Selangor Capai Kata Sepakat, Lepaskan Luqman Hakim Ke KV Kortrijk

luqman hakim selangor kv kortrijk 2020

Lewat malam tadi, menerusi laman rasminya, Selangor mengesahkan yang Luqman Hakim akan meninggalkan pasukan untuk menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk.

Memaklumkan yang persetujuan rasmi telah dicapai dengan KV Kortrijk, Selangor memaklumkan yang Luqman Hakim bakal berangkat ke Belgium setelah segala dokumentasi telah diproses dan diluluskan oleh pihak berkuasa.

Demi masa depan negara

“FAS [Persatuan Bolasepak Selangor] percaya pendedahan di luar Malaysia adalah apa yang diperlukan Luqman ketika ini untuk maju ke peringkat seterusnya dalam karier profesionalnya,” jelas FAS mengenai situasi perpindahan pemain tersebut.

Kenyataan tersebut juga menyatakan yang mereka memahami betapa pentingnya usaha untuk membentuk bakat muda negara demi masa depan Malaysia yang lebih baik dan komitmen ini selari dengan matlamatkan negara memiliki pemain terbaik.

“Di FA Selangor, kami memahami betapa pentingnya usaha dalam memupuk bakat muda demi masa depan bola sepak Malaysia. Kami sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam membantu meningkatkan karier para pemain ini.

“Negara kita juga telah menyaksikan kelahiran pelbagai kisah kejayaan yang juga boleh dilihat sebagai bukti komitmen kelab ini yang selari dengan matlamat ini,” memetik lanjut kenyataan rasmi yang telah disiarkan tersebut.

Luqman Hakim miliki siapa?

Sedikit menimbulkan kekeliruan adalah, bukankah Luqman Hakim memang milik KV Kortrijk apabila pemain berusia 18 tahun itu sah menandatangani kontrak lima tahun sekitar September yang lalu? Apa yang berlaku sebenarnya?

Apa yang berlaku kini adalah seakan-akan Selangor pula yang menjadi penentu kepada perpindahan pemain tersebut ke KV Kortrijk? Dalam kenyataan Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata yang pemain itu ada kontrak dengan Selangor.

“FAS sudah dihubungi Kortrijk berkenaan Luqman tetapi seperti mana yang diketahui, Luqman ada kontrak di Selangor,” memetik kenyataannya di Berita Harian.

“FAS tidak akan menidakkan hak Luqman beraksi luar negara tetapi ada beberapa perkara yang perlu diteliti dan berbincang dengan Luqman sebelum kedua-dua pihak bersetuju untuk beberapa perkara,” jelas Shahril Mokhtar dalam kenyataan itu.

Liga M, Eropah dan Asia

Dalam temubual Luqman Hakim bersama Goal sekitar dua bulan lalu, dapat disimpulkan yang pandemik yang sedang melanda dunia ketika ini telah menjadi batu penghalang dan menyebabkan perjanjiannya bersama KV Kortrijk tertangguh.

Atas faktor itu, penyerang yang pernah disenaraikan dalam NxGn 2020 sebagai pemain muda meningkat naik itu telah memeterai kontrak bersama Selangor untuk sementara waktu. Tidak dapat dipastikan jenis dan tempoh kontrak tersebut.

Berdasarkan kenyataan Luqman Hakim, sekiranya situasi pandemik beransur baik, beliau mahu merealisasikan impiannya berhijrah ke Belgium tetapi jika situasi ini kekal sama atau buruk, beliau akan terus kekal di Selangor 2 di Liga Malaysia.

“Ia adalah impian saya untuk bermain di sana [Eropah]. Namun, jika saya gagal untuk ke sana, barulah saya fikir untuk beraksi di liga terbaik di Asia, peringkat yang paling tinggi yang mampu saya capai,” jelasnya mengenai impiannya.

Penutup

Walaupun tidak dapat dipastikan bagaimana status sebenar kontrak penjaring terbanyak Kejohanan AFC B-16 ini, namun kini, impiannya untuk ke Eropah sudah termakbul. Kita tutup buku perbincangan panjang yang tiada noktah ini.

Tiada pihak yang akan menjelaskan situasi kontrak pemain ini dan ia akan kekal misteri. Diharapkan apa yang dimahukan oleh Luqman Hakim mengenai kerjayanya akan berjaya digapai selepas beliau menjejak kaki ke Jupiler Pro League.

KREDIT FEATURED IMAGE: FA SELANGOR

Baca lagi artikel mengenai Luqman Hakim dan Selangor:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN