Selepas gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan, penyokong The Red Giants sudah mula hilang sabar dengan Ketua Jurulatih Selangor, B. Satiananthan yang dilihat gagal mengemudi pasukan itu dengan baik sekalipun mempunyai deretan pemain bintang.
Walaupun bermula baik dengan mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Pahang dalam aksi pembukaan Liga Super, Selangor kemudiannya hanya seri ketika berdepan Perak dan Terengganu sebelum tewas 2-0 kepada Kedah di Stadium Darul Aman pada Ahad lalu.
Sewaktu Selangor sedang beraksi dalam saingan Selangor Asia Challenge, pasukan itu telah pun ditanya mengenai posisi pertahanan kiri yang dianggap bermasalah sejak dari musim lepas dan apakah langkah penyelesaian yang akan diambil untuk mengatasinya.
Jurulatih berusia 61 tahun itu kemudian mengatakan Selangor akan cuba mendapatkan seorang pemain baharu di posisi itu.
B. Satiananthan: Salahkan Saya, Pemain Selangor Kalah https://t.co/ftfpgJ6Xnu pic.twitter.com/mHntmuH4Kj
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) March 16, 2020
Akhirnya, mereka tetap gagal mendapatkan pemain baharu seperti yang diharapkan dan posisi tersebut sekali lagi menjadi masalah besar buat Selangor dalam beberapa perlawanan musim ini.
Malah kehadiran Rodney Celvin, Nicholas Swirad dan Ahmad Safuwan Baharudin yang diharapkan dapat mengukuhkan barisan pertahanan masih belum nampak kesan yang besar buat masa ini.
Satiananthan sebenarnya mempunyai Azrin Afiq Rusmini yang merupakan graduan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) dan pemain tersebut telah mempamerkan aksi yang positif dalam beberapa perlawanan pra-musim. Tetapi setakat ini pemain tersebut masih belum diberikan peluang untuk beraksi.
“Cakap dengan saya [di posisi pertahanan kiri] siapa yang saya ada? Saya cuma ada Prabakaran, kemudian saya ada minta seorang lagi pemain, saya tak dapat.
“Takkan saya nak letak budak yang orang sibuk cakap AMD AMD AMD [Azrin Afiq], belum lagi, dia masih perlukan dua atau tiga tahun, itu pun jika dia tak ‘besar kepala’.
Dalam sidang media selepas perlawanan #SelangorAsiaChallenge semalam, B. Satiananthan ditanya mengenai posisi pertahanan tengah dan kiri yang dianggap memberi masalah kepada @FASelangorMy pada musim lepas. pic.twitter.com/1rdhHNoHjH
— Nur Hadi Mohamad (@nurhadimohd) January 19, 2020
“Mungkin saya boleh letak dia [Azrin] 10 atau 20 minit terakhir, itu cara nak membangunkan bakat seorang pemain [muda], jangan ‘bunuh’ dia terus,” kata Satiananthan dalam sidang media selepas perlawanan menentang Perak tempoh hari.
Mungkin agak sedikit janggal untuk mengatakan pemain muda masih belum cukup bersedia untuk beraksi di perlawanan kompetitif kerana hakikatnya Selangor telah pun melahirkan ramai pemain-pemain yang mampu menyerlah di usia muda seperti Syahmi Safari, Safiq Rahim, Azrif Nasrulhaq dan lain-lain.
Berbeza dengan satu lagi pasukan ‘kerdil’ di Liga Super iaitu Felda United yang seperti sedia maklum mempunyai sumber kewangan yang amat terhad pada musim ini. Pasukan berkenaan ‘terpaksa’ menggunakan khidmat pemain-pemain muda serta kurang ternama.
Separuh daripada skuad The Fighters merupakan ‘anak Felda’ yang terdiri daripada pemain-pemain muda yang antaranya diserap daripada akademi, skuad Piala Belia dan Piala Presiden.
Separuh Skuad Felda United Musim Depan Bakal Dibarisi ‘Anak Felda’ – https://t.co/wtDfcjZAwj pic.twitter.com/kQhTUErE7y
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 16, 2019
Namun begitu, dalam empat perlawanan sejak awal musim ini, pasukan itu telah mempamerkan aksi yang cukup memberangsangkan dan telah membuka mata banyak pihak.
Seri 1-1 dengan PJ City pada perlawanan pertama dan kemudian tewas 3-1 ketika kunjungan ke Sabah, Felda United akhirnya mencipta kejutan dengan menumpaskan Melaka United pada perlawanan ketiga Liga Super.
Lebih menarik lagi, pasukan itu berjaya mengikat juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan menjadi pasukan pertama yang berjaya membawa pulang mata dari Stadium Sultan Ibrahim.
CIMB Liga Super 2020: Felda United Calar Rekod Bersih JDT https://t.co/bX8xuFRecC pic.twitter.com/7LSMo0IV2y
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) March 14, 2020
Tidak cukup dengan itu, Felda United juga sebelum ini telah menjuarai kejohanan jemputan Piala Gurbernur Sumatera Utara di Medan pada bulan Januari yang lepas dengan menundukkan pasukan tuan rumah, PSMS Medan 2-1 di separuh akhir sebelum menumpaskan wakil Kemboja, Boeung Ket FC di perlawanan akhir dengan keputusan 1-0 hasil jaringan tunggal Nicolas Velez.
Tumpuan kini terarah kepada seorang jurulatih muda iaitu Nidzam Jamil. Mula mencipta nama sewaktu menjadi pembantu kepada B. Satiananthan di Felda United pada 2017, beliau telah pun mencuri perhatian dengan membuktikan kewibawaannya sejak musim pertamanya selaku ketua jurulatih pasukan itu pada musim lepas.
Sekalipun pasukan itu dilanda masalah kewangan yang serius sehingga terpalit dengan isu tunggakan gaji pemain dan jurulatih, Nidzam Jamil masih tenang mengemudi pasukan itu untuk mengelak dari tersingkir ke Liga Premier selepas menamatkan saingan liga di kedudukan ke-10.
CIMB Liga Super 2020: Felda United Gah Tundukkan Melaka Di Jengka https://t.co/gaJzWJTx5i pic.twitter.com/YiFew29y7E
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) March 11, 2020
Selain itu beliau juga telah berjaya menaikkan semula karier beberapa orang pemain yang sudah ‘hilang arah’ seperti Hadin Azman, Jasazrin Jamaludin dan S. Chanturu. Hasil ‘air tangannya’, prestasi Hadin melonjak sehingga mendapat panggilan bersama skuad kebangsaan.
Ketajaman ‘naluri’ yang ada dalam dirinya juga telah membuatkan beliau berjaya mengesan bakat dan kemampuan yang ada pada seseorang pemain itu. Buktinya boleh dilihat pada kualiti lima pemain import yang telah ditandatangani oleh Felda United musim ini.
Malah pada musim ini beliau juga berani menyenaraikan beberapa orang pemain muda untuk bersama skuad utama Felda United seperti Noorazwan Mohd Amir, Adam Malique Daniel dan Wazif Nazarail yang baru berusia 18 tahun.
Felda United Pertaruh Pemain Berusia 17 Tahun Di Liga Super – https://t.co/sYRouvurel pic.twitter.com/HY4TMWg6kH
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) January 12, 2020
“Ianya penting untuk pemain-pemain muda seperti ini diberi peluang bermain. Jika mereka melakukan kesilapan, saya tak kisah sebab untuk belajar sesuatu mereka akan buat silap. Jadi pada masa akan datang mereka akan jadi pemain yang baik,” kata jurulatih berusia 40 tahun itu ketika ditemubual SemuanyaBOLA.
Dalam kalangan pemainnya, beliau cukup dikenali sebagai seorang jurulatih yang ‘sporting’ dan mesra kerana beliau sering mengambil tahu masalah dan hal peribadi semua pemain dan staf di bawah bimbingannya.
Dengan perwatakan yang ‘cool’, semua pemain tahu beliau merupakan seorang yang mempunyai azam yang tinggi, fokus dan bijak membuat keputusan berdasarkan kemampuan sebenar seseorang pemain kerana setiap pemain mempunyai kelebihan dan kekurangan yang berbeza.
Khairul Amri & Megumi: ‘Duo Tampines’ Yang Bersatu Semula Di Felda United – https://t.co/vtH9JCe25z pic.twitter.com/SOPeSF8utb
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 23, 2019
“Kita perlu bermain berdasarkan kekuatan pemain dan tidak semestinya apa yang saya nak. Sebab dalam bola sepak, memang kadang kala keputusan tidak memihak pada kita.”
Perkara yang sering beliau sampaikan kepada pemainnya adalah berdisiplin, bekerja keras, pamerkan 100 peratus komitmen kepada latihan dan berikan yang terbaik dalam 90 minit perlawanan.
Walaupun Felda United beraksi tanpa tonggak utamanya, Daniel Amier Norhisham yang masih belum sembuh dari kecederaan, Nidzam berani mempertaruhkan bekas pemain tengah PKNP, Muhamamd Fadhil Idris dalam kesebelasan utama pasukan untuk beberapa perlawanan.
FELDA United Bakal Hilang Khidmat Danial Amier 3 Minggu https://t.co/MuS9ZgaEHi pic.twitter.com/p1l9NZNBV5
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) February 2, 2020
Hasilnya pasukan itu kini sedang menduduki tangga keenam dengan lima mata, satu anak tangga di atas Selangor yang ‘berbelanja besar’ membawa masuk beberapa orang pemain baharu berprofil tinggi ke dalam skuad mereka pada musim ini.
Berasal dari Kajang, bekas pemain Selangor itu tentunya calon terbaik untuk mengembalikan kegemilangan skuad The Red Giants yang sudah kemarau kejuaraan sejak beberapa tahun lamanya.
Bak kata Sweet Charity dalam lagunya, “Jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama, dia diambil orang.”
Kredit Foto: Felda United