Dibarisi pemain muda lingkungan 18 sehingga 24 tahun, Selangor FC 2 berjaya membuktikan bahawa mereka merupakan pasukan sejati dalam pembangunan bakat muda untuk mengharungi saingan Liga Premier musim hadapan.
Untuk senarai pemain musim hadapan, hanya dua orang sahaja yang berusia 24 tahun yang masih ada dalam skuad iaitu penjaga gol, Aqil Fadhly dan pemain tengah, Syazwan Salihin.
Empat import musim ini yang beraksi bersama SFC2 juga dikekalkan oleh bahagian pengurusan untuk terus memberi bakti pada musim hadapan.
Hein Htet Aung, Jordan Ayimbila, Alex Agyarkwa, dan George Attram merupakan kuartet import tersebut dan uniknya kesemuanya masih berusia hanya lingkungan 21 dan 22 tahun.
Secara keseluruhannya, pengurusan mengekalkan 20 pemain musim lalu serta berjaya mengikat permata baharu dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Antara perkembangan baik buat para pemain SFC2 musim ini apabila ada beberapa nama pemain yang diserap untuk beraksi di skuad utama Liga Super.
Sharul Nazeem Zulpakar, Aliff Haikal Lau, Danial Asri serta beberapa nama lagi dilihat memberi impak yang sangat bagus ketika beraksi bersama skuad utama.
Kapten pasukan SFC2, Harith Haiqal bersama seorang lagi pemain pertahanan kiri, Azrin Afiq menjadi antara pelapis kedua yang berjaya menembusi skuad utama Selangor bagi musim 2022.