatu tempoh agak lama, kini mereka juga kehilangan sentuhan berbisa Reziq selama enam minggu.
Sudah tentu ia sedikit sebanyak memberi tekanan buat Nidzam untuk kembali membuat rombakan baharu dalam kalangan pemain sebelum aksi Piala FA bakal bermula tidak lama lagi.
Ketika ini, pemain seperti Alvin Fortes, Ronnie Fernandez, Mukhairi Ajmal, Danial Asri, dan beberapa lagi tonggak lain sudah tentu diharapkan mampu untuk menampung kepada kekurangan dialami Selangor sepanjang saingan berlangsung.