Semasa sidang media selepas perlawanan Selangor menentang Persib Bandung dalam saingan Selangor Asia Challenge (SAC) 2020 pada Sabtu, B. Satiananthan telah ditanya mengenai posisi pertahanan tengah dan kiri yang dianggap memberi masalah kepada pasukannya pada musim lepas.
Dengan kehadiran dua pemain kacukan, Nick Swirad dan Rodney Celvin, isu di pertahanan tengah boleh dianggap telah selesai dengan kehadiran dua pemain tersebut. Malah pemain import dari Singapura, Safwan Baharuddin juga boleh bermain dengan baik di posisi berkenaan.
Dalam perlawanan menentang pasukan dari Indonesia itu, Satiananthan meletakkan tiga pemain berbeza di posisi pertahanan kiri iaitu M. Thamilmaran, S. Prabakaran dan pemain muda lepasan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Azrin Afiq Rusmini.
Persoalannya adakah tiga pemain ini mampu menjadi penyelesaian masalah buat Selangor musim ini?
Menurut Satiananthan, beliau masih berharap dapat mengambil seorang lagi pemain berpengalaman di posisi berkenaan. Sekalipun mengakui Azrin merupakan pemain yang bagus dan berkualiti, tetapi menurutnya pemain muda agak sukar untuk kekal konsisten.
Beliau juga tidak mahu tergesa-gesa meletakkan pemain berusia 18 tahun itu sebagai pilihan utama pertahanan kiri. Azrin juga merupakan pemain skuad kebangsaan B-19 kendalian Brad Maloney. Jadi pemain muda tersebut berkemungkinan besar tidak dapat bermain sepanjang musim untuk Selangor.
“Thamilvaran itu sebenarnya bukan pemain pertahanan kiri, tetapi pemain pertahanan tengah. Cuma saya ‘tolak’ pemain itu ke kiri untuk percubaan. Jadi hanya tinggal Prabakaran sahaja yang benar-benar boleh bermain di posisi tersebut.
“Takkan saya nak ambil pemain import bermain di pertahanan kiri? Jadi saya harap dalam 2 3 hari ni kami akan bincang mengenai posisi itu.” kata Satiananthan.
Musim lepas, Selangor telah mendapatkan Mohd Fandi Othman secara pinjaman dari PKNS FC, namun bekas pemain Harimau Muda berusia 27 tahun itu gagal memenuhi jangkaan dan tidak mencipta impak yang diharapkan.
Kredit Foto: FA Selangor