Pemain kacukan Malaysia-Australia, Quentin Cheng dikatakan berada di bumi Malaysia sejak beberapa minggu yang lalu namun, tiada sebarang pengesahan mengenai kelibatnya dengan mana-mana pasukan.
Walaubagaimanapun, malam tadi telah tersebar di laman Twitter Harimau Abroad mengenai keberadaan Quentin Cheng bersama skuad Selangor II dalam satu aksi persahabatan di Stadium MP Selayang.
Skuad kendalian Michael Feichtenbeiner ketika ini dalam persediaan untuk saingan Liga Premier 2020 di mana ia merupakan penampilan sulung skuad tersebut yang dijenamakan semula daripada PKNS FC.
Sebelum ini pemain berusia 21 tahun itu beraksi bersama kelab Central Coast Mariners di Australia dan merupakan salah seorang pemain skuad negara yang beraksi di Sukan SEA 2019 di Filipina.
Quentin Cheng hanya diturunkan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Kemboja yang menyaksikan mereka tewas 1-3 dan beliau menjadi penyumbang gol saguhati tersebut.
Menyatakan sebelum ini yang ianya bukan debut yang diidamkannya apabila skuad negara telah dihantar pulang awal, namun beliau menganggap ianya sebagai satu pengalaman berharga buat dirinya.
Misinya untuk tahun 2020 adalah untuk meraih lebih banyak minit perlawanan bersama Central Coast Mariners tampaknya seperti sudah berakhir dan kini, jika benar Quentin Cheng sudah menyertai Selangor II, sudah tentu misinya masih sama – memburu lebih minit permainan untuk tingkatkan kemampuannya.
Disamping itu, pemain muda kelahiran Australia itu turut memasang impian untuk memecah masuk ke skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe sekiranya berhasil memberi aksi terbaiknya di kelab.
Ketika ini, Selangor II dikatakan dalam proses pemilihan pemain untuk melayari cabaran di Liga Premier yang turut disertai Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Terengganu FC II, Perak II dan beberapa pasukan negeri yang pastinya kuat seperti Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Dengan kemasukkan ramai produk daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan juga skuad Piala Presiden dan Belia PKNS FC yang cemerlang musim lalu, cabaran yang akan ditampilkan oleh mereka tidak boleh dipandang mudah oleh semua pasukan biarpun tiada slot untuk promosi ke Liga Super.
KREDIT FOTO: Harimau Abroad