Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menyasarkan pasukan itu akan memiliki akademi bola sepak terbaik di negara ini dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi dengan membuat perancangan rapi bermula dari sekarang.
Pengarah Teknikal FAS, Michael Feichtenbeiner dalam kenyataannya kepada Sinar Harian melaungkan keyakinan itu selepas beliau memperkenalkan struktur baharu dalam pembangunan bola sepak pasukan The Red Giants itu bermula dari peringkat akar umbi.
Beliau yang juga jurulatih pasukan simpanan, Selangor II akan menumpukan model pembangunan yang akan memberikan peluang lebih besar kepada pemain-pemain muda untuk bermain lebih banyak minit permainan selain beraksi dalam perlawanan yang berkualiti bagi memastikan potensi mereka terus berkembang.
Bekas jurulatih skuad bawah 15 (B-15) Jerman itu bagaimanapun mengakui kejayaan tidak akan datang bergolek. Menurut Feichtenbeiner setiap perancangan memerlukan masa untuk membuahkan hasil dan beliau menjangkakan kesannya boleh dilihat seawal tahun 2022.
“Ia memakan masa untuk membentuk sebuah akademi yang bagus. Bukannya saya datang dalam tempoh singkat dan keputusannya terus dapat dilihat.
“Struktur bola sepak baharu perlu dibentuk dalam pasukan Selangor ini. Ia menjadi cabaran dan matlamat buat kami dalam pesukan.
“Sasaran saya untuk melihat corak baru bola sepak dalam pemain Selangor dan saya yakin dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi kita akan memiliki akademi bola sepak terbaik di Malaysia,” katanya.
Selangor baru-baru ini telah ‘memborong’ 28 orang pemain daripada kumpulan pertama graduan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) dan semua pemain itu akan diberi peluang untuk bermain bersama Selangor II, skuad Piala Presiden serta Piala Belia.
Dengan pengalaman luas membimbing pasukan remaja di beberapa kelab Eropah, jurulatih berusia 59 tahun itu akan menerapkan falsafah bola sepak moden dalam corak permainan pasukan Selangor.
“Filosofi saya ialah saya mahu pemain saya bermain dengan berani dan bertindak lebih aktif dengan bola dan tanpa bola. Saya juga akan pastikan pemain muda saya bermain dengan intensiti yang tinggi dan transisi ke gol pihak lawan dengan lebih laju.
“Ia adalah corak permainan yang saya mahu terapkan. Ia sudah tentu tegas dan berat tetapi ia cukup bagus untuk pembangunan pemain,” katanya lagi.
Bekas ketua jurulatih MPPJ FC itu berharap semua pihak dalam Selangor sama ada pemain dan jurulatih dapat bekerjasama dalam memastikan struktur baharu pembangunan bola sepak di pasukan itu dalam direalisasikan.
“Sekarang ia terpulang kepada saya untuk melatih semua jurulatih dan juga pemain supaya mereka dapat mengikuti struktur tersebut.
“Seperti yang saya sebutkan, ia memakan masa tetapi pada tahun 2022 kita akan dapat lihat hasilnya.”
Kredit Foto: FA Selangor