Selangor Juniors League 2017: Liga Futsal Yang Bakal Lahirkan Bintang Futsal Negara

Saya sentiasa percaya kunci kejayaan mana-mana sukan bagi sesebuah negara adalah kepesatan dan kemajuan program pembangunan akar umbi sukan tersebut.

Kita mungkin boleh melabur jutaan ringgit untuk mendapatkan jurulatih berkelas dunia dan kemudahan state-of-the-art untuk pasukan senior. Tetapi tanpa program pembangunan akar umbi, duit tersebut akan menjadi sia-sia.

Sebab itu saya melihat potensi Selangor Juniors League (SJL), sebuah liga futsal di Selangor yang menampilkan 45 pasukan dan 700 pemain futsal bawah-13, bawah-14, bawah-15 dan bawah-16, sebagai sesuatu yang menggalakkan.

Potensi bagi SJL untuk menjadi platform bagi jurulatih-jurulatih elit futsal negara mencari bintang muda baru adalah cukup tinggi. Ianya diorganisasikan dengan cukup teratur, meriah dan paling penting – menawarkan saingan kompetitif untuk semua pemain.

Underdog juga boleh menewaskan favourite

Sebaik tiba di Real Sports Arena yang terletak di Klang, Selangor pada Ahad (20 Mei 2017) lepas, final pertama yang saya saksikan adalah final kategori bawah-15. Ia menemukan pasukan pilihan, Eleven Red Eagles (dari Sekolah Sukan Negeri, SMK Seksyen 11) dan pasukan underdog, Court Soccer FC.

Previu yang saya baca sebelum final ini, rata-ratanya memihak kepada Eleven Red Eagles.

Previu dan ramalan tersebut sememangnya logik. Pemain Red Eagles jauh lebih berstamina untuk bermain di gelanggang FIFA yang lebih besar (di peringkat kumpulan, pasukan bermain di gelanggang yang lebih kecil). Jentera serangan mereka juga ampuh – menjaringkan 87 gol dari 11 perlawanan.

Manakala Court Soccer pula sentiasa bolos setiap perlawanan. Malah diperingkat kumpulan, Court Soccer sendiri pernah kalah 4-7 menentang Red Eagles.

Tetapi bak kata orang, bola itu bulat. Apa-apa sahaja boleh terjadi.

Semasa final, Court Soccer menunjukkan pemain-pemain futsal Sekolah Sukan Negeri (Red Eagles) bagaimana untuk menang dalam perlawanan besar. Disiplin, organisasi pertahanan dan ketajaman penyudah jauh lebih penting daripada reputasi pasukan.

Meskipun Red Eagles menguasai sebahagian besar perlawanan dan mempunyai pemain yang lebih baik, Court Soccer teguh bertahan dan pantas menyengat apabila diberi peluang.

Hasilnya Court Soccer – pasukan underdog – muncul juara menewaskan Red Eagles 2-0.

Meskipun tewas, Red Eagles tetap perlu diberikan pujian. Salah seorang pemain mereka (Muhammad Haikal, no.8 dalam gambar bawah) merupakan pelajar Tingkatan 1 yang bermain dalam final kategori bawah-15. Jelas sekali bakat beliau perlu diberi perhatian.

Kebijaksanaan taktik senjata kemenangan

Dalam final kategori bawah-16 pula mempertemukan pasukan pilihan, Charo FT menentang pasukan kegemaran ramai, Darul Naim FT.

Hadir dengan kumpulan ‘ultras’ mereka sendiri, tidak sukar untuk meneka mengapa Darul Naim paling mendapat perhatian semasa final. Rata-rata penyokong terdiri daripada rakan-rakan pemain dari SMK Taman Dato’ Harun.

Jika anda tidak pernah menyaksikan aksi ultras mereka sekalipun, anda pasti akan tertawan dengan semangat perjuangan Cikgu Rosli Ariffin, ketua jurulatih mereka dalam video di bawah:

Bagaimanapun kebijaksanaan taktikal Charo di gelanggang FIFA nyata terlalu sukar untuk digugat oleh Darul Naim.

Charo bertahan dalam formasi kotak (2 fixo dan 2 pivo) tetapi pantas bertukar menjadi ‘berlian’ (1 fixo, 2 ala, 1 pivo) ketika fasa build-up dan menyerang. Menyaksikan bagaimana strategi Charo berfungsi adalah satu keseronokan yang saya rasai ketika menonton final ini.

Darul Naim cuba menyaingi Charo dengan melakukan power play pada 3 minit terakhir perlawanan. Tetapi ia masih gagal untuk menghalang Charo daripada menang 5-1.

Bagi kategori bawah-13, ia dimenangi oleh Putra MB Kids yang menewaskan 9 Lions (dari SMK Sekyen 9, Shah Alam). Manakala bagi kategori bawah-14, SMK Seksyen 18 berjaya menewaskan Putra MB Jr melalui sepakan penalti.

Wajar dianjurkan setiap tahun

SJL2017 ini merupakan edisi sulung liga futsal ini dianjurkan. Berdasarkan kemeriahan dan sokongan daripada ibu bapa dan jurulatih yang diterima, SJL2017 adalah satu kejayaan buat penganjurnya, Football Selangor (yang dinaungi oleh DYTM Tengku Amir Shah).

Sokongan penganjur seperti Biforst Group, Majlis Bandaraya Shah Alam, Arena Futsal Malaysia, ASY Studioz dan Sunway Group juga penting demi memastikan kejayaan liga ini.

Syabas kami ucapkan kepada Football Selangor dan penaja atas kejayaan penganjuran SJL2017 ini!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN