Meskipun diaibkan pada aksi suku akhir pertama Piala FA, kem Selangor dilaporkan masih belum mahu mengalah dan ingin mencipta kebangkitan pada perlawanan seterusnya menentang Kuching City.
Terdahulu, Selangor mencatat kejutan apabila mereka tewas 1-2 kepada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak pada aksi yang berlangsung di Stadium Negeri walaupun tampil menguasai permainan.
Hadir dengan reputasi cukup besar pada aksi-aksi lalu, pada awalnya The Red Giants dilihat mampu untuk meraih kemenangan pada perlawanan tersebut jika dibandingkan oleh Kuching City.
Namun, tiada siapa menjangkakan skuad kendalian Aidil Sharin mampu mencipta kebangkitan untuk meraih kemenangan penting sebagai bekalan selesa ke pusingan seterusnya.
Pada aksi tersebut, Selangor terlebih dahulu mendapat jaringan menerusi penyerang berbisa dari Chile iaitu Ronnie Fernandez sebelum dua gol tuan rumah memadam impian mereka untuk meraih kemenangan.
Melihat kepada kekalahan itu, Nidzam Jamil mengakui beliau bersama para pemain akan mencipta kebangkitan serta memastikan kemenangan menjadi milik mereka.
Selain itu, Nidzam juga menyatakan beliau menerima hakikat kepada kekalahan itu sambil melihat kepada siri kelemahan dihadapi pasukannya sewaktu menentang Kuching City.
“Sudah tentu keputusan perlawanan pertama ini tidak menggembirakan pasukan namun ada baiknya kita boleh tebus balik pada aksi di laman sendiri.
“Jadinya, ada sesuatu perlu kita lakukan bila tewas di tempat lawan untuk kita pastikan kemenangan di laman sendiri. Setakat ini, keputusan masih dalam kawalan dan akan beraksi lebih baik kelak,” katanya menerusi Harian Metro.
Pada masa sama, Aidil selaku pengendali Kuching City mengakui berbangga akan prestasi ditampilkan oleh anak-anak buahnya untuk meraih kemenangan mengatasi pasukan tersebut.
“Kita berpuas hati dengan barisan pemain yang mempamerkan komitmen tinggi sepanjang tempoh perlawanan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Kuching City,” kata beliau.
Walaupun begitu, Aidil dijangka bakal menghadapi satu lagi cabaran getir untuk mengekalkan kelebihan gol kerana mereka akan bertandang ke gelanggang lawan bagi aksi seterusnya.
Malah, pengendali itu juga mengakui bakal kehilangan beberapa tonggak pada aksi tersebut kerana isu kecederaan yang memastikan rombakan bakal dibuat.