Selangor 1 – 1 JDT: Adakah Selangor Sudah Boleh Mencari Calon Penyerang Baru?

Selepas 2 perlawanan di tempat lawan, Selangor akhirnya bermain di halaman sendiri dan lawan pertama mereka di Shah Alam adalah juara liga tahun lepas; JDT.

Minggu lepas mereka berjaya mencuri 1 mata daripada Pahang selepas seri 1-1 di Stadium Darul Makmur. JDT bertandang ke Stadium Shah Alam segar daripada kekalahan mengejut 1-0 menentang PDRM di stadium sama. Kedua-dua pasukan bertekad mahu mengutip 3 mata di hadapan kumpulan penyokong mereka yang besar.

Barisan kesebelasan Selangor

Mehmet Durakovic masih lagi menaruh kepercayaan kepada barisan kesebelasan utamanya musim ini dengan tiada perubahan daripada kesebelasan pemain yang bermula dalam perlawanan menentang Pahang pada minggu lepas. Cuma kali ini, Andik dan Hazwan Bakri sudah mula bertukar-tukar sayap.

Selangor - Football tactics and formations

 

Barisan kesebelasan JDT

Kesebelasan pemain JDT pada perlawanan semalam paling menarik dengan beberapa perubahan dilakukan Bojan Hodak. Fadhli Shas kembali di posisi pertahanan tengah dengan S. Kunanlan berpindah ke posisi bek kiri dan Jasazrin Jamaludin di bek kanan. Di tengah, Amirulhadi Zainal berpasangan dengan Hariss Harun di tengah sebagai box-to-box midfielder dan Safiq Rahim sebagai ketua perancang serangan JDT.

JDT - Football tactics and formations

 

Rumusan perlawanan

Andik Vermansyah pantas menghukum benteng pertahanan JDT yang jelas tampak tidak bersedia (berdasarkan pemerhatian penulis di stadium) walau selepas wisel sepak mula dimulakan. (Adakah ini rekod gol terpantas dalam Liga Super? Kami berharap-harap FAM mencatat rekod-rekod sebegini sebagaimana yang dilakukan dalam liga-liga profesional Eropah).

Berbalik kepada perlawanan semalam, JDT mendominasi permainan selepas itu, dan hasilnya Luciano Figueroa menjaringkan gol penyamaan dalam satu build-up yang penuh kontroversi di mana pengadil meneruskan perlawanan meskipun Azmi Muslim jelas terbaring kesakitan.

Strategi deep defending Selangor

Pada musim lepas, Selangor muncul pasukan yang mempunyai rekod pertahanan terbaik di liga dengan strategi deep defending ini. Ianya efektif kerana dua sebab:

1. Kedua-dua Shahrol Kalam dan Robert Cornwaithe tidak mempunyai kelajuan untuk menutup ruang besar di belakang mereka sekiranya Selangor bermain high defending.

2. Strategi deep defending Selangor menarik pasukan lawan untuk menyerang mereka, sekaligus meninggalkan ruang besar untuk dieksploit oleh Andik Vermansyah dan Guilherme dalam serangan balas.

Pada perlawanan semalam, strategi deep defending ini mengehadkan peluang JDT kepada peluang jarak jauh sahaja. Safiq Rahim beberapa kali mencuba peluang ini tetapi tidak membuahkan sebarang hasil. Nyata inilah yang Mehmet mahukan daripada JDT. Beliau mahu mengehadkan peluang JDT pada jarak jauh sahaja; dengan beliau yakin kerana mempunyai seorang shot-stopper yang bagus pada Norazlan Razali.

10921637_428066150690023_9024657826889655259_o

Sepakan gol Norazlan Razali menghampakan

Jika anda menonton perlawanan ini dari TV, anda akan mempunyai kesukaran untuk memahami bahagian ini. Tetapi jika anda menonton perlawanan ini dari stadium, anda akan tahu apa yang penulis cuba sampaikan.

Salah satu tugas penting penjaga gol adalah memastikan goal kick mereka sampai ke zon yang mereka mahu. Jika goal kick ditujukan ke zon sebelah kiri mereka, ini bermaksud mereka mahu mengeksploit ketinggian penyerang mereka vs ketinggian pertahanan lawan.

Pada separuh masa pertama, jelas Selangor mahu mengeksploit ketinggian Guilherme (185cm) vs ketinggian Jasazrin (172cm). Jadi banyak goal kick Norazlan perlu diarahkan ke Jasazrin, iaitu di sayap kiri Selangor. Malangnya, hampir kesemua goal kick Norazlan tidak sampai ke zon Jasazrin sekaligus menggagalkan pelan serangan Selangor.

goalkick selangor

Sekiranya goal kick Norazlan tiba di kawasan di mana Guilherme boleh menewaskan Jasazrin dalam perebutan bola di udara, secara automatiknya Selangor sudah boleh mula menyerang kerana bola sudah berada di kubu JDT. Agak malang apabila strategi Mehmet yang kami rasa menarik ini gagal disempurnakan dengan baik.

Guilherme masih mengecewakan

Jika persembahan Guilherme masih lagi berterusan sebegini (berdasarkan 3 perlawanan setakat ini), Selangor sudah boleh mula mencari calon penyerang baru pada April akan datang. Bermain dalam pasukan yang mengamalkan deep defending, beliau perlu bermain seperti seorang target man – memegang bola (hold ball) sementara menunggu larian pemain-pemain Selangor yang lain.

Perlu diingat, tugas memegang bola bukanlah tugas yang mudah memandangkan anda akan dicabar oleh pertahanan tengah yang agresif dan berbadan besar ketika bola masih di kaki anda.

Tetapi sebagai pemain import yang pastinya menerima gaji dan bonus yang lebih besar berbanding pemain tempatan, Guilherme gagal melakukan tugas ini dengan konsisten sekaligus menggagalkan beberapa cubaan Selangor untuk melancarkan serangan balas.

10996492_428065797356725_6513764339141071434_o

Jorge Pereyra Diaz lebih berbahaya di tengah

Selepas Amirulhadi Zainal dikeluarkan, Jorge Pereyra Diaz diarahkan untuk beroperasi di tengah dan S. Chanturu di posisi asal Diaz iaitu sayap kiri. Di sayap kiri, larian Diaz nampak mudah dibaca oleh pertahanan Selangor.

Dengan Selangor selesa bermain deep defending, Diaz tidak mempunyai ruang untuk menewaskan Azrif dan melakukan hantaran lintang. Jadi beliau banyak melakukan larian cut inside dari sayap kiri ke tengah. Tetapi Nazmi Faiz melakukan kerja defensif yang bagus, menghalangnya membuat larian-larian berbahaya di tengah.

10848795_428065384023433_3242937750901060709_o

Apabila Diaz mula bermain di tengah selepas S Chanturu dimasukkan, Selangor bergelut untuk mengekang bahaya Diaz. Beliau sering tampil di ruang-ruang antara Nazmi-Leandro dan Shahrol-Cornwaithe. Ruang ini tidaklah begitu besar tetapi kualiti Diaz membolehkannya mengeksploit ruang sekecil itu untuk menghasilkan peluang gol.

Kesimpulan

3 perlawanan tanpa sebarang kemenangan bukanlah isyarat buat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk panik. Pertahanan Selangor tampak kukuh. Apa yang perlu diperbaiki adalah kualiti jentera serangan mereka. Guilherme sudah pun mendapat 3 peluang untuk membuktikan kemampuannya tetapi tampak masih gagal (sekurang-kurangnya di mata penyokong Selangor).

Apakah Mehmet perlu meneruskan kepercayaannya kepada Guilherme?

Adakah ini masanya bagi Mehmet untuk mengalihkan kepercayaannya kepada A. Thamil Arasu, Afiq Azmi untuk membuktikan sesuatu kepada Mehmet?

 

Like page SemuanyaBOLA di Facebook.

Follow Twitter kami di @semuanyabola

Sumber gambar: Johor Southern Tigers

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN