Selangor nampaknya telah mempelajari sesuatu yang sangat penting sebelum mereka mencipta penampilan sulung dalam saingan AFC Champions League Two (ACL 2) tidak lama sahaja lagi.
Apa tidaknya, The Red Giants sebelum ini telah pun menerima tamparan besar di pentas akhir Piala FA 2024/2025 apabila mereka mencipta kekalahan 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Kekalahan itu menyaksikan Selangor jelas sedar tahap semasa mereka masih lagi mempunyai banyak kelemahan perlu diperbaiki sebelum mereka melangkah ke saingan ACL 2 tidak lama sahaja lagi.
Pada aksi tersebut, JDT memberi pengajaran cukup berguna buat skuad kendalian Nidzam Jamil mengenai sisi kelemahan serta suatu pengalaman berguna untuk The Red Giants kembali bangkit pada aksi seterusnya.
Walaupun dilimpahi beberapa pemain tempatan serta import berkualiti tinggi, jurang kekuatan semasa kedua pasukan ini nyata masih lagi jauh dan sudah pun dibuktikan pada pentas final.
Menurut Dr Johan Kamal Hamidon selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, pasukan tersebut bakal mencipta bedah siasat untuk mengesan serta memperbaiki segala kelemahan dimiliki.
Malah aksi bertemu JDT juga bakal dijadikan sebagai kayu pengukur terbaik buat mereka untuk melihat keupayaan sebenar para pemain sebelum mengharungi saingan ACL 2.
“Bila kita bermain dengan pasukan ada kualiti tinggi seperti JDT, kita nampak beberapa kelemahan yang kita tak nampak bila bermain dengan pasukan lain.
“Kita akan beri perhatian dan atasi kelemahan ini serta kena belajar sebab kebarangkalian untuk bermain dengan pasukan seperti JDT di ACL II sangat tinggi.
“Mungkin kita akan lawan pasukan berkualiti dan bermain dia lebih kurang macam JDT dan kalau kita tidak perbaiki, mungkin kita akan terima padah atau keputusan tidak memberangsangkan,” kata beliau menerusi Harian Metro.
Pada masa sama, Dr Johan turut mempertahankan Nidzam Jamil walau pasukan tersebut merekodkan kekalahan besar di tangan gergasi Malaysia itu.
“Saya rasa keputusan itu susah untuk kita kawal sebab akan ada kalah, seri dan menang tapi kita tidak boleh ukur jurulatih Nidzam macam itu (kekalahan 1-6 di final Piala FA).
“Dia pernah ada keputusan seri sebelum ini. Mana-mana jurulatih lain pun bukan semua dapat keputusan seri dengan JDT. Jadi kita tak boleh menilai jurulatih Nidzam berdasarkan keputusan final Piala FA.
“Kami (pihak pengurusan) dan jurulatih Nidzam sentiasa berbincang dan bukan hanya untuk untuk final saja, tetapi setiap perlawanan ada bedah siasat sama ada keputusan seri, kalah atau menang. Kita ambil setiap perlawanan itu sangat penting,” kata beliau akhir sekali.