Selamat Datang Ke Keluarga Bola Sepak Malaysia Kepada iflix

Selamat datang ke keluarga besar bola sepak Malaysia iflix. Masih tidak terlambat untuk kita mengucapkan selamat datang kepada badan penyiar rasmi yang memegang hak penyiaran kepada Liga Malaysia mulai musim 2018 ini.

Pada 29 Januari lalu, bola sepak negara mencipta sejarah tersendiri apabila Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) selaku badan penganjur bola sepak negara memeterai perjanjian bernilai RM30 juta setahun untuk 1o tahun berikutnya dengan iflix.

Pengenalan: Apakah itu iflix?

Mungkin masih ramai di kalangan kita yang masih belum mengenali apakah itu iflix.

Secara ringkas, iflix ialah sebuah penyedia TV digital over-the-top (OTT) yang menyediakan pengisian secara pengstriman kepada pelanggan mereka.

Berpusat di Kuala Lumpur, iflix menyediakan platform penstriman untuk rancangan Barat, Asia dan dari Timur Tengah, melibatkan lebih daripada 150 penerbit seperti Metro-Goldwyn-Mayer, Disney, Warner Bros, Paramount, NBC Universal, Fox, CBS, BBC, Sony Pictures and Discovery antaranya.

Sehingga ke hari ini, iflix boleh dinikmati di lebih 25 negara seperti Malaysia, Filipina, Thailand, Indonesia, Sri Lanka, Brunei, Maldives, Pakistan, Vietnam, Myanmar, Arab Saudi, Jordan, Iraq, Kuwait, Bahrain, Lebanon, Egypt, Sudan, Kemboja, Nigeria, Kenya, Ghana, Nepal, Bangladesh dan juga Zimbabwe.

Bagaimana dengan konten bola sepak? Liga Malaysia merupakan perjanjian pertama yang disiarkan melalui platform iflix.

Usahasama oleh FMLLP dan iflix akan membenarkan kesemua 6 perlawanan Liga Super Malaysia ditonton oleh anda di mana sahaja anda berada, semudah di hujung jari.

Bahana hari pertama MSL 2018

“Jangan pandang rendah bola sepak Malaysia”. Mungkin demikianlah kata-kata segelintir pengikut bola sepak tempatan setelah iflix mengalami sedikit masalah untuk melakukan siaran seperti yang sepatutnya dek penangan sambutan yang diterima.

Dalam satu kenyataan di laman media sosial milik syarikat penyiar itu, mereka mengesahkan telah menghadapi masalah teknikal dalam menyiarkan perlawanan Piala Sumbangsih tersebut permintaan VOD yang terlalu tinggi.

Serentak dengan itu, hashtag #iFlixIsDown juga mula menular di Twitter sehingga mencapai 1,394,624 maklum balas dalam tempoh kurang 12 jam.

Namun demikian, sedikit kekecohan ini tidak menghalang kemeriahan dan siaran secara langsung kembali berada di atas talian setelah masalah teknikal tersebut dipulihkan.

Di sebalik segala permasalahan awal, kami turut memperolehi perkara positif daripada setiap venue perlawanan. Walaupun menyedari perlawanan turut disiarkan secara langsung, kehadiran penyokong bola sepak tempatan di setiap venue boleh dianggap luar biasa.

Sudah tentu suasasana begini kita harapkan mampu berterusan sehingga ke akhir musim. Bagi pihak iflix, kita turut mengharapkan agar masalah teknikal yang dihadapi mampu diselesaikan secepat mungkin.

Mengapa iflix?

Lanskap media telah berubah secara dramatik. Penyiaran melalui kaca televisyen (TV) yang mendominasi media sejak 50 tahun yang lalu mulai tercabar dengan wujudnya medium seperti iflix, Netflix dan juga Amazon.

Ini menjadikan sistem streaming seperti Roku, Apple TV, Chromecast dan Amazon Fire TV mula menjadi pilihan penonton di luar negara, bagi menggantikan kaedah yang lebih tradisional seperti digital kabel TV, untuk pilihan konten berasaskan internet.

Photographer: David Paul Morris/Bloomberg via Getty Images

Sukan adalah salah satu komponen terbesar di dalam penyiaran televisyen selama ini, meliputi 40% daripada kandungan yang ditonton.

Bagaimanapun pakar di dalam bidang penyiaran berpendapat bahawa pasaran penyiaran sukan mulai mengalami revolusi setelah semakin banyak organisasi sukan di seluruh dunia memilih untuk mengadakan siaran secara langsung dengan kaedah penstriman kepada kejohanan dan perlawanan yang dianjurkan.

Ini adalah kerana kaedah penstriman mempunyai kelebihannya yang tersendiri daripada kaedah yang lebih tradisional seperti yang diamalkan selama ini.

Kelebihan 1: Kurang halangan dan masalah

Untuk memiliki slot tayangan secara langsung di TV, ia adalah satu proses yang mahal dan sukar. Ini bermakna ianya hanya memberi kelebihan kepada organisasi besar dan sudah mapan untuk melakukannya, sekaligus hanya membenarkan dominasi di dalam industri.

Penstriman tidak memerlukan slot di gelombang udara siaran. Maka ianya boleh dilakukan dengan harga kos yang lebih rendah.

Faktor lain yang menyumbang kepada kos yang lebih murah kepada kaedah penstriman secara atas talian ialah pakej broadband internet yang semakin murah di pasaran dan kos kamera berteknologi tinggi yang semakin rendah untuk diperolehi oleh syarikat penyiar.

WEST BROMWICH, ENGLAND – SEPTEMBER 28: Inside the Sky Sports broadcast truck during the Barclays Premier League match between West Bromwich Albion and Burnley at The Hawthorns in West Bromwich, UK. (Photo by Visionhaus/Corbis via Getty Images)

Kelebihan 2: Tontonan secara global

Pernahkah anda menonton mana-mana perlawanan bola sepak secara penstriman yang disediakan oleh saluran-saluran yang tidak diktiraf? Ia mungkin adalah siaran yang disediakan oleh individu-individu tertentu di dalam stadium, atau pun oleh sindiket yang menjual kotak pentriman (set-top box) yang tidak sah di pasaran.

Walaupun dengan kewujudan penstriman secara tidak sah, ia tetap masih sukar untuk memberikan liputan yang meluas dengan kaedah siaran langsung di televisyen.

Bayangkan anda berada di eropah. Berapakah keberangkalian untuk anda untuk menyaksikan perlawanan siaran secara langsung Piala Sumbangsih di antara JDT dan Kedah pada hujung minggu yang lalu, jika ia disiarkan secara langsung di televisyen tempatan?

Penyiaran siaran secara langsung dengan kaedah penstriman telah memangkah segala ketidakmungkinan ini. Ia membenarkan anda untuk mempunyai akses secara terus dengan mudah, tanpa sebarang langganan dan tempoh kontrak dengan mana-mana pihak.

Dengan langganan serendah RM10 sebulan di iflix, aa mungkin lebih murah daripada kos dobi anda sebulan!

Kelebihan 3: Penstriman dengan menggunakan multi-devices

Pernahkah anda mengalami masalah untuk berebut televisyen dengan mana-mana ahli keluarga anda kerana ingin menonton bola sepak?

Anda mahu menyaksikan perlawanan Derbi Lembah Klang di antara Selangor dan Kuala Lumpur. Pada masa yang sama, isteri ada mahu menyaksikan drama sinetron di siaran lain.

Dengan iflix, ia bukan lagi satu masalah. Anda hanya memerlukan telefon pintar atau mana-mana tablet yang memenuhi spesifikasi untuk berbuat demikian.

Jika terdapat di kalangan isi rumah anda ingin menonton perlawanan lain, ia turut bukan satu masalah, kerana iflix membenarkan sehingga 5 device berbeza untuk mempunyai akses melalui satu akaun.

Realiti semasa 

Tanpa kita sedari, pada hari ini semakin ramai daripada pengguna  memilih hiburan dan kandungan sukan yang disediakan oleh medium berasaskan internet.

Di Malaysia, proses ini agak perlahan mengambil kira infrastruktur kemudahan internet yang belum lagi menyeluruh di seluruh negara. Bagi generasi muda, ia adalah pilihan yang lebih baik berbanding siaran secara kabel atau TV Satelit yang mahal, tetapi kurang fleksibel.

Dari segi penjanaan kewangan di dalam industri bola sepak, ia dianggap satu lagi langkah ke hadapan bagi industri bola sepak tempatan.

Di Amerika Syarikat, Major League Baseball telah menyiarkan secara langsung perlawanan sukan tersebut pada 2016 melalui Yahoo.

Twitter turut mengambil langkah permulaan yang sama apabila menandatangani kontrak bersama National Football League untuk menyediakan penstriman secara langsung perlawanan pada malam Jumaat di Amerika Syarikat.

(Photo by Ezra Shaw/Getty Images)

Perubahan untuk masa depan itu sangat jelas. Bahawasanyanya penstriman ialah pilihan utama untuk media dan hiburan, termasuklah di dalam sukan bola sepak pada masa hadapan.

Ia mungkin perkara baharu yang mewajahi bola sepak di Malaysia, namun jika nilai komersil liga yang kita bicarakan, ia adalah satu langkah yang tepat oleh FMLLP dan FAM.

Visi DYMM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim

“Apa sahaja duit hak penyiaran akan diagihkan kepada semua pasukan yang bertanding dalam negara ini, sekaligus boleh membantu kita menstruktur semula industri bola sepak negara.”

“Hak penyiaran adalah penting kerana kalau kita lihat, industri bola sepak negara kita mempunyai masalah kewangan dan profesionalisme.”

Photo By Nizam Rahman – www.asiana.my

“Kerjasama bersama iflix hanyalah satu permulaan. Kita akan ada banyak lagi jalinan kerjasama dalam membantu meningkatkan mutu bola sepak negara,” titah baginda selepas majlis menandatangani kerjasama FMLLP bersama iflix.

Kurang setahun menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kami harus akui bahawa memberikan hak penyiaran kepada iflix untuk tujuan siaran langsung secara penstriman adalah satu langkah berani, tetapi positif daripada DYMM Tunku Ismail, Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Kira-kira 10 bulan yang lalu, salah satu perubahan yang mahu dilakukan oleh baginda jika dipilih sebagai Presiden FAM ialah untuk meningkatkan nilai komersil Liga Super dan Liga Malaysia.

Seperti mana industri bola sepak di negara lain yang sudah berada di tahap yang lebih maju, baginda mahu menjadikan  hasil daripada hak-hak penyiaran televisyen serta internet dan perkongsian komunikasi mudah alih sebagai penyumbang utama kepada pembangunan bola sepak di Malaysia.

Langkah memperkasakan penyiaran bola sepak di dalam negara, bukan sahaja merupakan langkah pertama untuk menstrukturkan nilai liga bola sepak tempatan.

Malah ia turut akan membantu industri bola sepak negara kita yang sebelum ini sentiasa diwarnai dengan masalah kewangan dan profesionalisme di setiap peringkat.

Rumusan

Kerjasama di antara iflix dan FMLLP hanya akan membawa kebaikkan kepada bola sepak pada tahun-tahun yang mendatang. Jika itu yang kita sasarkan, sedikit kelemahan pada permulaan minggu Liga Malaysia 2018 oleh iflix boleh kita maafkan.

Harapan dan ekspektasi peminat bola sepak tanah air mungkin lebih tinggi daripada iflix sasarkan. Jika masalah teknikal berlaku pada minggu pertama, ia boleh dimaafkan. Jika ia berlaku lagi pada minggu kedua, kita mungkin masih boleh bertoleransi, mengambil kira ia adalah aspek baru di dalam bola sepak negara.

Sudah tentu kita harapkan permasalahan yang sama bukan lagi isu yang dibicarakan pada bulan-bulan mendatang.

Sedikit kefahaman dari semua pihak pada hari ini akan memberi pulangan jangka masa panjang kepada bola sepak kita. Biarlah pada hari ini kita memafkan iflix untuk masalah teknikal yang mereka hadapi tanpa perlu melupakannya.

Ayuh sama-sama kita berikan peluang kedua buat iflix untuk buktikan kewibawaan dan keupayaan mereka.

Selamat datang ke bola sepak Malaysia kepada iflix. Inilah penangan bola sepak Malaysia!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN