Jika Selangor Konsisten Dari Awal Musim, JDT Pun Tak Boleh Cari Makan

Ifedayo Olusegun Selangor Liga Super

Ia seakan-akan skrip yang berulang seperti mana musim lalu. Goyah di awal musim, Selangor dilihat hanya bernafsu apabila Liga Super berada di penghujung saingan.

Kali ini Sabah pula menjadi mangsa ‘kerakuasan’ Selangor apabila dibelasah 6-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu. Ia merupakan kemenangan kelima Selangor dalam enam perlawanan terakhir mereka.

Penyerang sensasi Selangor, Ifedayo Olusegun turut mencipta sejarah baharu dalam sejarah Liga Super dengan mencetak gol ke-25 musim ini, mengatasi rekod 23 gol milik Mohammed Ghaddar pada musim 2017.

Langit tak selalunya cerah

Selangor yang berada pada tahun pertama penswastaannya telah melantik jurulatih dari Jerman, Karsten Neitzel dan membawa masuk beberapa nama besar serta pemain-pemain import dengan reputasi tinggi. Antaranya adalah Shahrel Fikri, Nik Haseefey, Tim Heubach, Oliver Buff dan Manuel Konrad.

Tim Heubach: Menantikan Keampuhan ‘Tembok Berlin’ Setinggi 1.92 Meter Milik Selangor

Pemain-pemain penting turut berjaya dikekalkan seperti Brendan Gan, Halim Saari, Safuwan Baharudin, Ifedayo Olusegun dan Khairul Azhan Khalid. Pasukan ini disebut-sebut bakal menjelmakan corak permainan berpaksikan DNA bola sepak Jerman.

The Red Giants memulakan saingan musim ini dengan langkah bergaya apabila menundukkan Sri Pahang 3-1 dalam aksi pembukaan, tetapi selepas itu segalanya menjadi serba tidak kena. Mereka buntu mencari kemenangan dalam empat aksi seterusnya.

Tidak sampai pertengahan musim, kehilangan pemain-pemain utama ternyata meresahkan Karsten Neitzel. Mereka kehilangan Shahrel Fikri, Tim Heubach, Halim Saari dan Safuwan Baharudin akibat kecederaan.

Kemudian kapten mereka, Brendan Gan pula terpaksa diketepikan setelah didiagnosis menghidapi penyakit kanser testis yang memerlukan pembedahan dan proses pemulihan yang panjang.

Kapten Selangor, Brendan Gan Disahkan Menghidap Kanser

Percaya pada proses

Sehabis hujan, muncullah pelangi, keadaan itu memberi ruang kepada pemain-pemain muda untuk menyerlahkan potensi mereka. Nama-nama pemain yang kurang dikenali sebelum ini secara tiba-tiba mula mendapat perhatian.

Nama-nama seperti Sharul Nazeem, Danial Asri, Aliff Haiqal, Mukhairi Ajmal, Jordan Ayimbila, Hein Htet Aung, Zikri Khalili, Shivan Pillay, Harith Haikal, Sikh Izhan Nazrel begitu menyerlah apabila diberi peluang beraksi bersama skuad utama.

Tidak sekadar menjadi ‘penumpang’, pemain-pemain ini menjadikan pengalaman beraksi di pentas tertinggi sebagai proses pembelajaran dan akhirnya menjadi tunjang pasukan dalam mencatat keputusan-keputusan positif.

Bakat yang digilap perlukan masa untuk bersinar, percaya kepada proses. Sampai masa, hasilnya akan dapat dinikmati. Yang penting, ‘ikat’ mereka sebaik mungkin. Jangan sampai disambar orang.

Tiada ‘rumah’ prestasi goyah

Kalau dahulu Selangor mungkin boleh berbangga dengan aura penyokong setiap kali beraksi di stadium keramat mereka di Shah Alam. Tetapi pihak MFL telah mengesahkan gelanggang itu tidak selamat untuk digunakan atas faktor ‘keuzurannya’.

Maka musim ini juara Piala Malaysia 33 kali ini sekali lagi perlu mencari stadium lain untuk beraksi. Mungkin dek kerana status sebagai ‘penumpang’, rekod Selangor di ‘gelanggang sendiri’ terlalu buruk berbanding aksi di tempat lawan.

Daripada 10 perlawanan Liga Super yang berlangsung Stadium Majlis Bandaraya Petaling (MBPJ) Kelana Jaya, Selangor hanya menang tiga kali sahaja, iaitu berdepan tiga pasukan tercorot liga UiTM, Perak dan Sri Pahang. Selebihnya mereka seri tiga kali dan tewas empat kali.

Liga Super: Selangor Tersungkur ‘Dihentak’ JDT Di Laman Sendiri

Tetapi apabila bertandang ke stadium lawan lain pula ceritanya, mereka jauh lebih kritikal dengan merekodkan tujuh kemenangan, tiga seri dan hanya dua kali tewas.

Mentaliti menang

Konsistensi adalah perkara yang ada pada JDT dan tiada pada Selangor. Lihat sahaja pencapaian skuad Harimau Selatan itu beberapa musim kebelakangan ini. Mereka hanya tewas satu, dua kali sahaja atau mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang saingan liga.

Tidak kira di gelanggang sendiri atau tempat lawan, matlamat utama mereka adalah mendapatkan tiga mata penuh dalam setiap perlawanan.

Dengan  pemain-pemain bintang dari seluruh negara berkumpul di pasukan itu, maka semuanya dikehendaki mempamerkan prestasi terbaik dalam sesi latihan agar menjadi pilihan utama untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

TMJ Samakan Selangor dengan Arsenal, ‘Habuk Pun Takda’

Untuk bersaing dengan pasukan serba lengkap seperti itu, Selangor perlu berusaha keras untuk berada pada standard yang sama, iaitu menyasarkan untuk menang setiap perlawanan, bukan sekadar seri.

Jika JDT boleh berbangga dengan kemudahan serta fasiliti yang serba lengkap, Selangor juga kini menunjukkan bahawa mereka sedang menuju ke arah yang sama. Hari demi hari, kelab ini mempamerkan kemajuan mereka dalam membangunkan pasukan dari segenap aspek.

Penutup

Walaupun Selangor kerap ‘diusik’ oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sutan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ). Anggaplah ia sebagai satu cabaran.

Perkara yang menjadikan sesebuah liga itu meriah adalah persaingan sengit untuk mengejar kejuaraan. Baginda tentunya tidak selamanya selesa melihat pasukannya mendominasi saingan liga tempatan untuk jangka masa terlalu lama.

TMJ Samakan Selangor dengan Arsenal, ‘Habuk Pun Takda’

Selangor mempunyai sejarah yang cukup agung dalam pentas bola sepak Malaysia. Tujuh kejuaraan liga utama, 33 Piala Malaysia, lima Piala FA dan lapan Piala Sumbangsih merupakan pencapaian yang sukar ditandingi mana-mana pasukan.

Bangkitlah The Red Giants!

Wahyudi Mustaqim merupakan bekas pekerja gerai bakso di Taman Sri Andalas yang rindukan suasana meriah di Stadium Shah Alam.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN