Selangor akhirnya kembali di pentas Asia pada tahun hadapan, selepas pasukan itu mendapatkan slot tersebut menerusi kejayaan mereka menghuni tangga kedua Liga Super musim ini.
Tampil dengan persiapan rapi sejak awal musim, Selangor dilihat sangat wajar untuk mendapatkan slot itu untuk kembali memberi menggegar saingan AFC pada tahun hadapan.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe dilihat sangat konsisten pada musim ini selepas mereka tampil serba lengkap sebenarnya di setiap posisi untuk memberi cabaran buat pasukan lain mengatasi The Red Giants.
Antara faktor kejayaan Selangor sudah tentu terarah kepada percaturan genius Tan Cheng Hoe yang bijak mengadun barisan pemain muda dan senior dalam kesebelasan utama.
Walaupun begitu, masih ada beberapa kelemahan ketara yang perlu diatasi segera oleh Selangor untuk musim hadapan, kerana mereka bakal berdepan dengan cabaran jauh lebih mencabar.
Perkemaskan jentera pertahanan
Jentera pertahanan Selangor pada musim ini dianggap tidak begitu konsisten walaupun mereka dibarisi oleh beberapa nama besar dalam arena bola sepak tanah air.
Daripada segi pemain tempatan, pasukan tersebut tidak mempunyai begitu banyak masalah melainkan Selangor perlu menandatangani khidmat import lebih berkualiti di posisi tersebut.
Kehilangan Yazan Al-Arab pada musim ini memberi petanda kepada pasukan kejurulatihan untuk mengenal pasti lebih awal pemain import baharu di posisi pertahanan mereka.
Kreativiti mencatur serangan lebih berkualiti
Selangor pada musim ini terlalu bergantung harap kepada Faisal Halim serta Yohandry Orozco untuk menggerakan serangan mereka dengan lebih tersusun.
Tanpa pemain-pemain ini, jelas Selangor begitu tempang untuk menguasai posisi tengah serta pergerakan dicipta mereka mudah dibaca oleh pasukan lawan.
Noor Al Rawabdeh dianggap kurang memberi impak sepanjang musim ini dan The Red Giants mungkin memerlukan seseorang lebih genius untuk tampil kreatif mengatur pasukan dari bahagian tengah tahun hadapan.
Lebihkan kualiti daripada kuantiti import
Alexander Agyarkwa, Richmond Boakye, Noor Al Rawabdeh, dan Rauf Salifu antara senarai pemain import yang tidak begitu memberikan impak besar buat perjalanan Selangor pada musim ini.
Tidak salah sebenarnya buat Selangor untuk menandatangani semua kuota import dibenarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), tetapi pasukan itu perlu tampil lebih teliti dalam pemilihan dilakukan sebelum menyertai mereka.
Daripada segi kualiti, hanya Ayron dan Yohandry Orozco sahaja dilihat begitu memberi impak besar buat pasukan tersebut dengan selebihnya dilihat tidak jauh berbeza berbanding pemain tempatan.
Beraksi di saingan AFC musim hadapan, Selangor pastinya memerlukan barisan import jauh lebih berpengalaman serta dapat membantu kejurulatihan untuk membuat penggiliran kerana melalui jadual padat.