Perak beraksi cemerlang untuk memadamkan kelebihan dua gol yang dimiliki Pahang sebelum perlawanan apabila berjaya menundukkan skuad Tok Gajah tersebut dengan keputusan 4-0 dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Perak, Ipoh.
Perak tidak menunggu lama untuk menghasilkan jaringan pendahuluan apabila Gilmar Jose Da Silva yang menerima lorongan cantik daripada Shahrul Saad, berjaya meledakkan rembatan yang menerjah gawang Pahang seawal minit ke-3.
Perak terus bernafsu bagi menambah jaringan dan peluang keemasan hadir pada minit ke-9 setelah Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak yang hanya berhadapan dengan Wan Muhammad Azraie melakukan percubaan lemah yang berjaya dinafikan penjaga gol pelawat itu.
Pahang sesekali mengasak ke kubu Perak namun jentera serangan pasukan pelawat belum cukup berbahaya untuk mengancam kubu Perak.
Aksi babak pertama lebih didominasi oleh pasukan tuan rumah yang ternyata begitu bersemangat untuk memadamkan kelebihan 2 gol yang dimiliki Pahang.
Jaringan awal dari Gilmar tersebut kekal hingga tamat babak pertama.
Separuh masa kedua
Memasuki babak kedua, Perak terus menggandakan asakan dengan serangan bertali arus yang dilancarkan anak buah Mehmet Durakovic itu.
Siri serangan berterusan Perak bermula pada minit ke-57 menerusi sepakan percuma dari Nazrin Nawi yang tepat ke dakapan Wan Azraie.
Tandukan Gilmar pada minit ke-62 juga berjaya dinafikan penjaga gol Pahang tersebut.
Ketangkasan Wan Azraie tersebut tidak kekal lama apabila Gilmar berjaya menambah jaringan kedua peribadi yang menjadikan kedudukan 2-0 setelah berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran dari sepakan percuma yang dilakukan oleh Nazrin Nawi.
Tidak cukup dengan itu, Perak menambah jaringan untuk terus menceriakan penyokong tuan rumah apabila Kenny Pallraj yang masuk menggantikan Shahrom Kalam berjaya melakukan rembatan susulan yang terlebih dahulu ditepis Wan Azraie.
Ketika perlawanan hampir ke penghujung, Perak mematikan sisa perjuangan Pahang yang memberikan tekanan untuk merapatkan kedudukan dan giliran Nazrin Nawi yang tidak dikawal menyudahkan jaringan penutup perlawanan.
Perlawanan berakhir dengan keputusan 4-0 (aggregit 5-3) buat tuan rumah dan bakal berdepan Johor Darul Takzim dalam saingan separuh akhir nanti.