Skuad gergasi merah masih mempunyai kekosongan untuk kuota pemain import dari Asia dan Asean selepas mereka mengesahkan Rufino Segovia, Antonio German dan Enrick Dos Santos akan menyarung jersi pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Walaupun kelibat seorang pertahanan Vietnam, Michal Nguyen dikesan ketika perlawanan persahabatan di antara Selangor menentang UiTM FC beberapa hari lalu, namun Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon, menegaskan pemain itu belum sah menjadi milik skuad kendalian Satiananthan.
Dr. Johan menjelaskan dalam Stadium Astro, Sathianathan mahu memantau sejauh mana keadaan terkini pemain kacukan Republik Czech dan Vietnam itu.
Pemain yang pernah beraksi dengan Kelab Liga Thailand itu perlu membuktikan kemampuan sebelum layak menandatangani kontrak bersama Selangor untuk kuota pemain import dari Asia Tenggara.
“Seperti yang ramai maklum, Selangor telah menjalankan latihan dengan beberapa pemain asing tetapi ramai yang dihantar pulang kerana tidak melepasi tahap dimahukan jurulatih. Kami harapkan yang terbaik untuk mereka.
“Semoga dia boleh beraksi dengan baik dan jika prestasi dipamerkan memberangsangkan, kami akan menandatangani dia,” katanya.
Calon pemain import Asia masih misteri
Mengulas mengenai calon pemain import Asia pasukan itu, Dr. Johan berkata, beberapa pemain import tersebut enggan menjalani sesi latihan untuk diuji terlebih dahulu.
“Kami mempunyai calon dari Korea Selatan dan Australia. Setakat ini kami masih belum menemui calon yang bersesuaian dengan pasukan Selangor.
“Sesetengah daripada mereka tidak berminat untuk menyertai sesi latihan kami, jadi kami perlu meyakinkan mereka terlebih dahulu,” tambahnya.
Selangor hormat kontrak Syazwan Andik
Sebelum ini media tempatan melaporkan Syazwan Andik menarik minat dua pasukan Liga Super iaitu Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Bagaimanapun, Dr. Johan menjelaskan pihaknya menghormati baki kontrak yang masih dimiliki oleh pemain itu dan telah melupakan hasrat untuk mendapatkanya walaupun mereka pernah mengadakan perbincangan dengan Syazwan sebelum ini.
“Setakat ini, kami tidak menyediakan sebarang kontrak untuk Syazwan. Ia hanya perbincangan biasa. Tiada sebarang perkara serius di antara kami dan pihaknya.
“Kehadirannya mungkin memberikan impak besar kepada pasukan kami memandangkan kami memiliki seorang lagi pertahanan sayap kebangsaan, Syahmi Safari, namun kami perlu berpijak di bumi nyata,” katanya.