Susulan kemenangan 2-1 Selangor ke atas Jeonbuk Hyundai Motors dalam saingan Kumpulan H AFC Champions League Two (ACL2) semalam, ada satu soalan menarik yang keluar—mengapa Jeonbuk menurunkan skuad keduanya?
Sebagai salah sebuah kelab yang kaya sejarahnya di peringkat domestik dan Asia, Jeonbuk sememangnya pasukan yang dijangka akan mendominasi ACL2. Bagaimanapun, musim 2024 menceritakan sebaliknya. Jeonbuk bergelumang dalam kancah penyingkiran K League 1 seawal minggu ke-3. Akibatnya mereka kini terpaksa bermain dalam pusingan penyingkiran bersama lima lagi pasukan terbawah liga.
Untuk menyelamatkan musim domestik mereka daripada tersingkir ke K League 2, Jeonbuk melakukan keputusan pragmatik: mereka mengutamakan aksi K League 1, hanya menurunkan pemain-pemain terbaik mereka dalam aksi domestik. ACL2 pula tidak diberikan keutamaan, hanya sekadar platform untuk menggilirkan pemain dan memberi pendedahan kepada pemain muda.
Jeonbuk Hyundai is on verge of being demoted from K-League So use first team players for Only K-League matches And use second team players and youth players for ACL2#ACLTwo #SELvJBH
— jung park (@dryeggroll) October 23, 2024
Jeonbuk 🤬ed around, sent the B team, and found out.
👏 Congrats to Selangor on a massive W!#ACLTwo #SELvJBH https://t.co/WR1b7nI5iH
— Ryan Walters (@MrRyanWalters) October 23, 2024
Bukti jelas pertama adalah ketiadaan semua pemain import mereka dalam skuad 19-pemain yang dibawa ke Petaling Jaya. Tiada kelibat Andrigo dan Nana Boateng—dua pemain yang bermula dalam kesebelasan utama aksi pusingan penyingkiran pada hujung minggu lepas. Begitu juga dengan Hernandes Rodrigues dan Tiago Orobo.
Jika diteliti kesebelasan utama Jeonbuk semalam, kesemua pemain tidak bermain ketika aksi liga menentang Daejeon Hana Citizen pada Sabtu lepas. Enam pemain mencatat kurang 10 penampilan sejak Mac 2024. Daripada 19 pemain yang dibawa ke skuad hari perlawanan, 12 daripadanya merupakan pemain Jeonbuk II, skuad simpanan yang beraksi di K League 4.
Di ACL2 ini jugalah medan untuk Jeonbuk menguji pemain-pemain muda. Penyerang Tae Ho-jin, walaupun baru berusia 18 tahun, telah membuktikan dia sudah setaraf dengan pemain-pemain utama kelab Asia Tenggara (Jeonbuk duduk satu kumpulan dengan Muangthong United, Selangor dan DH Cebu) menerusi sumbangan dua gol dalam dua perlawanan sebelum turun menentang Selangor.
Di bangku simpanan, kelibat Han Seok-Jin mencuri tumpuan. Pemain tengah yang masuk sebagai pemain gantian pada minit 81 ini baru berusia 16 tahun—dan hampir menyamakan kedudukan apabila percubaannya pada masa tambahan menggegar tiang gol Selangor. Jelas sekali Jeonbuk tidak nampak keutamaan terhadap aksi ACL2 musim ini berbanding aksi getir pusingan penyingkiran K League 1 pada hujung minggu nanti (menentang Jeju United).
Persepsi jauh lebih berpengaruh daripada realiti. Peminat Selangor melihat kejayaan mereka menundukkan “Jeonbuk Hyundai Motors” sebagai satu pencapaian besar. Ya, bukan masalah Selangor apabila Jeonbuk tidak mengambil serius ACL2. Tetapi apa yang dikhuatiri adalah keseronokan hasil kemenangan ini akan memberi delusi. Kemenangan ini wajar diraikan, tetapi dengan satu peringatan bahawa kemenangan ini tidak bermakna Selangor sudah setaraf pasukan K League 1.
Dalam perlawanan semalam, Jeonbuk mempunyai 66% penguasaan bola dan memaksa Selangor bermain secara defensif, walaupun menurunkan 100% skuad simpanan dan bermain sebagai pelawat.
Konteks ini penting. Kejayaan skuad kebangsaan kita mengikat Korea Selatan 3-3 ketika Piala Asia tidak bermakna Malaysia sudah setaraf Korea Selatan. Kegagalan mengesan delusi berbahaya kerana ia boleh membuatkan kita terbuai-buai dengan euforia.
Sedangkan tahap permainan kita masih belum cukup mantap dan konsisten.
Kredit foto: AFC