Selangor gagal untuk meneruskan konsistensi mereka dalam aksi Liga Super musim 2024/2025 dengan kali ini mereka hanya mampu terikat seri 1-1 ketika menghadapi cabaran daripada Sri Pahang.
Entah di mana silapnya, Selangor seakan gagal untuk mengekalkan rentak positif seperti dipamerkan mereka sewaktu membenam cabaran Penang beberapa hari lalu dengan jumlah jaringan besar.
Daripada senarai kesebelasan utama, Nidzam Jamil telah pun meletakkan barisan pemain berkualiti seperti Yohandry Orozco, Alvin Fortes, serta Ronnie Fernandez untuk menggempur kubu pertahanan lawan.
Malah pada awal separuh masa pertama jelas Selangor tampil dengan intensiti permainan cukup tinggi sehingga menyebabkan Sri Pahang dibolosi terlebih dahulu menerusi Alvin Fortes pada minit ketiga.
Namun konsistensi tersebut gagal dipertahankan apabila giliran Sri Pahang kembali menyamakan kedudukan menerusi Stefano Brundo di penghujung separuh masa pertama.
Bersambung di babak kedua, Selangor seolah gagal mengekalkan rentak positif dengan beberapa kali gerakan dicipta mereka mudah diatasi tuan rumah.
Tok Gajah yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Mykola Ahapov dilayangkan kad merah dilihat langsung tidak menghadapi begitu banyak kesukaran untuk mengimbangi permainan lawan.
Sebaliknya Sri Pahang pula tampil mendominasi permainan kadangkala dengan beberapa siri serangan berjaya dilancarkan dan hampir mencemaskan kubu pertahanan Selangor.
Keputusan kekal tamat dengan kedua pasukan sekadar meraih keputusan seri 1-1 sahaja dan membawa pulang satu mata pada aksi ketujuh Liga Super musim ini.
Jika dilihat pada statistik Selangor, pasukan ini memiliki kelemahan ketika beraksi di gelanggang lawan apabila mereka sudah pun mencatat tiga kali kekalahan pada musim ini serta satu keputusan seri sewaktu berdepan Sri Pahang.
Ianya dianggap sangat berbeza jika dibandingkan ketika mereka beraksi di halaman sendiri yang menyaksikan enam kemenangan diperoleh skuad kendalian Nidzam Jamil bagi aksi domestik.
Maka, tidak hairan mengapa segelintir penyokong mereka kurang senang akan konsistensi ditampilkan The Red Giants kerana pasukan ini juga bakal menjadi wakil Malaysia ke pentas AFC Champions League 2 (ACL2).
Sudah tentu beberapa rombakan wajar dibuat oleh Nidzam untuk mengekalkan kembali konsistensi permainan positif mereka selepas ini serta menjadi antara pencabar utama kejuaraan Liga Super.
Foto: Shah Amirul