Quantcast

TEMURAMAH

“Selangor Patut Buat Akademi Di Semua Daerah”

Nota editor: Sebagai salah satu usaha kami untuk mendokumentasikan cerita-cerita penyokong bola sepak tempatan, kami menemu ramah seorang penyokong Selangor, En. Mohd Nazli Umar, 41, sebelum perlawanan antara Selangor menentang PDRM pada minggu lepas.

Ketika kami datang untuk bersembang dengannya, beliau baru selesai membeli tiket untuk diri dan anak lelakinya.

Beliau mengaku skuad Selangor sekarang sedang bergelut mengejar bayang-bayang kegemilangan yang lalu. Dan beliau memberikan sebab mengapa.

“Selangor patut buat akademi. Kalau kita tengok pemain JDT sekarang pun, ramai pemain mereka pun asal dari Selangor. Sekarang, apa yang jadi pada Selangor? Pasal pelapisnya tiada! Kita asyik harap kepada muka-muka lama sahaja.”

“Sepatutnya tiap-tiap daerah di Selangor ini kena ada akademi. Barulah kita dapat cungkil bakat baru. Barulah kita ada banyak pilihan.”

Bercakap mengenai pembangunan akar umbi dalam bola sepak tempatan, beliau menggesa pemimpin persatuan bola sepak negeri lain termasuk Selangor untuk mencontohi JDT.

“Saya puji JDT. Kalau kita tengok sekarang, mereka rancak bergerak. Bagus sebenarnya. Presiden (merujuk bekas Presiden PBNJ, Tengku Mahkota Johor) mereka pun betul-betul minat bola. Duit pun ada. Tiap-tiap pasukan negeri ini kena ada seorang pemimpin macam dia.”

“Barulah kita boleh buat akademi dan pusat latihan yang bagus.”

Kemudian kami bersembang tentang skuad Selangor pula. Beliau memberi pandangan tentang persembahan keseluruhan 3 pemain import Selangor yang menjadi kesebelasan utama pada malam itu.

“Bagi saya Andik Vermansyah mesti dikekalkan lagi pada musim depan. Saya tengok dia main lebih bersemangat lagi daripada anak jati Selangor sendiri.”

Macam mana dengan pemain import yang lain?

“Yang lain tu…boleh. Tapi tak memenuhi kehendak-kehendak peminat Selangor macam saya lah. Tunggu habis musim nanti kita tukarlah. Tapi Andik saya rasa, biar dikekalkan.”

Robert Cornwaithe?

“Robert Cornwaithe tu pun bolehlah kekal…”

Macam mana dengan Guilherme de Paula?

“Hehehe…Wak Doyok ini susah sikitlah.”

En. Mohd Nazli kemudiannya mengimbas pengalaman kali pertama beliau datang ke stadium.

“Sejak darjah 2, darjah 3 saya dah rajin ikut orang tua saya – bapa saya – pergi ke stadium. First yang saya pergi pun Stadium Merdeka. Masa itu tahun 1982 atau 1983.”

“Masa kecil itulah saya selalu tengok Mokhtar Dahari main di Piala Malaysia. Masa itu, Selangor ada R. Arumugam, Soh Chin Aun dan Santokh Singh.”

Bersemangat saya naik bas dari rumah saya di Sungai Besi, kemudian turun Puduraya sebelum jalan kaki ke Stadium Merdeka.”

Kami bertanya: Abang tak sokong Kuala Lumpur ke?

“Eh tak (ketawa kecil). Saya orang Selangor. Kampung nenek saya pun kat Kuala Selangor.”

Lokasi: Stadium Shah Alam

Baca juga: KERANA KAWAN, LELAKI INI SANGGUP MELUPAKAN LEEDS & MULA MENYOKONG ARSENAL

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!